mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Isu Keluarga

Tertekan Suami Pengotor
Saya telah berkahwin lebih 41 tahun. Sekarang, saya tinggal berdua dengan suami kerana kesemua lima orang anak telah berumah tangga dan tinggal di rumah masing-masing. Tipulah kalau tidak pernah dilanda badai dalam rumah tangga tetapi saya sentiasa ingat pesanan arwah ibu supaya sentiasa sabar dan mengalah jika bergaduh.

Namun, kini kesabaran saya cuma tinggal sedikit sahaja dalam satu hal ini kerana suami tidak peka dengan kebersihan mangkuk tandas dan selalu tidak mengepam selepas membuang air besar. Bayangkan, setiap hari saya terpaksa membersihkannya dengan tekak yang kembang dan mual dengan benda yang menjijikkan itu. Saya sudah tidak larat hendak menasihatinya. Apakah yang perlu saya lakukan?

* Seri, Kuala Lumpur

UKE: Berat kes puan Seri ini. Nak ketawa pun ada saya membacanya. Kalau setakat tak ‘flush’ puan Seri sajalah yang ‘flushkan’. Kalau sudah jemu nak ‘flush’, puan Seri guna bilik air lain dan jangan guna bilik air yang suami pakai. Nanti apabila dia nak pakai, pandailah dia ‘flush’, saya rasa di dalam rumah puan Seri ada bilik air lain. Jangan kerana tak ‘flush’, kita runtuhkan rumah tangga kita.

Suami tak prihatin

Sepanjang mengandung tujuh bulan, saya tidak pernah merasakan layanan istimewa daripada suami. Semua saya uruskan sendiri termasuk pergi kerja dengan menaiki motosikal sedangkan suami hanya tidur. Apakah doa supaya suami saya menjadi seorang yang bertanggungjawab kepada saya dan anak yang bakal lahir nanti?

* Maznah, Selangor

UKE: Saya simpati kepada Maznah. Sepatutnya dalam saat begini suami kena lebih memberi perhatian dan kerjasama yang kuat. Sebagai seorang suami, dia kena lebih bertanggungjawab. Saya cadangkan supaya Maznah berpura-pura tak sihat dan cakap tak boleh bawa motosikal sendiri. Minta dia hantarkan. Pandai-pandailah Maznah berlakon. Doa melembutkan hati suami bacalah surah al-Insyirah sebanyak tujuh kali setiap kali selepas solat.

Derita bermadu

Suami saya berkahwin lagi tanpa pengetahuan saya. Apabila rahsianya pecah, saya sangat menderita dengan perbuatannya. Sejak dia berkahwin baharu, kami selalu sesak dari segi kewangan dan apabila dia menceraikan isteri mudanya, barulah hidup kami kembali normal. Selepas bercerai, ada dua tiga kali perempuan itu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya mengatakan mereka belum bercerai. Saya ada buat solat istikharah dan petunjuk berat kepada suami sudah menceraikan perempuan itu. Berdosakah kami?

* Has, Kuantan, Pahang.

UKE: Has, saya mencadangkan agar puan dapat penjelasan yang lebih lanjut adakah mereka bercerai atau belum. Mungkin mereka sudah bercerai atau kembali rujuk. Mungkin juga belum bercerai tetapi cuma untuk mengambil hati puan sahaja. Apa pun seorang isteri tidak boleh memaksa suaminya menceraikan madunya. Jika suaminya tidak mampu, maka mestilah wujud kerjasama daripada semua pihak untuk mencukupkan perbelanjaan. Kita boleh menghalang jika mereka belum berkahwin tetapi kalau dah berkahwin maka hendaklah dilaksanakan tanggungjawab secara adil dan saksama. Jika puan merasakan suami tidak memberikan nafkah yang cukup, maka puan boleh adukan masalah ini ke pejabat agama.

Was-was makan di restoran makanan segera

Apakah hukum makan makanan yang sesetengah orang kata haram dimakan seperti di restoran makanan segera popular dan kita was-was sama ada hendak makan atau tidak?


Kalau ragu-ragu status halal makanan di restoran makanan segera, tidak perlu makan. - Gambar hiasan -

* Ridwan, Pulau Pinang

UKE: Adakah restoran itu mendapat sijil halal? Kalau telah disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), maka makanlah seperti biasa. Selagi mana tiada jelas unsur-unsur haram padanya yang ada cuma nampak yang halal dan ada pula sijil halal, maka halallah. Kalau anda ragu-ragu, tak perlulah makan.

Sah hak milik atau tidak?

Ayah dan ibu saya sudah meninggal dunia. Mereka ada meninggalkan lima buah rumah sewa kepada kami. Sebelum meninggal dunia, arwah ayah ada menyatakan di hadapan abang dan kakaknya bahawa setiap rumah dibahagi-bahagikan kepada anak tetapi tidak ada surat hitam putih. Masalahnya, adik lelaki saya meninggal dunia sebelum arwah ayah.

Buat masa ini, duit sewa rumah yang diterima, kami masukkan ke dalam akaun anak-anak arwah adik saya. Saya hendak tanya, mengikut faraid, adakah rumah tersebut sah hak milik adik saya sebab dia meninggal dunia dahulu daripada arwah ayah?

* Zaiton Ramli Ahmad,

Johor Bahru, Johor.

UKE: Puan Zaiton, ketika ayah bercakap demikian, adakah adik yang meninggal itu masih hidup? Yang kedua, adakah ayah bercakap begitu dengan berkata selepas dia meninggal dunia, barulah dibagikan harta itu atau dibahagikan harta itu semasa ayah masih hidup? Jika dia berkata selepas dia meninggal dunia lima rumah tersebut hendaklah diberi kepada anak-anaknya, maka anak-anak kepada adik puan yang meninggal dunia itu tidaklah berhak mendapat harta tersebut. Tetapi, jika ayah berkata diberikan harta itu semasa dia hidup, dan ketika itu adik puan pun masih hidup, maka anak-anak kepada adik puan yang meninggal dunia itu bolehlah mendapatnya. Itu pun jika harta-harta tersebut telah ditukar nama kepada anak-anak ayah puan semasa itu.

Berhutang dengan arwah ibu

Saya pernah berhutang kepada arwah ibu semasa dia masih hidup. Saya berjanji membayar secara ansuran dan selepas bayaran bulan pertama dibuat, ibu meninggal dunia. Semua harta dan wang ringgit dibahagi-bahagikan kepada kami empat adik-beradik. Bagaimanakah cara untuk saya melangsaikan hutang saya kepada arwah ibu?

* Mila, Kedah.

UKE: Mila, baki hutang kepada arwah ibu hendaklah dimasukkan dalam jumlah wang pusaka ibu dan wang tersebut boleh dibahagi-bahagikan mengikut faraid.

Jenazah batal wuduk?

Ayah saya kini terlantar di hospital. Soalan saya:

1) Jika seseorang meninggal dunia dan saya turut memandikan jenazah, apakah saya wajib membersihkan diri atau mandi selepas memandikan jenazah sebelum mengerjakan solat sunat jenazah?

2) Jika si mati seorang lelaki mempunyai anak angkat perempuan, apakah anak perempuan itu boleh mencium dahi jenazah ayah angkatnya yang telah dimandikan, dikapankan dan siap diwuduk atau perlu dilapik dengan sehelai kain nipis? Jika anak tadi mengucup dahi bapanya tanpa dilapik dengan kain, apakah jenazah perlu dimandikan semula?

* Mukhriz Malik, Beseri, Perlis.

UKE: 1. Sunat kepada anda untuk mandi selepas anda memandikan jenazah. 2. Berapakah umur anak angkat tersebut? Dah cukup umur atau belum? Kalau belum cukup umur tak jadi masalah. Dan jika dah cukup umur sekalipun taklah sampai jenazah kena mandi semula, cuma dia tidaklah boleh mencium jenazah itu jika dia bukan anak susuan tetapi anak angkat semata mata. Kalau dia hanya anak angkat, tak perlulah cium jenazah tersebut.

Hukum solat tahiyatul masjid pada waktu haram solat

Apakah hukum solat sunat tahiyatul masjid pada waktu haram solat seperti selepas Subuh, Asar atau semasa matahari tegak di atas kepala?

* Adam, Sabah.

UKE: Menurut pendapat rojih yang dipegang oleh as-Shafei, dibolehkan untuk mengerjakan solat sunat tersebut walaupun dalam waktu haram. Pendapat ini dipegang oleh Ibnu Taimiyah dan sebahagian daripada ashab Imam Ahmad.

Tags: agama
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments