mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tadbir urus berasaskan syariah

“KEMATIAN itu pasti,” tegas kha­tib semasa membaca khutbah Jumaat di sebuah masjid di Jitra, minggu lalu. Khutbah itu mengingatkan jemaah supaya insaf dengan segala perbuatan dan memperbanyakkan amalan. Mengingati kematian membuatkan kita insaf betapa manusia leka dengan kelazatan duniawi. Kuasa, pangkat, wang ringgit dan harta benda melekakan manusia.

Tidak pernah khutbah Jumaat mengajak umat Islam bermusuh dan bergaduh. Malah, khutbah Jumaat menjadi platform agar umat Islam tidak melakukan sebarang dosa seperti berzina, membunuh, me­ngumpat, memfitnah, mengambil harta anak yatim dan pelbagai lagi bentuk peringatan berasaskan ayat-ayat al-Quran dan sunnah. Khutbah Jumaat juga memberi pesanan yang baik kepada jemaah seperti menjaga masa, memperbanyakkan sedekah, menimba ilmu dan menyebarkannya meskipun sepotong ayat serta mendidik anak-anak agar menjadi anak yang soleh dan solehah.

Tidak pernah sama sekali, khutbah Jumaat digunakan untuk tujuan menghasut dan membenci orang lain. Bahkan, khutbah Jumaat memberi peringatan agar hidup harmoni, bersabar atas sebarang malapetaka dan bersyukur terhadap kurniaan Allah SWT.

Jadi, dalam hal ini, tiada siapa pun perlu bimbang dengan isi kandungan khutbah, kerana kebiasaannya mengajak umat Islam melakukan kebaikan dan menghindari sebarang kemungkaran. Asasnya, umat Islam perlu berpegang pada al-Quran dan Sunnah agar kehidupan manusia selamat di dunia dan di akhirat.

Lantaran itu, apabila Sultan Pe­rak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar majlis rasmi istana dan Kerajaan Negeri Perak dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, itu satu perkara yang sewajarnya dialu-alukan dan disokong oleh semua pihak. Sebaik-baiknya pembaharuan ini menjadi amalan untuk kerajaan negeri lain dan Kerajaan Persekutuan serta sektor korporat bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan umat Islam terhadap kitab suci al-Quran ini.

Ketika ini tidak banyak majlis rasmi yang memulakan majlis de­ngan bacaan ayat suci al-Quran. Bacaan ayat suci al-Quran berserta dengan terjemahan membantu mengurangkan sebarang kekeliruan mengenai al-Quran dan agama Islam itu sendiri.

Sekarang ini umat Islam dilabel sebagai ekstremis. Sedangkan di seluruh dunia terdapat golongan ekstremis yang bukan terdiri daripada umat Islam. Kejadian terbaharu melibatkan pembunuhan tiga pelajar Islam di Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS) tidak pula digolongkan sedemikian. Pembunuhan tiga pelajar Islam berkenaan dikatakan atas faktor kebencian semata-mata.

Adalah amat salah melabelkan penganut Islam sebagai golongan pengganas. Bayangkan di Malaysia sendiri sistem kewangan Islam yang begitu baik berbanding sistem kewangan konvensional dikuasai oleh bukan Islam. Maksudnya di sini, bukan Islam menerima sistem kewangan Islam sebagai sistem yang begitu baik berbanding sistem kewangan konvensional. Jika tidak, masakan mereka berminat dan menguasai sistem kewangan Islam?

Atas dasar itu, apabila kerajaan mengumumkan Indeks Syariah, ini bermakna seluruh rakyat Malaysia akan menerima manfaatnya.

Dijangkakan, laporan pertama Indeks Syariah akan dapat dikeluarkan dalam tempoh kurang setahun. Tidak perlu gusar dengan perkataan Syariah bagi yang bukan Islam. Ini kerana agama Islam berpandukan keadilan, kesaksamaan dan menentang kejahatan serta kezaliman. Malah, berasaskan prinsip Maqasid Syariah, Insya-Allah kesejahteraan rakyat akan terpelihara.

Misalnya dalam bidang ekonomi dan kewangan, agama Islam mengharamkan sama sekali riba kerana ini satu bentuk kezaliman dan ketidakadilan. Riba juga menindas pihak yang tidak berkeupayaan sehingga memberi kesan yang lebih memudaratkan kepada mereka. Tidak cukup dengan itu, agama Islam melarang sama sekali rasuah, pembaziran dan ketirisan kerana ketiga-tiga ini menyebabkan ketidakcekapan dalam sesuatu sistem, organisasi mahupun negara.

Apabila berlaku rasuah, keadilan tidak mampu ditegakkan. Rasuah boleh merosakkan dan memusnahkan sesiapa sahaja termasuklah organisasi besar mahupun negara. Begitu juga sebarang pembaziran dan ketirisan mendatangkan kerugian besar kepada rakyatnya.

Agama Islam juga melarang sebarang penindasan perniagaan berbentuk monopoli terhadap rakyat. Apabila kesejahteraan rakyat tidak dapat diperoleh ekoran penindasan yang dilakukan oleh segelintir pihak, ia boleh mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Situasi ini tidak baik untuk sesebuah negara dan tidak mustahil timbul pelbagai permasalahan lain kepada rakyat.

Selain monopoli, ketidakadil­an tidak mampu dicapai dari sudut perniagaan berasaskan segelintir golongan yang mempunyai pe­ngaruh dan kuasa mengambil ke­sempatan sebagai pencari sewa atau rent seekers. Di sini akan timbul penganiayaan terhadap pihak lain bahkan pihak yang tidak layak pula dapat mengaut keuntungan yang merugikan rakyat.

Untuk menanganinya, pokok pangkalnya amalan keadilan dan akauntabiliti ditegakkan sebagaimana ditekankan dalam ajaran Islam. Sistem perniagaan yang ke­seluruhannya beretika dan berintegriti disokong pula oleh persekitaran yang amanah dan telus dapat menangani penganiayaan dan kezaliman. Dalam hal ini, sebarang penambahbaikan terhadap dasar dan program kerajaan menjurus kepada kebaikan dan keadilan kepada semua pihak.

Amalan tadbir urus yang berasaskan syariah semata-mata ke­tauhidan kepada Allah SWT adalah jawapan terbaik untuk membina sebuah negara yang bukan setakat maju dan rakyatnya berakhlak tinggi tetapi juga insya-Allah diberkati dan dirahmati-Nya dalam konteks kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 24 Februari 2015 1:29 AM

Tags: syariah, tadbir
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments