mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kismis doa, air jampi ubah anak jadi mengarut

Jika anda berkunjung ke Perlis dan sempat menunaikan solat berjemaah di masjid-masjid utama di negeri ini, pasti akan merasa hairan kerana beberapa amalan berbeza dipraktikkan di negeri Indera Kayangan itu.

Antaranya surah Al-Fatihah yang dibaca imam tidak didahulukan dengan Bismillahirrahmanirrahim, tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh dan tidak juga membaca doa selepas mana-mana solat fardu.




Mohd. Asri Zainul Abidin

Penduduk di negeri ini turut tidak mengadakan majlis tahlil mahupun bacaan Yasin pada malam Jumaat seperti kelaziman dilakukan rakyat dari negeri-negeri lain.

Meskipun demikian perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah menjadi amalan lazim penduduk Perlis sejak sekian lama.

Soal perbezaan sesetengah amalan itu diajukan wartawan pada hari pertama Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dilantik buat kali kedua sebagai Mufti Perlis pada 16 Januari lalu bagi menggantikan Datuk Dr. Juanda Jaya.

Mohd. Asri yang menjawabnya de­ngan tenang berharap umat Islam di negara ini menghormati perbezaan pandangan itu. Malah berharap perkara itu tidak dijadikan isu besar kerana bukan sahaja berlaku di Perlis tetapi juga di Arab Saudi dan negara-negara Islam lainnya. Ini terma­suk ketika seluruh umat Islam dunia menunaikan rukun haji.

Islam menurut­nya, tidak me­ngapa sedikit ber­beza ke­rana keluasan pandangannya namun mestilah berlandaskan hujah dan dalil serta perbincangan secara ilmiah dan kesarjanaan.

Beliau dengan tegas menyatakan mendukung Ahli Sunnah Wal Jamaah berharap agar janganlah di­sebabkan perbezaan itu, umat Islam berpandangan serong terhadap Perlis apatah lagi merasa takut dan curiga.

Sebaliknya apa lebih penting ditangani oleh umat Islam adalah perkara-perkara khurafat yang melanda golongan itu sehingga kadang-kadang boleh memperlekehkan martabat agama suci itu. Apatah lagi dengan kehadiran hadis-hadis palsu.

Lebih malang dek kerana percayakan hadis palsu dan perkara khurafat, ada sesetengah umat Islam yang me­yakini Nabi Adam A.S pernah turun ke Gunung Jerai, Kedah. Atau kapur barus yang digunakan untuk mengawet mayat Firaun di Mesir diambil dari Yan, Kedah.

Kepercayaan ‘pelik’ orang Islam terhadap keajaib­an air jampi juga perlu ditentang. Betapa ramai umat Islam masa kini sanggup datang dari jauh untuk ke rumah ‘ustaz-ustaz’ tertentu hanya untuk mendapatkan air jampi.

Nabi Muhammad SAW berdoa pada air untuk meng­ubati penyakit dan sihir, sebaliknya orang Islam sekarang pergi mendapatkan air jampi kononnya untuk menjadikan anak mereka cerdik atau mengubati si suami yang ‘nakal’.

Inilah yang membelenggu kejahilan orang Islam masa kini. Ujar Mohd. Asri, jika begitulah mudah untuk membentuk umat Islam, ramailah termasuk bekas banduan berubah menjadi baik sejurus sahaja diberi minum air jampi.

Bukan sahaja air jampi, air zam-zam turut didoakan. Air itu kemudian dijual berlipat kali ganda sehingga mencecah RM10 sebotol. Yang menerima manfaat ialah individu yang menjalankan perniagaan itu atas eksploitasi agama.

Mohd. Asri juga hairan bagaimana para ibu bapa sanggup menghabiskan wang membeli pelbagai kismis doa yang bukan murah harganya untuk menjadikan anak mereka cerdik. Hanya kerana di botol itu ditampalkan gambar seorang ustaz.

Secara sinis, beliau mengajak golongan itu bersikap matang dan memikirkan sejenak bagaimana seseorang ustaz boleh berdoa pada berlori-lori kismis. Perkara-perkara itu hanya akan menyebabkan orang Islam terperangkap dalam ‘ketidakcerdikan’ sehingga menjadikan mereka malas berusaha.

Dalam pada itu, konsep keterbukaan pandang­an dalam Islam di Perlis dibuktikan apabila pihak berkuasa agama tersebut turut menyerahkan pelantikan watikah tauliah mengajar kepada penduduk berkelayakan dari negeri lain, baru-baru ini.

Tags: jampi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments