mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tarbiah pengabai solat Jumaat

TINDAKAN Kerajaan Terengganu mentarbiah (mendidik) individu beragama Islam yang berkelakuan tidak sopan, memakai pakaian mencolok mata dan meninggalkan solat Jumaat khususnya mat rempit dengan menjalani sesi kaunseling di sekolah pondok selama tiga hari, adalah dialu-alukan.

Syabas diucapkan kepada kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman atas usaha menyelamatkan umat Islam Terengganu daripada terus melakukan maksiat. Arahan itu pula wajib dipatuhi kerana dikeluarkan oleh ketua. Lagipun arahan itu tidak menyalahi peraturan agama.

Selepas tarbiah jika masih buat kesalahan sama, mereka akan diarak menaiki kenderaan jenazah. Indahnya Islam. Sebelum dihukum ditarbiah terlebih dahulu. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (an-Nisa’:59)

Pastinya, hukuman di atas muka bumi ini jauh lebih ringan berbanding bakaran neraka Allah kepada mereka yang meninggalkan perkara wajib dalam Islam. Perbuatan tidak solat Jumaat bagi lelaki, mendedahkan aurat baik lelaki atau wanita hukumnya sama iaitu berdosa besar.

Penulis bagaimanapun mahu memberi tumpuan kepada kefarduan solat Jumaat. Memang umat Islam di negara kita sedia maklum tentang hal ini. Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk meng­ingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Jumu’ah: 9)

Malangnya tidak semua me­nunaikan solat Jumaat walaupun diberikan pelepasan waktu bekerja malah di sesetengah negeri diisytihar cuti. Begitulah insan yang lalai dan lupa terhadap janji mereka sebagai mana tujuan penciptaan manusia iaitu untuk menyembah Allah. (rujuk adz-Dzariyaat: 56)

Dalam berdakwah, keinginan untuk mendidik manusia hanya akan lahir apabila aspek at-targhib (beri galakan) dan at-tarhib (me­nimbulkan rasa gerun) sentiasa mengiringi isi-isi dakwah yang lain.

Imam Ahmad meriwayat­kan daripada Ibn Masud bahawa Nabi SAW bersabda mengenai mereka yang tidak solat Jumaat: “Saya telah diajar mengajak lelaki memimpin manusia di dalam solat, maka saya sepatutnya membakar rumah-rumah lelaki yang gagal menyertai solat Jumaat.” (riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Ibnu Umar bahawa mereka mendengar Nabi SAW bersabda di atas mimbar: “Ada dalam kalangan kaum/mereka yang patut berhenti mencuaikan Jumaat atau Allah SWT akan kuncikan (pateri) hati-hati mereka, maka sudah pasti mereka dalam kalangan yang lalai (Ghaafiliin).”

Sepakat ijmak ulama dalam hal ini. Namun, jika seseorang yang diwajibkan ke atasnya solat Jumaat mempunyai uzur syarie se­perti pada masa Jumaat itu bertanggungjawab ke atas ke­selamatan, lalu lintas, sistem perhubungan/komunikasi dan sebagainya atau giliran kerjanya adalah pada waktu panggilan terakhir solat Jumaat ataupun solat berjemaah - maka mereka ini diberi rukhsah (kelonggaran) tidak solat Jumaat atau solat jemaah.

Perlu diingat, mereka yang ditugaskan itu janganlah pula mengharapkan supaya dia bertugas pada waktu sembahyang Jumaat agar terlepas daripada menunaikan solat Jumaat. Janganlah kita mengabaikan solat fardu atau kewajipan lain dalam agama kerana perbuatan itu akan mendatangkan kecelakaan di akhirat kelak. Beruntunglah ada pemimpin yang prihatin terhadap rakyatnya yang mengajak kepada kebaikan bagi mengelak azab neraka kelak.

- Mohd Radzi Mohd Din Utusan Malaysia Rencana Agama 27 Februari 2015 1:04 AM
Tags: jumaat, tarbiah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments