mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ "Dakwah Tanggungjawabku"

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 13 Mac 2015M/ 22 Jamadilawwal 1436H JAWI

"Dakwah Tanggungjawabku"

Perkataan Dakwah berasal dari bahasa arab yang bermaksud menyeru, mengajak, memanggil atau mengundang.

Umumnya dakwah adalah seruan atau ajakan yang ditujukan kepada orang-orang yang bukan Islam.

Dakwah ialah seruan kepada ajaran Islam atau mengajak manusia berasaskan metod atau kaedah-kaedah tertentu agar mereka mengikut petunjuk Allah SWT dan Rasul-Nya bagi mendapat keredhaanNya di dunia dan akhirat

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104:  Bermaksud: “Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orangorang yang berjaya.”

Setiap individu muslim mempunyai peranannya yang tersendiri di dalam medan dakwah mengikut kemampuan dan tanggungjawab masing-masing.

Perlaksanaan dakwah hendaklah dimulakan terlebih dahulu pada diri sendiri dengan mengajak diri untuk melakukan amal kebajikan dan menahan diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Kemudian dilanjutkan pada isteri, anak-anak, keluarga dan diperluaskannya kepada masyarakat umum.

Firman Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 125; Bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Allah SWT menjelaskan tiga adab berdakwah iaitu :

Pertama: Hikmah kebijaksanaan.Berikan penjelasan-penjelasan yang bertepatan dan benar berdasarkan dalil dan bukti dari Al Quran dan Sunnah.

Kedua: Nasihat dan pengajaran yang baik. Mendedahkan kebaikan dan kebajikan Islam dengan tujuan untuk mendekati bukan menjauhi, memudahkan bukan menyusahkan.

Ketiga: Berbincang atau berdailog dengan cara yang sebaik-baiknya. Berbincanglah dalam suasana harmoni dan penuh kemesraan, mengemukakan hujah yang kukuh, bidasan yang tepat serta dalil yang meyakinkan serta pengawalan emosi dalam menyampaikan kebenaran.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengingatkan para Jemaah sekalian beberapa perkara:

Pertama : Setiap Muslim bertanggungjawab untuk menyampaikan dan melaksanakan tugasan dakwah.

Kedua : Berbicara dan berikanlah nasihat kepada masyarakat yang berada disekeliling kita secara berhikmah.

Ketiga : Peliharalah adab-adab ketika menyampaikan dakwah bagi memastikan kerjakerja dakwah mencapai matlamatnya.

Firman Allah SWT dalam surah Surah Ali-’Imran ayat 159 : Bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabatmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada engkau. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”.

Wallahualam.

Tags: dakwah, khutbah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments