mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Arak Ibu Segala Maksiat”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 13 Mac 2015: Jabatan Agama Islam Selangor

“Arak Ibu Segala Maksiat”

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji yang termasuk amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Arak adalah apa sahaja minuman yang menyebabkan peminumnya menjadi mabuk dan hilang pertimbangan akal. Apabila akal tidak dapat berfungsi mengawal pergerakan dan perbuatan manusia, maka ia sangat terdedah kepada perlakuan negatif dan jahat.

i. Kajian pernah dijalankan di Amerika Syarikat, England, Kanada dan Afrika Selatan tentang hubungan budaya meminum arak dengan kes keganasan rumahtangga.

ii. Kajian statistik pernah dilaksanakan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah menyumbangkan kepada 13,846 kes kemalangan maut di negara tersebut

iii. Wujud beberapa pergerakan dan organisasi di seluruh dunia yang menentang penggunaan arak di serata dunia, seperti Mothers Against Drunk Driving (MADD) atau Persatuan Ibu-ibu Menentang Pemandu Mabuk, Latvian Women's Anti-Alcohol Society (Persatuan Wanita Latvia Anti Alkohol) dan lain-lain.

iv. Sejarah mencatatkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat, sebuah negara liberal pernah mengharamkan penjualan, pengilangan dan pengangkutan arak kerana menyedari kemudaratannya. Ia dilakukan melalui pindaan perlembagaan negara dan Akta Larangan Kebangsaan pada tahun 1919.

Demi memelihara akal dan kemaslahatan masyarakat, Islam melarang keras perbuatan meminum arak dengan ancaman menguatkuasakan hukuman yang berat.

Pertama, peminum arak yang disabitkan kesalahan berhak dikenakan sebatan hudud sebanyak 40 kali.

Kedua, ibadah orang meminum arak tidak diterima Allah.

Ketiga, peminum arak tidak akan merasai arak di syurga yang lebih lazat tetapi tidak memabukkan.

“Barangsiapa meminum arak, maka ibadah solatnya tidak diterima selama 40 malam. Jika dia bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. Jika dia mengulanginya lagi, maka menjadi hak Allah untuk memberinya minum air nanah.” (Riwayat Ahmad).

Sebuah lagi hadis daripada Abdullah Ibnu Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa meminum arak di dunia, maka dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat, kecuali jika dia bertaubat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang-orang yang terlibat dengan urusan arak juga berdosa dan dilaknat Allah. “Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya”. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Kita hendaklah mengelakkan diri dari meminum arak, menjualnya, menghidangkannya, bekerja di kilangnya, memandu lori yang membawanya atau melabur dalam syarikat arak. Kesemua ini akan memalitkan kita dengan dosa arak.

Di Negeri Selangor, umat Islam adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah. Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2) Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya

Mengambil arak secara berkala dan berterusan boleh menjeremuskan peminumnya kepada pelbagai penyakit seperti penyakit gastrik, penyakit pancreas, ulser peptic, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit kanser gigi dan penyakit saraf seperti sawan dan kebas.

Penagih arak pula akan hilang nilai diri, tidak terurus dan tidak segan silu bertindak berlawanan dengan norma kebiasaan masyarakat. Kesan kepada sosial pula termasuk fenomena tidak sedar diri, hilang pertimbangan diri, mudah marah dan bertindak ganas kepada orang di sekeliling, terutama ahli keluarga.

Islam mengharamkan arak dan segala minuman yang memabukkan. Tidak kira sama ada ia dinamakan wain, wiski, beer, vodka, todi, samsu, tuak dan lain-lain.

Daripada huraian khutbah ini, dapatlah kita ambil pengajaran bahawa:

i. Umat Islam hendaklah menjauhi perbuatan meminum arak kerana ia adalah dosa besar.

ii. Umat Islam hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dengan semua urusan berkaitan arak.

iii. Umat Islam hendaklah mengelak dari melabur dalam saham syarikat dan perniagaan yang berkaitan dengan arak.

iv. Umat Islam hendaklah mengelakkan diri menghadiri majlis-majlis yang menghidangkan arak.

v. Umat Islam juga hendaklah mengelak dari bekerja di premis-premis yang menjual arak.

vi. Umat Islam hendaklah sedar bahawa akibat buruk arak bukan sahaja mengenai peribadi peminum, tetapi ia turut menjejaskan masyarakat dan negara.

vii. Kita perlu sedar bahawa balasan buruk akibat minum arak adalah dikenakan hukuman sebat hudud, juga diharamkan merasai arak di syurga, diseksa dalam neraka dan diminumkan air nanah ketika di akhirat kelak

“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”. (al-Maidah-91).

Wallahualam.

Tags: arak, khutbah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments