mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Provokasi ke atas agama Islam

Al-Quran, surah dalam tokong

MELAKA 6 Feb. – Pasukan penguat kuasa menemukan senaskhah al-Quran dan dua bingkai tertera petikan ayat Kursi yang ditinggalkan di dalam sebuah tempat sembahyang menyerupai tokong di Taman Paya Rumput Jaya, Cheng di sini semalam.

Kitab suci berkenaan ditemukan kira-kira pukul 9 pagi selepas sepasukan anggota dan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyerbu premis tersebut.

Tempat sembahyang yang dianggarkan berkeluasan kira-kira 4.5 meter x 4.5 meter itu dibina di tepi jalan utama berhampiran kawasan perumahan yang kebanyakannya didiami penduduk bukan Islam.

Ketika serbuan, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang dipercayai penjaga tempat sembahyang itu berada di lokasi kejadian.

Ketua Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani memberitahu, pihaknya terkejut apabila menemukan naskhah al-Quran dan bingkai ayat Kursi di dalam premis itu kerana ia dibina seperti tempat sembahyang untuk bukan Islam.

“Pihak kami menemukan binaan seolah-olah kubur ditutup dengan pagar besi dan diletakkan enam biji batu serta dibalut kain kuning di dalam premis tersebut. Selain itu, turut ditemukan adalah tempat pembakaran colok dan buah-buahan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Rahimin, berdasarkan struktur binaan tersebut, pihaknya percaya, kemungkinan ia digunakan untuk tujuan pemujaan namun JAIM masih menyiasat motif tempat sembahyang itu dibina.

Dalam pada itu, katanya, siasatan awal mendapati bangunan tersebut dimiliki seorang warga asing bukan Islam dan pihaknya sedang mengesan pemiliknya untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 61, 62 dan 69 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Melaka 1961 kerana mempermainkan al-Quran dan hadis serta mempersendakan agama Islam dan pemujaan.

Dalam pada itu, katanya, MBMB turut mengeluarkan notis supaya binaan tersebut dirobohkan dalam tempoh tiga hari.

Utusan Malaysia Rencana Agama 07 Februari 2015 12:09 AM

Lelaki baling daging babi di masjid


BUTTERWORTH 6 Feb. – Perbuatan biadab seorang lelaki yang membaling daging babi ke pekarangan Masjid Telaga Air di sini berakhir apabila dia dicekup polis awal pagi ini.

Difahamkan, sebelum ini lelaki berusia 40-an itu telah beberapa kali melakukan perbuatan itu sehingga menimbulkan rasa kurang senang pihak pengurusan masjid dan jemaah.

Selain itu, pihak masjid juga beberapa kali mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi mendoakan agar perkara itu tidak berulang.

Setiausaha masjid itu, Ahmad Taufiq Saedon berkata, tindakan lelaki itu mengakibatkan pihak­nya terpaksa mengeringkan kolam wuduk yang terletak berhampiran pagar masjid itu dan tidak lagi digunakan sejak sebulan lalu berikutan risau ia dicemari daging babi.

“Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi ini selepas dipercayai membaling satu bungkusan berisi daging babi ke dalam kawasan masjid dan cuba melarikan diri dengan motosikal.

“Namun tindakan pantas anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan itu berjaya menahan lelaki tersebut dan di bawa ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, pihak masjid kini bersyukur individu terbabit telah ditahan dan menganggap kes itu telah selesai dan kini jemaah boleh beribadat tanpa was-was lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, polis telah mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini ke atas suspek bagi membantu siasatan.

Perintah reman dibuat di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab di Kompleks Mahkamah Butterworth di sini lewat petang ini.

Utusan Malaysia Rencana Agama 07 Februari 2015 2:00 AM
Tags: al-quran, babi, tokong
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments