mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Cari kebahagian, atasi masalah

Semua orang mengimpikan kehidupan yang bahagia, namun begitu tidak semua orang berjaya memilikinya. Bagi orang yang miskin, kita beranggapan kita akan bahagia jika kita kaya. Bagi orang yang sakit, kita akan berasa bahagia jika kita sihat. Bagi orang yang hidupnya dibelit dengan masalah, kita percaya jika kita bebas daripada masalah hidup kita akan bahagia.

Kebahagiaan dalam hidup ini bergantung kepada empat perkara yang menjadi pegangan hidup atau ‘sistem kepercayaan’ kita. Pertama, jika kita mempercayai bahawa memang kita mempunyai sikap negatif contohnya; kita percaya memang kita seorang pemurung, kita jahat, kita bodoh, dan kita tidak berguna, bermakna kita telah memberikan imej diri atau melabelkan diri kita dengan sikap negatif. Kalau kita sendiri menarik aura negatif kepada diri kita, bagaimanakah orang lain hendak menerima diri kita sebagai seorang yang beraura positif? Maka, bagaimanakah kita boleh mengecap kebahagiaan jika orang sekeliling kita telah menganggap kita negatif dan tidak menarik untuk didekati?

Kedua, kita percaya kita boleh bahagia tetapi kena buat ‘sesuatu’, baru kita bahagia. ‘Sesuatu’ itu kalau yang positif tidak mengapa, tetapi bagaimanakah kalau ‘sesuatu’ itu yang negatif? Ketiga, kebahagiaan bersyarat, iaitu kita percaya, kita hanya bahagia ‘kalau’…? Contohnya untuk bahagia syaratnya, ‘kalau’ anak-anak kita semua berjaya menjawat jawatan tinggi. Keempat, manusia yang percaya bahawa bahagia datang tanpa syarat. Sentiasa bahagia dengan apa yang kita ada. Fokus dengan apa yang kita ada dan jangan fokus apa yang kita tiada, pasti kita akan berasakan hidup kita bebas daripada masalah.

Jika kita ada masalah, tidak ada sesiapa pun yang boleh menyelesaikan masalah kita, kecuali diri kita sendiri. Sebab sebenarnya, masalah kita itu, ada dalam diri kita sendiri. Tidak ada siapa yang tahu apakah masalah yang kita hadapi, kerana masalah kita itu ada dalam minda kita dan ada dalam hati kita. Apabila kita audit semula diri kita, baru kita sedar rupa-rupanya, kita sendiri yang mengundang masalah itu, dengan membuat pilihan yang salah dalam keputusan dan tindakan hidup kita 10 atau 20 tahun lampau, yang kesan negatifnya baru kita rasai hari ini.

Manusia akan merasai hidupnya mula bermasalah apabila dirinya mencapai tahap kematangan. Tahap kematangan manusia ada empat peringkat; ‘tahap atlet’, ‘tahap pahlawan’, ‘tahap dermawan’, dan ‘tahap kesedaran ketuhanan’. Daripada tahap kematangan ini, mana satu yang menyebabkan hidup kita terperangkap dengan masalah? Pertama, orang pada ‘tahap atlet’, iaitu orang yang terlalu dan berlumba menjaga fizikalnya. Yang dipentingkan semua nilaian luaran; pangkatnya tinggi atau rendah, kereta mewah atau kereta biasa, rumah besar atau kecil dan seumpamanya. Tuhan tidak pandang pun apa yang dikejar oleh orang kelompok ini, kerana jika kita berasa hebat ada orang lain yang lebih hebat daripada kita. Kalau yang perempuan, hendak nampak cantik bergaya, dan yang lelaki pula hendak nampak segak kacak. Orang yang begini akan selalu mengutuk diri sendiri dan kita selalu tidak bahagia. Contohnya apabila gemuk sikit kita akan marah kepada diri sendiri dan selalu mengutuk diri kita, dan hidup kita mula dibelenggu dengan masalah.

Masalah juga mula timbul pada peringkat kematangan manusia pada ‘tahap pahlawan’. Pada tahap ini, kita hendak semua yang terbaik dan ada matlamat kehidupan. Orang macam ini sentiasa berlawan, berebut dan bersaing serta sentiasa berasa tidak cukup. Kita berasa apa yang kita dapat semuanya hasil daripada usaha kita, dan kita hidup dalam dunia manusia, iaitu dunia yang direka oleh manusia, bukan hidup dalam dunia Tuhan, dunia yang dicipta oleh Allah. Kita berasa dunia kita sempit, dan kita mesti berebut untuk mendapat apa yang kita hendak. Kita berasa tertekan dan sentiasa tertekan, apabila apa yang dikejarkan tidak tercapai.

Orang yang dalam tahap ketiga, ‘tahap dermawan’, masalah dalam hidupnya mula berkurangan. Hal ini kerana pada tahap ini, kita sudah tahu tujuan hidup kita, mengharapkan khusnulkhatimah. Atas kesedaran dan harapan yang baik-baik sahaja daripada Allah untuk hidup kita, kita akan sibuk hendak memberi hingga tidak fikir tentang diri kita. Orang yang dalam sifat memberi dan dermawan, hidupnya tidak ada masalah sebab, dia tidak fikir hendak dapat, tetapi dia sibuk hendak memberi. Kalau kita sibuk memberi, kita tidak sakit hati kalau kita tidak dapat, dan tidak berhasad dengki.

Manusia pada tahap keempat, ‘tahap kesedaran ketuhanan’ memang hidupnya akan terlepas daripada belenggu masalah. Manusia pada tahap ini, akan nampak apa yang berlaku semuanya kuasa Allah, dan semua kerja yang dilakukan adalah kerana Allah. Orang yang berada pada tahap ‘kesedaran ketuhanan’, tidak akan memiliki ciri-ciri sifat orang yang bermasalah; mengeluh, mengupat, merungut, dan menyesal.

Apabila kita bermasalah siapakah boleh membantu menyelesaikan masalah kita? Jika kita memerlukan seseorang membetulkan masalah kita, sebenarnya kita telah tertipu. Hal ini adalah kerana analoginya, jika kita diberikan seekor ikan oleh seseorang, kita akan dapat makan ikan itu untuk hari itu sahaja. Tetapi, jika kita diberikan pancing oleh seseorang, kita akan dapat menggunakan pancing itu untuk memancing ikan, yang berkemungkinan kita boleh mendapat ikan yang lebih banyak, malah kita dapat memakan ikan bukan untuk satu hari sahaja. Tetapi, berkemungkinan untuk beberapa hari, beberapa minggu dan beberapa bulan lagi, jika dia menggunakan pancing itu untuk memancing ikan, dan cara ini membuatkan kita berfikir dan berikhtiar sendiri bagi menyelesaikan masalah kita.

Sebab dalam kehidupan ini ada pelbagai ragam sikap manusia. Pertama, orang yang malas berfikir. Kedua, orang yang berasa dia sudah berfikir. Ketiga, orang yang berasa lebih baik mati daripada berfikir, dan jenis manusia yang ketiga inilah yang paling ramai dalam kehidupan kita (hampir 95%). Seterusnya apabila ada masalah, adakah kita hendak menghabiskan masa memikirkan tentang masalah itu atau mencari jalan penyelesaiannya? Golongan ‘orang yang jernih’ dan bijak, 80% masanya akan digunakan untuk memikirkan jalan penyelesaian, dan hanya 20% masanya sahaja yang diguna untuk mengikut rentak emosi, memikirkan masalah dan nasib hidup kita, akibat daripada masalah yang menimpa hidup kita.

Tip penyelesaian masalah dan mencari kebahagiaan hidup; pertama, hapuskan kesedihan dengan cara jangan fokus pada apa yang kita tidak ada, tetapi fokuslah kepada apa yang kita ada. Sebenarnya terlalu banyak lagi yang kita sudah ada, dan yang kita telah miliki jika kita bandingkan dengan orang lain yang lebih susah daripada kita. Kedua, jangan dikenang perkara yang lepas. Kita selalu terlalu fokus kepada perkara yang lepas, lupakan. Hadapi apa yang kita nampak sekarang, dan fikir apa yang kita akan buat untuk masa hadapan yang kita belum nampak. Ketiga, kita fokus kepada apa yang kita silap, dan cari penyelesaian bagaimana hendak memperbaiki kesilapan kita. Keempat, kita fokus kepada apa yang orang hendak untuk kita, bukan apa yang kita hendak daripada orang. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. -Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana Agama 08 Februari 2015 1:18 AM

Tags: bahagia, masalah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments