mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Zikrullah Membentuk Akhlak, Merubah Kehidupan”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 27 Februari 2015:  JAIS

“Zikrullah Membentuk Akhlak, Merubah Kehidupan”

Zikrullah ialah mengingati Allah dengan lisan dan perbuatan secara zahir mahu pun batin.

Dengan berzikir kepada Allah, kita sentiasa melakukan perhubungan kepada Allah SWT.

Ini memang merupakan satu daripada ciri orang bertaqwa.

Skop zikir amatlah luas. Ianya meliputi segala perbuatan zahir mahupun batin selagi ditujukan kepada mengingati Allah. Termasuklah bila kita menyebut nama Allah SWT secara khusus, melakukan solat wajib dan sunat terutama solat sunat di waktu selepas satu pertiga malam, berpuasa, berzakat, membaca al-Quran, menuntut ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, berdoa, tidak melakukan maksiat, bekerja untuk mencari pendapatan yang halal dan merenung serta memikirkan pelbagai kejadian Allah SWT disamping mengucapkan sesungguhnya segala kejadian ini adalah ciptaan Allah SWT yang maha besar.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 191: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka”.

Amalan berzikir mempunyai adab. Antaranya menyebut lafaz zikir seperti contoh “Lailaha Illa Allah” dan lain-lainnya dengan betul, berzikir dalam keadaan hati dan perasaan yang bersih dan suci.

Ketika berzikir pula kita dapat merasakan keagungan, kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Disamping itu kita hendaklah melakukan zikir dengan suara yang perlahan sekadar didengari oleh si penzikir sendiri. Berzikir dengan menyebut lafaz-lafaz yang terdapat dalam al-Quran atau as-Sunnah.

Apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah SWT maka ia akan yakin dengan segala ketetapan yang ditentukan oleh Allah SWT. Ini akan menjadikan mereka jujur, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin, sentiasa mengutamakan nilai mulia ketika berkomunikasi dengan masyarakat seperti, sabar, belas kasihan dan menyayangi setiap manusia dan segala jenis makhluk yang ada di dunia.

Lantaran itu, seorang yang sentiasa berzikir akan merasa dan menikmati ketenangan yang menyebabkan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah SWT.


Antara kesan yang bakal diperolehi oleh mereka yang sering berzikir ialah; ALlah SWT akan melindungi mereka daripada perkara yang dibenci oleh-Nya.

Mereka juga akan dapat mengawal nafsu supaya sentiasa melakukan perkara yang baik sahaja.

Disamping itu mereka akan dapat mengawal diri daripada godaan iblis dan syaitan.

Orang yang sentiasa berzikir akan dapat menghidupkan hati dan insyaAllah akan terhindar daripada lalai dan leka, kerana hati si penzikir akan sentiasa redha, qanaah dan merasa cukup dengan segala apa jua rezeki dan ketentuan yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Umat Islam disarankan agar;

1. Sentiasa mengingati Allah, Allah pasti mengingati kita, oleh itu ingatlah Allah.

2. Amalkanlah zikir-zikir harian dan jadikan zikir-zikir sebagai amalan harian setiap ketika dan semasa.

3. Carilah ketenangan dengan melaksanakan zikir dan ketaatan kepada Allah SWT.

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) –Ku”. (al-Baqarah- 152).

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan.

Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Tindakan ekstremis juga boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama islam. Sebaliknya seluruh umat islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati. Wallahualam.

Tags: akhlak, zikir
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments