mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Demokrasi dan Islam di Malaysia

Demokrasi dan sistem pemerintahan, pentadbiran dan pengurusan negara dalam Islam telah sekian lama menjadi perbahasan. Kebanyakannya menyebabkan percambahan pelbagai pemikiran dalam kalangan orang-orang Islam. Para ahli fekah, ahli politik dan pengkaji sosial telah banyak menghasilkan karya atau mengeluarkan pendapat berkaitan demokrasi dan Islam.

Umumnya persoalan utama dalam perbahasan tersebut ialah tentang persamaan dan juga perbezaan antara keduanya.

Demokrasi ialah ideologi yang terhasil daripada pemikiran manusia. Islam pula adalah agama yang disumberkan kepada wahyu Ilahi. Antara ideologi dan agama sudah tentu keduanya mempunyai perbezaan-perbezaan yang ketara walaupun persamaan juga ada. Sudah tentu perbezaannya berkisar kepada sumber atau asas kepada keduanya. Atas dasar ini, saya percaya, perbahasan tentang keduanya akan sentiasa mendapat tempat dalam, bukan sahaja dalam perbahasan akademik, tetapi juga berkembang dan akan berterusan dalam ruang lingkup lain, terutamanya politik.

Arab Spring yang melanda negara-negara Timur Tengah dan ancaman semasa, seperti IS adalah juga berkaitan. Laungan demokrasi liberal semakin menggerunkan. sebagai contoh, demokrasi dalam urusan atau tiket kebebasan asasi amat menyerlah dan ini membimbangkan.

Serata dunia, terbukti, bukan mudah untuk memahami dan menerajui keduanya secara serentak. Bagi pemikir Islam, perkara yang paling dibimbangi ialah pengaruh demokrasi yang tidak dikawal ke atas sistem agama sehingga menghakis prinsip-prinsip asas agama, terutamanya akidah dan akhlak. Inilah cabaran hebat yang juga kita sedang alami dalam negara.

Bagi negara kita, semasa proses kemerdekaan dan semasa penggubalan perlembagaan, Suruhanjaya Perlembagaan atau Suruhanjaya Reid telah diarahkan melalui syarat atau terma rujukan lantikan untuk membentuk sebuah Perlembagaan dengan sistem demokrasi dengan membina “a democratic form of government”.

Oleh itu, negara kita, menurut kerangka perundangan sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan, mengamalkan sistem demokrasi. Kita mempunyai elemen-elemen penting demokrasi seperti sistem pilihan raya, kebebasan asasi, prinsip kebertanggungjawaban, kebebasan badan kehakiman, dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Berkaitan, dalam kerangka perundangan negara, kita juga menerima dua sistem yang berangkaian, iaitu sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Sudah tentu sekiranya diungkit salasilah wujudnya demokrasi jenamaan barat itu, ia disandarkan kepada sifat intelektual manusia. Tetapi adakah demokrasi itu yang kita mahukan dalam pelaksanaan demokrasi dalam negara kita? Kerangka perundangan kita bukan menerima sistem demokrasi dalam ertikata yang menolak prinsip atau nilai yang berasal daripada sejarah dan amalan tradisi negara. Kita menerima prinsip demokrasi dengan mengambil kepentingan nilai-nilai tempatan, termasuk nilai-nilai murni dalam agama.

Sistem demokrasi di negara kita tidak boleh menyanggahi sistem raja berperlembagaan yang menggalas tanggunggjawab menjaga dan memelihara Islam sebagai agama negara dan agama yang menjadi asas kepada ideologi negara. Demokrasi kita bukan sahaja merujuk kepada kerangka Perlembagaan Persekutuan tetapi juga demokrasi yang diterima dalam Perlembagaan negeri-negeri. Kita tidak boleh menolak fakta bahawa dalam hakikat semasa demokrasi adalah sistem yang baik.

Justeru, dalam membahaskan konsep demokrasi dan amalannya di negara kita, kita hendaklah mengharmonikannya dengan nilai agama – nilai yang juga telah mendapat tempat dalam kerangka perundangan negara – sebagaimana demokrasi itu juga.

Pengharmonian antara keduanya adalah cara terbaik supaya setiap satu tidak terabai. Pengharmoniannya juga penting supaya kita mendapat manfaat dengan cara meletakkan agama dalam hakikat semasa; mengambil kira kualiti manusia dan kemanusiaan. Almarhum Muhammad ‘Uthman El-Muhammady pernah menyatakan bahawa “unsur-unsur amalan dalam demokrasi dengan beberapa penyesuaian, boleh diserasikan dengan ajaran Islam sebagaimana yang ada dalam Ahli Sunnah wal-Jamaah, iaitu aliran arus perdana Islam, dalam menjayakan hidup kolektif dalam negara kini”.

Oleh itu, dalam keghairahan menerima dan menyanjung sistem demokrasi, prinsip agama juga mestilah juga diperkasa. Keduanya perlu diseimbangi supaya demokrasi yang tujuannya, juga mahu menjaga masyarakat secara kolektif. Kita tidak boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem yang ada. Oleh itu apa yang ada dalam sistem demokrasi kita perlu diserasikan dengan nilai dan prinsip yang menyemai dan mendamaikan masyarakat secara kolektif tanpa meninggalkan ajaran, amalan dan kedudukan agama berkaitan ketuhanan, muamalat dan akhlak. Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz Berita Harian Kolumnis 27 Februari 2015

Apabila demokrasi diterima sebagai salah satu prinsip pentadbiran dan pengurusan negara, di samping sistem Raja Berperlembagaan, persoalan berkaitan ialah, adakah prinsip demokrasi yang kita terima itu meminggirkan nilai tempatan dan agama? Pada minggu lepas saya telah menyebut mengenai kedudukan positif nilai tempatan dan agama dalam sistem dan amalan demokrasi di negara kita.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan agama, terutamanya agama Islam, pada tempat yang selesa dalam sistemnya, maka secara langsung agama tersebut menjadi identiti negara. Islam juga begitu tertanam dalam bumi tanahair kita ini kerana agama itu adalah agama bagi semua negeri dalam Malaysia (kecuali negeri Sarawak).

Ketika menegaskan kedudukan agama Islam dalam sistem negara, saya melihat ada kebimbangan sesetengah pihak tentang penyebaran dan pemakaian prinsip agama Islam secara “melampau” yang boleh menjadikan negara ini sebagai sebuah negara ‘theocracy’ yang mengenepikan demokrasi. Ada sesetengah pihak yang melahirkan kebimbangan kepada pengaruh agama dalam polisi dan pentadbiran negara. Ketara juga ialah kebimbangan tentang penggunaan perundangan Islam. Kebimbangan ini sebenarnya tidak perlu berlaku.

Sesungguhnya fakta yang tidak dapat disanggah ialah, Islam, termasuk perundangan Islam telah lama bertapak di negara kita. Tidak ada fakta lain yang boleh menyanggah bahawa sejarah telah membuktikan tentang keagungan Kota Melaka sebagai pusat perdagangan. Kerajaan Melaka telah menjadi tumpuan dunia Barat dan Timur kerana pencapaian dan kemakmurannya. Fakta lain juga tidak ditemui untuk menolak penemuan sejarah bahawa sistem Islam dan perundangan Islam telah berada dan diamalkan oleh kerajaan Melaka ketika zaman keagungannya. Buktinya cukup kukuh.

Sistem dan perundangan di Melaka tersebut tidak menghalang Melaka daripada menjadi sebuah pusat perniagaan yang makmur dan berpengaruh sehingga menarik minat kuasa dunia untuk datang berdagang dan seterusnya menguasai Tanah Melayu.

Setelah dijajah dan diperintah lebih kurang 446 tahun, kita berjaya merdeka. Dalam proses kemerdekaan, kita mahu membentuk negara yang mengamalkan demokrasi. Demokrasi adalah ‘trend’ pemerintahan negara, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua. Mungkin juga demokrasi adalah pilihan kita.

Pada masa sama, dalam proses kemerdekaan tersebut, kita mahu kekalkan jawatan Ketua Negara menerusi sistem monarki, prinsip Raja Berperlembagaan. Monarki juga menjadi Ketua Agama. Oleh itu, kita mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama bagi negeri-negeri dalam Undang-Undang Tubuh bagi negeri-negeri, manakala Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara.

Selain daripada mengisytiharkan kedudukan agama Islam, serta kedudukan selesa agama Islam dalam rangka perundangan dan sosial negara, Perlembagaan Persekutuan juga memasyhurkan elemen-elemen penting demokrasi seperti kebebasan asasi, prinsip kebertanggungjawaban, kebebasan badan kehakiman, dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sekiranya wujud kebimbangan sesetengah pihak tentang penggunaan prinsip dan nilai agama dalam polisi dan amalan negara, prinsip demokrasi ini boleh diolah untuk menjadi mekanisme semak dan imbang. Elemen-elemen penting demokrasi ini boleh menjadi mekanisme untuk membendung fahaman dan amalan serong yang boleh menjejaskan status negara, sama ada dari segi politik atau keselamatan. Ia juga boleh digunakan untuk membendung pelampau agama.

Prinsip kedaulatan undang-undang boleh diterima pakai supaya tidak ada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk menggunakan ‘agama’ sebagai satu senjata persengketaan. Prinsip itu juga boleh dijadikan mekanisme untuk memantau dan menyekat pelampau agama.

Begitu juga dengan kebebasan badan kehakiman. Dengan kuasa semakan semula ke atas tindakan pihak eksekutif (badan pelaksana) atau badan perundangan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) Badan Kehakiman boleh membuat tindakan bagi mempastikan kedua-dua badan itu mematuhi Perlembagaan.

Sebab itulah wujudnya prinsip ketinggian Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang. Mana-mana tindakan pihak eksekutif dan setiap undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundnagan ada perlulah menghormati prinsip ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan yang ada, serta keunggulan prinsip pentadbiran bersandarkan kepada agama, pada fikiran saya, kita tidak perlu bimbang tentang itu sahaja. Kita juga perlu lebih bimbang kepada suara lantang demokrasi yang mahu mengenepikan prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan. Kita juga perlu bimbang kepada suara lantang demokrasi yang mahu menafikan sistem nilai dan prinsip agama.. . Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz Berita Harian Kolumnis 3 Mac 2015

Tags: democracy, islam, malaysia
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments