mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berlumba cari pahala

ALLAH SWT tidak akan jadikan sesuatu itu secara sia-sia melainkan disertakan-Nya segala hikmah dan kebaikan buat hamba yang terpilih. Lantas, ini bermakna bukan semua orang dalam dunia ini menerima ujian yang sama atau pada waktu yang sama. Ujian Allah SWT itu berbeza- beza mengikut takdir dan kehendak-Nya.


Ikuti perkongsian kisah penyampai radio IKIMfm, Nik Hasnah Ismail sewaktu mengikuti rombongan umrah anjuran radio IKIMfm, Dirgahayu Consultant dan Gemilang Travel & Tours.

Berada di dua tanah suci membawa sarat pengajaran mendidik jiwa

“Saya selalu membetulkan tanggapan hati pada saat saya rasa mahu rebah kerana penatnya berdepan pelbagai cabaran kehidupan. Dari saat saya mula menyediakan pelbagai dokumen untuk anak perempuan, Nadine Hanim Mahadi, sembilan tahun yang ikut serta dalam program Kembara Haramain ke Mekah dan Madinah anjuran Radio IKIMfm, sehinggalah ujian sakit ibu ketika di sana.

Allahu Akbar! Ujian itu satu nikmat sebenarnya. Nikmat untuk mengecapi manisnya merintih memohon pertolongan hanya kepada Allah Yang Esa. Manisnya saat kita menyebut nama Tuhan pada waktu kita benar-benar mengharapkan pertolongan-Nya.

Sesungguhnya, Allah Yang Maha Besar yang mengatur takdir setiap hamba itu dengan cantik dan indah. Dua minggu sebelum berangkat ke Mekah, saya dimaklumkan Nadine Hanim tidak boleh turut serta kerana bapanya sahaja dibenarkan menjadi mahram, sedangkan kami menggunakan abang kandung saya sebagai mahram kami.

Bagaimanapun Nadine masih ada peluang untuk menunaikan umrah sekiranya dapat melengkapkan beberapa dokumen yang ditetapkan oleh pihak Kedutaan Arab Saudi. Bermula dari situ, saya terpaksa memanjat beberapa pejabat berkaitan untuk mendapatkan pengesahan dokumen dan kebenaran daripada pihak berwajib bagi kelulusan memperoleh visa. Proses menyiapkan dokumen ini sedikit menguji saya kerana terpaksa ke hulu ke hilir dan berdepan dengan waktu menunggu yang lama.

Saya selalu percaya apabila menjadi tetamu di Tanah Suci Mekah, bukan kita memilih untuk menjadi tetamu-Nya, tetapi Mekah yang memilih kita sebagai tetamu di rumah Allah. Umrah pada kali ini, turut disertai ahli keluarga lain iaitu abang, kakak ipar, anak saudara dan juga ibu.

Semasa di Mekah dan Madinah, ibu yang sihat sebelum ini berhadapan dengan masalah kesihatan yang teruk. Penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak lima tahun lalu membuat ibu berada dalam kondisi yang amat terjejas.

Ia di luar jangkaan kami adik-beradik. Bagaimanapun melihat ini bukan sebagai satu ujian untuk ibu tetapi sebenarnya ujian kepada adik-beradik yang lain. Apa tidaknya, Allah mahu menguji sejauh mana kami dapat mencurahkan sepenuh bakti kepada insan mulia bergelar ibu.

Jujurnya, saya mengambil waktu untuk memahami semua ini, akhirnya saya dapati berbakti kepada orang tua adalah satu tuntutan dan keutamaan bagi saya. Menerima ujian Allah dengan sabar adalah satu proses pendidikan hati yang terbaik. Manakala ujian sakit adalah kafarah dosa yang Allah berikan buat hamba yang terpilih.

Dalam rombongan kami, kebanyakan jemaah membawa ahli keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak. Ini sedikit sebanyak memudahkan saya untuk menjaga kebajikan ibu apabila anak perempuan saya banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan sebaya dan sepupunya.

Apa yang sangat menarik di Mekah, adalah manusianya berlumba-lumba untuk mencari pahala. Ketika saya membawa ibu dengan menggunakan kerusi roda untuk menunaikan solat fardu di masjid yang jaraknya kira-kira 850 meter dari hotel, ada sahaja yang berhati mulia membantu untuk menolak kerusi roda ibu memasuki ruang masjid yang dilimpahi ribuan umat manusia. Saya dan abang secara bergilir-gilir membawa ibu ke masjid dan adakalanya melakukan tawaf sunat sebagaimana permintaan ibu.

Pengajaran luar biasa

Hakikatnya ujian ini bukanlah sebesar manapun jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Malahan, ketika kami melakukan ziarah ke Bukit Thur yang juga dikenali sebagai Bukit Tursina, Ustaz Zul Ramli yang bertindak sebagai mutawif menukilkan betapa hebatnya kasih sayang seorang wanita yang bernama Asma’ binti Abu Bakar.

Bayangkan pada saat sarat mengandung, Asma’ memanjat Bukit Thur, sebuah bukit berbatu yang kering kontang itu untuk menghantar bekalan makanan kepada ayahandanya Abu Bakar as-Sidiq yang pada saat itu menemani Nabi Muhammad SAW ketika bersembunyi daripada kejahatan kaum Quraisy yang memusuhi Islam.

Bukit Thur mempunyai kisah yang amat menarik dalam sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah dan perjuangan baginda menyebarkan syiar Islam. Namun melalui penulisan ini, saya hanya mengutip sebahagian kecil daripada kisah yang panjang itu.

Apa yang pasti, keutuhan, kecekalan dan ketabahan Asma’ memiliki pengajaran luar biasa terhadap pembinaan kekuatan spiritual saat kita melalui ujian dalam kehidupan.

Wanita ahli syurga yang juga anak kepada Amirul Mukminin Abu Bakar as-Sidiq, Asma’ adalah antara serikandi Islam yang banyak memberi contoh tauladan buat kita semua.

Umrah dan ziarah kami tidak hanya menukil kepada bingkisan riwayat Asma’ kerana kami juga dibawa menziarahi perkuburan Ma’la, tempat persemadian seorang wanita mulia yang memiliki kekuatan luar biasa. Saiditina Khadijah binti Khuwailid pada saya, bukan wanita biasa, beliau bukan hanya isteri kepada seorang Nabi yang mulia, tetapi permata agama yang bergemerlapan sepanjang zaman.

Menurut satu hadis Rasulullah SAW menggambarkan Saiditina Khadijah: “Dialah (Khadijah) orang yang beriman ketika manusia mengingkari, dialah yang membenarkan aku ketika manusia mendustakan aku dan dialah juga yang menyara hidupku ketika manusia memulauku.”

Dialah Khadijah yang juga disebut sebagai Ummu Mukminun, seorang wanita yang saya kira kita semua amat terhutang nyawa kepadanya di atas segala pengorbanan dan kesanggupannya menyerah sepenuh jiwa raga untuk agama Allah yang kita semua hari ini dapat mengungkap nikmatnya sebuah kalimah syahadah.

Luar biasa kecintaan Khadijah kepada Agama Allah, sehingga pada hujung usia tuanya, dia mengungkap kepada Rasulullah: “Jika tulang belulangku boleh digunakan sebagai senjata perang, maka ambillah.”

Jika menyelak sejarah, Khadijah tidak lari daripada berdepan ujian kehidupan, terutama ujian yang dilalui oleh suami tercinta Baginda Rasulullah SAW sedikit sebanyak turut dirasakannya. Namun wanita yang selalu tenang ini tabah berdepan walau apa juga pahit getir yang dihadapinya.

Kehebatan dan kemuliaan Khadijah sehingga dalam satu riwayat disebut sebagai seorang wanita yang mendapat pandangan kemuliaan Allah SWT. Sebagaimana disebut dalam sebuah riwayat bahawa Jibril as pernah berkata kepada baginda Rasulullah SAW: “Wahai Muhammad, tolonglah sampaikan salam Allah kepada Khadijah, juga salamku.” Kemudian, apabila baginda Rasul bertemu dengan Khadijah, disampaikan pesan Jibril kepadanya: “Wahai Khadijah, malaikat Jibril as menyuruh aku agar menyampaikan salam Allah kepadamu, juga salam daripada Jibril sendiri.”

Jawapan Khadijah kepada Baginda: “Kepunyaan Allahlah salam (keselamatan) dan daripada-Nya jualah datangnya salam, semoga keselamatan yang sama diberikan-Nya kepada Jibril as.”

Riwayat daripada kedua-dua bingkisan ini cukup besar menyuluh hati saya agar selalu tenang berdepan ujian Allah SWT. Apalah sangat ujian kesusahan yang kita lalui hari ini jika dibandingkan dengan kesulitan yang dilalui oleh mereka yang terdahulu.

Namun, iman yang kental dan akidah yang tinggi menjadi bingkai kepada ketaatan kepada perintah-Nya. Kecintaan terhadap agama Allah menjadi keutamaan dalam kehidupan dan kerana itulah mereka adalah insan mulia yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Mudah-mudahan selingkar kisah ini membuka relung hati kita dengan luas untuk melihat hidup ini sebagai medan bagi meninggikan darjat kita di sisi-Nya. Tiada yang lebih indah bagi hati yang sabar dengan ujian adalah buah ketenangan dan kekuatan hati untuk terus mendekatkan diri kepada Allah seterusnya menjadi seorang hamba yang taat kepada-Nya.

Tags: umrah
Subscribe

  • 13 larangan ihram harus dijaga

    LARANGAN ihram merupakan satu daripada perkara wajib haji atau wajib umrah. Melanggarnya tidaklah membatalkan umrah atau haji tetapi dikenakan dam.…

  • Permasalahan hukum 
di Masjidil haram

    PERMASALAHAN hukum di Masjidilharam sering dihadapi oleh jemaah apabila mereka menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah. 1. Tidak berniat ihram…

  • Dam dalam 
ibadah haji, umrah

    DAM dalam ibadah haji dan umrah dari segi bahasa bermaksud darah manakala dari segi istilah pula bermaksud ibadah gantian yang merupakan binatang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments