mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Pendidikan Anak Dari Perspektif Islam

Sedutan Khutbah Jumaat 20 Februari 2015M / 01 Jamadilawal 1436H JAWI

"Pendidikan Anak Dari Perspektif Islam"

Islam adalah agama yang syumul dan lengkap sempurna. Ia hadir bersama rahmat untuk kehidupan manusia.

Pendidikan anak adalah perkara yang perlu dipandang serius kerana ia merupakan amanah dan ujian Allah yang perlu diurus dengan bijaksana.

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal pada ayat ke 27 dan 28 yang bermaksud: ”Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Dalam mendidik, tiga unsur insani perlu diberi perhatian ialah:

Pertama: Pendidikan Jasmani Ia merangkumi penyediaan makan minum, pakaian, tempat tinggal yang selamat dan mampu memelihara kesejahteraan fizikal mereka.

Kedua: Pendidikan Rohani Jiwa anak-anak perlu dipupuk dengan iman dan akidah yang benar. Taat mengerjakan solat dan kuat menjauhi maksiat dengan iman yang ditanam. Tabah dan sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran kehidupan.

Ketiga: Pendidikan Akhlak Anak-anak juga perlu dididik dengan budi pekerti yang mulia. Mereka perlu dilatih dengan melazimi akhlak-akhlak terpuji seperti bercakap benar, amanah, menyempurnakan tugasan, pemurah dan bertimbang rasa. Di samping itu mereka dididik untuk menjauhi sikap dan perlakuan yang tercela seperti suka berbohong, pemarah, dengki dan iri hati.

Langkah langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menyempurnakan pendidikan anak-anak mereka ialah:

Pertama: Menyediakan keperluan hidup sebaik mungkin dalam batas kemampuan.

Kedua: Sentiasa memberi nasihat dan pedoman ke arah kebaikan.

Ketiga: Mengawasi dan memperbetulkan kesilapan mereka.


Pendidikan anak-anak mestilah seimbang, tidak terlalu lembut atau terlalu keras. Kita perlu memulakan tarbiah dengan mengajar dan mengajak.

Pendidikan penuh kasih yang dianjurkan seorang rasul yang amat kasih kepada umatnya.

Surah At-Taubah ayat 128: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat perihatin ( dan inginkan) kebaikan untuk kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas ihsan serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Sebagai penutup, maka hayati lah bahawasanya:

Pertama : Islam adalah agama fitrah. Apa sahaja yang datang dari Islam pasti indah cuma setiap muslim perlu memahami dan mengaplikasikannya tepat serbagaimana pensyariatannya.

Kedua : Dalam urusan mendidik anak, kita perlu merujuk dan berpandukan nas-nas syariat untuk menjamin ketenangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Ketiga : Pendidikan dalam Islam berasaskan kasih sayang. Jika perlu merotan anak ia perlu dilakukan dengan bertujuan mendidik bukan untuk mendera apatah lagi menyiksa mereka.

Firman Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 11-18 : Bermaksud: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, cegahlah perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala musibah yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada setiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Wallahualam
Tags: anak, islam, pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments