mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memartabatkan syiar 
dan syariat Islam

ALHAMDULILLAH, seting­gi-tinggi rasa syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, dapat kita bersama di Dewan Perdana, PICC, bagi menyempurnakan Majlis Per­dana Ulama-Umara tahun 2015 dan Pelancaran Model Indeks Syariah Malaysia yang amat bersejarah ini. Semoga pertemuan kita, bukan sekadar pertemuan jasadi, tetapi adalah pertemuan yang menyatukan hati-hati kita ke arah matlamat yang sama.

Setinggi-tinggi penghargaan sa­ya ucapkan, buat sekalian ulama dan umara yang hadir bersama kita pada tengah hari ini. Demikian juga kepada para hadirin yang lainnya, termasuklah kepada urusetia yang telah menjayakan majlis ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Sekretariat Ulama~Umara (UMUM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang merupakan penganjur utama pro­gram tahunan kita ini.

Sesungguhnya, peluang untuk bersama dengan tuan-tuan para ulama dan umara salah satu perkara yang amat saya nanti-nantikan. Saya berkeyakinan, dalam kesungguhan negara merealisasikan program transformasi bagi mencapai visi yang telah digariskan, peranan dua tonggak umat ini iaitu ulama dan umara semestinya amat penting, dalam mencorakkan kejayaan yang dirancang. Rasulullah SAW telah memberikan tamsilan yang be­gitu baik sekali berkenaan per­kara ini.

HUBUNGAN ULAMA 
DAN UMARA

Baginda SAW telah menyifatkan para ulama, umpama bintang pe­tunjuk di langit. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Bandingannya para ulama di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit. Ia menjadi pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar, mereka yang berpandukannya akan sesat”.

Perbandingan buat para umara pula, Baginda Rasulullah SAW me­nyatakan bahawa umara ialah pe­risai ummah melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Pemimpin itu adalah perisai. Orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya”.

Begitulah gambaran indah dan tepat yang diberikan oleh Baginda SAW tentang kedudukan serta peranan ulama dan umara, dalam membangun umat dan negara ini. Makanya, sudah pasti ulama dan umara perlu kukuh mengukuhi antara satu sama lain.

UJIAN DAN CABARAN UMAT

Semenjak penu­buh­an negara Malaysia ini, kita telah berusaha dengan sepenuh daya, bagi mem­bangun­kan ne­gara ter­cinta. Sudah tentu putaran sejarah itu ada naik dan turunnya, kita telah melalui pelbagai liku dan getir zaman, khususnya tahun 2014 yang baru berlalu, kita diuji dan dicuba dengan pelbagai ujian. Namun yang lebih penting, kita sentiasa bangkit dan tidak pernah putus asa kepada Allah Yang Maha Esa.

Banyak cabaran yang telah berlalu, dan banyak lagi yang akan bakal menjelma. Segala ujian dan cabaran itu sememangnya memeritkan, na­mun yang lebih merisaukan kita ialah cabaran yang berbentuk serangan akidah dan pemikiran.

Oleh itu, para ulama dan uma­ra wajiblah berganding bahu me­mi­kirkan bagaimana ciri-ciri wasa­tiyyah, hikmah dan rahmah ini boleh dimanifestasikan ke dalam pelbagai ruang dan peluang agar akhirnya nanti segala persepsi buruk yang dikaitkan dengan Islam dan umatnya boleh dikikis secara perlahan-lahan.

MENANGANI PERSEPSI BURUK TENTANG ISLAM

Kita sesungguhnya tidak mahu hanya berjaya menyajikan kepada masyarakat sesuatu yang bersifat labeling (pelabelan) semata-mata. Adakah sesuatu yang tidak dilabelkan dengan jenama Islam, maka secara automatik ia menjadi tidak Islamik? Dan adakah jika sesuatu itu dilabelkan sebagai Islam, maka ia benar-benar menepati kehendak Islam?

Justeru, kebanyakan dasar dan program kerajaan tidak dilihat se­bagai menepati tuntutan Islam se­mata-mata, kerana ia tidak dije­namakan Islam. Yang dianggap sebagai menepati Islam, bagi mere­ka ialah apabila ia berlabel atau berjenama Islam.

Sebagai contoh, adakah sekolah rendah kebangsaan kerajaan yang tidak menggunakan label sebagai sekolah rendah kebangsaan Islam dilihat tidak Islamik? Hakikatnya terdapat juga silibus seperti Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang sama sepertimana yang diajar di sekolah rendah agama.

Begitu juga contoh lain, ada­kah Bank Rakyat itu kurang keislamannya berbanding Bank Islam, hanya kerana ia tidak dilabelkan dengan tag nama Islam atau menggunakan kalimah Arab? Sedangkan seluruh sistemnya ber­teraskan prinsip kewangan dan perbankan yang patuh syariah. Se­bagaimana kita berbangga dengan Bank Islam demikian juga kita berbangga dengan Bank Rakyat, kerana mereka mewakili aspirasi kerajaan yang menyasarkan Malay­sia untuk menjadi hab perbankan dan kewangan Islam dunia.

Sekiranya kita membangunkan sebuah indeks yang dapat dilak­sanakan dengan penuh ketelusan dan kecekapan berdasarkan prinsip Maqasid Syariah, maka saya ber­keyakinan, isu tanggapan buruk, kekeliruan serta fobia terhadap Islam dapat dimurni dan diperbetulkan.

Yang paling membim­bang­kan kita adalah, apabila terdapat sesetengah pi­hak yang terpengaruh dengan jalan songsang kononnya dalam per­­juangan un­tuk mem­­buktikan ke­­sucian Islam. Me­­reka ini telah me­nyalahtafsirkan konsep jihad, se­bagai perjuangan yang menghalalkan pengambilan nya­wa secara zalim dan tidak berasas.

Oleh kerana itulah, kerajaan Ma­laysia menyekat pengaruh radikal ini dan mengambil pendekatan wasatiyyah supaya kedua-dua syariat dan syiar Islam ini dapat diimarahkan, tanpa menimbulkan apa–apa kere­sahan kepada semua lapisan masya­rakat. Umat Islam memang secara semulajadinya memiliki rasa kecin­taan yang tinggi kepada Nabi Mu­hammad SAW dan sangat marah kepada sesiapa pun yang menghina Baginda. Bagaimanapun ini tidak bermakna, umat Islam boleh bertindak di luar batas-batas syariat Islam dalam menangani penghinaan ini.

LATAR BELAKANG KEWUJUDAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

Sejak memimpin negara ini, saya telah banyak mendapat input mengenai agenda Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat ter­ma­suk NGO-NGO. Sememangnya, sejak merdeka sehingga kini, ke­rajaan sentiasa beristiqamah dalam memastikan setiap usaha dan dasar yang kerajaan laksanakan adalah berpaksikan Maqasid Syariah.

Namun, usaha murni ini tidak dilihat menepati semangat dan tuntutan Islam oleh sesetengah pi­hak. Mungkin ini disebabkan tidak semuanya membawa label atau nama Islam, walaupun dari segi matlamat atau maqasidnya adalah Islamik.

Maqasid Syariah sememangnya telah diaplikasikan sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia selama ini, hanya ia belum pernah diukur pada suatu tahap sebenar. Oleh itu, inilah masa yang amat sesuai untuk menjelaskan salah faham dan tanggapan segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan sistem pentadbiran negara selama ini tidak mengikut prinsip-prinsip Islam.

Beriltizamkan perkara tersebut, di Majlis Perdana Ulama Umara pada 28 Ogos 2014 lalu, saya telah mencetuskan idea bagi Malaysia me­lakarkan satu dimensi baru, berkaitan Indeks Syariah Malaysia yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini. Indeks ini merupakan satu produk pelengkap Tadbir Urus Islam di Malaysia, yang boleh dianggap mempunyai nilai-nilai perintis. Dalam erti kata ia adalah menyeluruh, komprehensif dan yang pertama seumpamanya di dunia.

Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang diterajui oleh Jakim dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memulakan usaha untuk membangunkan Indeks Syariah ini.

Jika status maju atau mundurnya sesebuah negara itu diukur meng­gunakan Human Development Index (Indeks Pembangunan Manusia), maka adalah sangat perlu untuk kita juga mempunyai satu kayu ukur yang objektif dan saintifik, bagi menentu-ukur kedudukan kita dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan prinsip Maqasid Syariah.

TUJUAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

Indeks Syariah Malaysia merupa­kan satu kaedah pengukuran sain­tifik yang boleh menepati dua fungsi penting: Yang pertama, untuk menilai keseriusan usaha kita dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam berkaitan dasar dan program kerajaan. Dan yang kedua, bagaimana untuk kita mengenal pasti ruang-ruang pembaikan yang perlu diberi fokus oleh kerajaan, agar kita dapat menerima lebih banyak manfaat, hasil dari penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam.

Kaedah pengukuran ini dipanggil “indeks”. Oleh sebab pengukuran ini hendak disandarkan pada satu asas Islamik yang boleh diterima semua, maka saya memilih penyempurnaan Maqasid Syariah atau matlamat syariah sebagai asas ukuran ini.

Sebagai sebuah negara Islam, membina indeks yang dapat me­ngukur keseriusan usaha untuk meningkatkan tahap patuh Syariah pada setiap dasar dan program pentadbiran dan pembangunan negara, bolehlah di anggap sebagai inisiatif yang bertaraf perintis. Ini kerana kita mengambil tauladan dari Firman Allah SWT di dalam Surah An-Najmi ayat 39 yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang, me­lainkan (balasan) apa yang diusa­hakannya.”

Walaupun istilah indeks Sya­riah ada diguna oleh pelbagai pihak sebelum ini, namun begitu pembinaan indeks-indeks ini le­bih banyak dituju bagi kegunaan mengukur tahap kepatuhan Syariah dalam bidang-bidang tertentu seperti kewangan, perhotelan, industri ma­kanan dan pasaran saham.

KERANGKA KAJIAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

Keunikan Model Indeks Syariah Malaysia ini terletak pada pengukuran yang lebih menyeluruh. Ia mencakupi bagi fasa permulaan ini, lapan bidang utama, iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran, serta sosial.

Untuk setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima aspek dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, pemeliharaan nyawa, pe­meliharaan akal, pemeliharaan ke­turunan dan pemeliharaan harta. Kita akan mengukur dan menyemak sama ada dasar dan program yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian dan agensi berkaitan, menepati atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah itu sendiri.

Sebagai contoh, sesuatu dasar itu mungkin patuh Syariah. Tetapi yang juga penting adalah bagaimana dasar itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya, supaya keindahan dan rahmat di sebalik Maqasid Syariah itu akan lebih terserlah.

Dalam konteks ini, mengetahui apa nilai Indeks Syariah untuk satu-satu bidang, yang diukur melalui tahap kepatuhan Syariah dan juga persepsi masyarakat terhadap kualiti pelaksanaan dasar serta program berkaitan, ia akan dapat memberi gambaran setakat mana tercapainya matlamat Syariah dalam bidang tersebut.

Kerana itu, Indeks Syariah Ma­laysia berorientasikan pengukuran usaha bukannya semata-mata tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip dan nilai Islam. Dalam konteks ini juga, lebih tinggi nilai indeks bagi satu-satu bidang, maka bukan sahaja tahap patuh Syariah itu boleh dianggap tinggi, tetapi, kualiti pelaksanaan dasar dan program di bidang berkaitan boleh dibaca juga sebagai baik.

Lantaran itu, masyarakat bukan Islam juga menerima manfaat di sebalik penggunaan indeks ini. Sebab pada akhirnya, ia bertujuan mencari ruang-ruang pembaikan yang boleh ditambah baik. Jika kita sama-sama menerima sifat disiplin, sifat amanah, keadilan, kecekapan, keberkesanan dan ketelusan sebagai sifat-sifat mulia sejagat atau universal, maka sudah tentu kita juga akan menerima dua fungsi yang saya nyatakan tadi pada penggunaan Indeks Syariah Malaysia.

Saya dimaklumkan bahawa, didapati sudah lama ramai pemegang Akaun Mudharabah dalam bank-bank Islam di Malaysia adalah terdiri daripada orang bukan Islam. Sesungguhnya, nilai-nilai murni se­perti keadilan, ketelusan dan kebaikan di dalam sistem akad Islam inilah, yang telah menarik hati dan minat orang bukan Islam untuk menjadi antara golongan paling ramai membuka Akaun Mudharabah (perkongsian keuntungan yang beramanah).

Begitu juga dengan pemilik Sijil Halal Malaysia, hampir 68 peratus adalah dari kalangan yang bukan Islam. Juga beberapa produk syariah yang lain seperti takaful dan sistem gadaian Islam, telah menarik minat dan penglibatan mereka untuk mengambil manfaat daripada produk syariah tersebut.

Tentu sekali kaedah pengiraan Indeks Syariah Malaysia yang telah dibina, akan dimantapkan dan diperhalusi dari semasa ke semasa. Dengan peralihan tempoh yang sesuai, jumlah bidang yang diukur akan ditambah, aspek yang disemak akan diperincikan, kategori mereka yang diperoleh respon serta persepsi akan dipelbagaikan, dan skop agensi serta dasar yang dinilai akan diperluaskan.

Apabila sesuatu nilai indeks itu sudah diperoleh, tentu sekali tanggapan lumrah banyak pihak adalah, semakin tinggi nilai indeks itu, maka semakin baik dibaca tahap patuh Syariahnya. Justeru, persepsi masyarakat terhadap usa­ha penyempurnaan Maqasid Syariah dalam bidang tersebut semakin baik.

Namun, kita tahu bahawa tahap kesempurnaan itu tidak ada penghujungnya. Sebab itu kita mesti berlapang dada, dalam mencari ruang-ruang pembaikan yang boleh diberi fokus tambahan oleh pihak kerajaan.

Jika dahulu kita tidak ada satu kaedah ukuran yang saintifik dan sistematik, maka dengan indeks ini, kita sekurang-kurangnya ada kaedah untuk mengetahui di mana status kita, bukan sahaja dari segi tahap patuh Syariah usaha kerajaan, dalam penggubalan dasar dan program, tetapi juga, keseriusan kita dalam melaksanakan sesuatu yang Islamik berlandaskan piawaian sistem perkhidmatan Islam.

Indeks Syariah Malaysia ini tentu sekali tidak akan bersifat statik atau sekali guna sahaja. Ia mesti menjadi satu lagi mercu tanda untuk membuktikan keseriusan kerajaan dalam membawa proses transformasi yang tidak terpisah dari piawaian Islam.

Sehubungan itu, saya ingin meng­umumkan beberapa langkah utama yang penting supaya pe­laksanaan dan pemantauan indeks ini berjalan dengan sistematik dan lebih efektif. Antaranya ialah:

(1). Pertamanya, kita akan menu­buhkan sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia yang berfungsi sebagai badan pelaksana dan pe­mantau indeks ini yang akan membuat pemantauan dan pe­ngukuran indeks secara sepenuh masa.

Badan ini juga akan diberi kuasa untuk menilai tahap kesungguhan, semua pihak yang terbabit dalam menjayakan agenda melaksanakan Maqasid Syariah. Panel jawatankuasa ini akan dianggotai oleh tokoh dan pakar dalam bidang dasar dan polisi, syariah, indeks dan ekonomi Islam serta wakil NGO Islam. Kita akan umumkan senarai ahli panel selepas ucapan saya ini.

(2). Kedua, mengadakan program pencerahan dan penerangan tentang indeks ini supaya masyarakat tidak dipengaruhi dengan persepsi yang kurang tepat;

(3). Ketiga, memulakan kajian untuk menilai persepsi masyarakat serta tahap kepuasan mereka ter­hadap darjah patuh Syariah da­lam dasar dan program pihak ke­rajaan supaya masyarakat lebih berpengetahuan tentang keseriusan usaha kerajaan;

(4). Keempat, mengadakan pro­gram penjanaan idea bersama pelbagai pemegang taruh (stakeholder) untuk memperbaiki lagi usaha kerajaan supaya usaha mencapai tahap patuh Syariah ini membawa kepada budaya amal berjemaah;

(5). Kelima, melaksanakan usa­ha yang tersusun rapi bersama ke­menterian-kementerian serta agensi-agensi berkaitan supaya prestasi mereka dapat dinilai sama ada menepati tuntutan Maqasid Syariah sama seperti kerajaan me­nyemak pencapaian Indikator Pres­tasi Utama atau KPI setiap kementerian dan agensi.

Dengan sempurnanya pelancaran Model Indeks Syariah Malaysia pa­da hari ini, kerajaan akan mem­bentangkan kepada rakyat satu la­poran penuh Indeks Syariah Malaysia apabila siap sepenuhnya nanti. Ini adalah kerana daripada hasil kajian awalan oleh pihak Jawatankuasa Teknikal Indeks Syariah Malaysia didapati bahawa, banyak lagi dasar kerajaan serta program susulan yang menepati patuh syariah tetapi belum sempat lagi diukur.

Justeru, dalam usaha kerajaan mengimarahkan kepatuhan syariah terhadap dasar kerajaan selama ini, maka dasar yang tidak berlabelkan Islam tetapi menepati nilai Islam perlulah diambil kira demi mendapat ukuran yang lebih tepat dan menyeluruh.

MAKLUM BALAS HASIL LAWATAN PENANDA ARASAN KE BEBERAPA BUAH NEGARA

Dalam lawatan penanda arasan ke empat buah negara Islam, yang telah dilaksanakan oleh pihak Ja­watankuasa Teknikal Indeks Sya­riah Malaysia ke negara-negara se­perti Indonesia, Pakistan, Turki dan Maghribi. Mereka melaksanakan beberapa kaedah tersendiri dalam mengukur tahap patuh Syariah dalam bidang-bidang terpilih.

Kita bersyukur, kerana bumi Malaysia adalah bumi yang sangat bertuah. Dengan keamanan dan keharmonian yang kita kecapi se­­­lama ini, maka inisiatif yang me­nyeluruh seperti Model Indeks Sya­riah Malaysia dapat dibina dan di­bangunkan dengan sebaiknya. Ini adalah kerana, usaha-usaha mengimarahkan Islam di Malaysia tidak menghadapi apa-apa halangan sebagaimana yang sebaliknya berlaku di negara-negara Islam yang lain.

Oleh itu, mereka telah meletak­kan harapan yang tinggi ke atas inisiatif kerajaan Malaysia dalam membina indeks ini. Mereka sangat mengalu-alukan usaha kerajaan kita kerana melihat pendekatan kita bersifat syumul (komprehensif) dan terdapat penekanan elemen tadbir urus yang baik. Harapan saya dengan terbinanya indeks ini, ketelusan kerajaan Malaysia untuk memperkasakan 8 bidang utama dapat dijayakan.

Saya menyeru kepada semua pihak, agar menerima usaha telus ini untuk menambah baik pentadbiran kerajaan yang sememangnya te­lah menepati tuntutan Islam me­lalui Maqasid Syariah. Jika se­be­lum ini banyak pihak yang mem­pertikaikannya, tetapi dengan pengenalan Indeks Syariah ini yang merupakan satu kaedah yang objektif, telus, lebih komprehensif akan mampu memberi indikator pencapaian yang lebih tepat.

MEMARTABAT SYIAR DAN SYARIAT ISLAM

Hakikatnya, Perkara 3(1) Perlem­bagaan Persekutuan jelas meletakkan Islam sebagai agama negara. Begitu juga, sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO yang menyebut, me­ne­gak, mempertahankan dan me­ngem­bang­kan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan ber­agama.

Kerajaan juga sejak dahulu lagi telah berusaha untuk membasmi kemiskinan. Pelbagai dasar diper­kenalkan termasuk dengan memper­kenalkan penerokaan kawasan baru seperti Felda dan pelbagai agensi lain untuk memperbaiki taraf hidup dan membasmi kemiskinan rakyat. Kita dapati bahawa generasi Felda telah pun menikmati pendidikan dan kualiti hidup yang lebih baik pada hari ini. Kesemuanya ini, telah menepati kehendak prinsip pemeliharaan har­ta dan pemeliharaan akal yang terkandung di dalam Maqasid Syaria­h, walaupun kita tidak meng­gunakan label Islam.

Selama ini kita sering terkeliru yang mana perlu diutamakan antara substance atau form, intipati atau rupa luaran, syiar atau syariat. Mana satukah yang perlu diberi keutamaan. Ramai orang menganggap bahawa apa yang luar begitu penting tanpa memikirkan soal intipati di dalamnya.

Ibarat sebiji Durian Musang King yang amat menyelerakan untuk dimakan, tetapi bila dibelah, isi dalamnya berulat, atau sebiji durian yang buruk rupanya tetapi isi dalamnya boleh dimakan, atau sebiji durian yang cantik luarannya dan isinya bukan sahaja enak dimakan malah berkhasiat pula. Mana satu durian yang kita akan pilih? Sudah tentu dengan pertimbangan yang rasional, kita akan memilih durian yang ketiga. Kerana sememangnya, Islam mementingkan luaran dan intipati atau syariat dan syiarnya sekali.

Bezakan pula dengan usaha serius yang dijalankan oleh Kerajaan dalam membangunkan negara tercinta ini, dengan helah serta mainan politik sesetengah pihak. Mereka sering kali menitikberatkan penggunaan form atau syariat sahaja. Sesungguhnya apa yang kita laksanakan sebenarnya me­nitikberatkan syariat dan syiar iaitu substance dan form. Kedua-duanya mestilah seiring dan sejalan.

Sebab itulah orang tua-tua dahulu pernah berpesan ‘laksana bunga dedap, kelopaknya cantik, merah menyala, namun berbaunya tidak’.

KEPENTINGAN INDEKS SYARIAH MALAYSIA

Sebenarnya, dengan kewujudan Indeks Syariah Malaysia ini menunjukkan, betapa berani dan jujurnya kerajaan dalam mengukur usaha dan iltizam yang telah dilaksanakan berteraskan Maqasid Syariah.

Sesungguhnya, pembangunan In­­deks Syariah Malaysia ini amat penting untuk negara, bukan se­kadar hendak meninggikan syiar dan syariat semata-mata, bukan juga sekadar untuk membangunkan ekonomi dan bangsa. Tetapi, men­cakupi kemajuan setiap sektor, bidang dan komponen yang mem­bentuk sebuah negara yang maju dan progresif. Jika tidak dimulakan sekarang, kita bimbang akan jauh ketinggalan berbanding negara-ne­gara lain walaupun kita telah mencapai status negara maju.

Kerajaan sentiasa berusaha untuk memartabatkan syiar dan syariat Islam. Kita juga sentiasa menjaga perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama, sehingga Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Namun semua ini masih tidak mencukupi, kerana kita benar-benar mahu memacu Malaysia sebagai negara Islam Mithali dalam proses pembangunan dan tadbir urus patuh syariah berasaskan Ma­qasid Syariah. Kerana itulah, perlunya dibangunkan In­deks Sya­riah Malaysia ini sebagai pelengkap kepada cita-cita kita untuk mencapai status negara maju yang berpendapatan tinggi.

Inilah komitmen sebenar ke­­ra­jaan yang ingin melihat kedudukan syiar dan syariat Islam dimartabatkan melalui pengenalan indeks ini. Sepertimana yang dituntut melalui Firman Allah SWT di dalam Surah Al Ankabuut ayat ke 69 yang ber­maksud:

“Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Marilah kita bersama-sa­ma me­mohon kepada Ilahi. Perku­kuhkanlah saf kepimpinan ulama dan umara ini, supaya ia teguh berdiri.

Dengan rahmat Ilahi jua, jadi­kan pemimpin-pemimpin kita, pe­mimpin beramanah yang disayangi. Rakyat kita, rakyat yang dihormati. Bangsa kita, bangsa yang disegani. Negara kita, negara yang dicontohi. Agama kita, agama yang dirahmati. Dengan panduan Mu Ya Rabbi, agar di Negara tercinta ini, perpaduan menjadi sebati. Keharmonian kekal abadi.

Pada Mu Ya Allah,

Apalah kiranya, dikurniakan ke­ampunan kepada mereka yang telah mendahului kami, untuk mengadap-Mu, khususnya kepada para ulama, barisan umara, saf kepimpinan, pejuang agama, bangsa dan tanah air kami, dan tidak ketinggalan kepada seluruh umat Islam yang lain, yang telah pergi mengadap-Mu.

Engkau rahmati dan ampunilah dosa-dosa mereka.

Engkau jadikanlah tempat persemadian mereka, satu taman dari taman-taman syurga-Mu.

Berbekal doa, memohon Ilahi

Bersungguh kita, menempa sejarah

Bersandar syariah, menuju visi

Rahmat bangsa, berkat ummah

Kepada Allah, kami berserah!

Dengan lafaz, Bismillahir rah­ma­nir rahiim, saya dengan suka­citanya, merasmikan Majlis Perdana Ulama~Umara tahun 2015 dan sete­rusnya melancarkan Model Indeks Syariah Malaysia pada hari ini. - Utusan Malaysia Rencana 11 Februari 2015 12:53 AM

Tags: syiar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments