mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Menggarap strategi ampuh

TIDAK habis-habis umat Islam ketika ini diasak dengan pelbagai isu yang mencabar agama Islam dan syariahnya. Tentangan ini pula bukan hanya datang daripada kalangan bukan Islam malah daripada kalangan orang yang mengaku Islam yang ditambat dengan anutan liberalisme, pluralisme dan pelbagai isme lagi.


KITA telah diingatkan di dalam al-Quran bahawa orang bukan Islam tidak reda agama Islam sehinggalah kita mengikuti agama mereka. - Gambar hiasan

Dalam kalangan umat Islam yang mahu menegakkan syariat Islam pula, tidak mahu menzahirkan contoh teladan yang baik sehinggalah umat Islam sendiri menolaknya. Ekstremisme kumpulan Islamic State (IS) dan Boko Haram umpamanya tidak mempunyai tempat di hati umat Islam arus perdana yang berpegang kepada konsep Islam yang adil.

Natijahnya, Islam tidak dilihat sebagai sebuah model terbaik untuk menjadi ikutan masyarakat antarabangsa. Hakikatnya ajaran Islam diamalkan di negara bukan Islam (walaupun bukan atas nama Islam) tetapi norma yang sama tidak dapat diterapkan dalam kalangan umat Islam di negara Islam sendiri. Ironinya, Islam tidak diamalkan di negara Islam.

Dalam aspek yang lain pula ramai daripada kalangan ilmuwan Islam pada ketika ini pula konsep-konsep baharu mahu diperkenal dan dikembangkan sehingga orang awam menjadi keliru berkaitan dengan amalan yang sekian lama dilaksanakan mahu diubah sekelip mata.

Penulis bukan mahu mengkritik ilmuwan Islam ini tetapi sekadar meluahkan pandangan agar segala bentuk konsep sebegini hendaklah terlebih dahulu diputuskan bersama para ilmuwan sebelum sampai kepada masyarakat awam.

Bukankah salah satu sumber hukum di dalam Islam ialah ijmak ulama? Kenapa ijmak ulama ini tidak diperoleh tetapi mahukan ijmak sekalian umat?

Kalau suatu ketika dahulu kita pernah mendengar para ulama setelah memberi sesuatu pandangan mereka berkata ini adalah pandanganku, pandangan aku bagiku adalah betul tetapi berkemungkinan salah dan pandanganmu adalah salah tetapi berkemungkinan benar tetapi ketika ini amat jarang kita mendengar kalangan yang meraikan perbezaan pandangan dengan tertib yang mulia.

Melabel

Ada juga yang mendakwa memberi pandangan atas prinsip kebebasan bersuara tetapi apabila pandangan mereka disanggah mulalah mereka melabel pihak yang menyanggah dengan pelbagai gelaran. Penulis berpandangan sudah sampai masanya umat Islam, tidak kiralah sama ada daripada kalangan alim ulama, masyarakat awam, pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak pemerintah merangka strategi ampuh menangani segala permasalahan umat.

Mendabik dada dialah betul dan orang lain semuanya salah bukanlah merupakan pendekatan Islam. Mencari kesilapan orang lain dan menuding jari ke arah itu juga mestilah dihentikan. Umat Islam mesti berubah dalam strategi ini bagi menangani segala cabaran mendatang.

Tiada guna menyalahkan orang bukan Islam menentang agama Islam kerana memang kita telah diingatkan di dalam al-Quran, orang bukan Islam tidak reda agama Islam sehinggalah kita mengikuti agama mereka.

Yang perlu kita salahkan ialah diri kita sendiri masih memikirkan kepentingan diri mengatasi kepentingan umum tidak membuka minda dan saling menyalahkan antara satu sama lain, di samping tidak bersatu dalam kalangan umat.

Tags: strategi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments