mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hudud: Ketegasan Pas diuji

APABILA Pas menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Kelantan pada tahun 1990, Kerajaan Pas yang ketika itu dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjanji akan melaksanakan hukum hudud di negeri tersebut.

Setelah sekian lama menanti akhirnya pada tahun 1993, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (hukum hudud) telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Bagaimanapun sehingga kini undang-undang itu tidak dilaksanakan dengan alasan Kerajaan Pusat tidak membenarkannya.

Sejak itu, pelaksanaan hukum hudud di Kelantan sekadar menjadi modal politik yang cukup ampuh kepada Pas untuk mempertahankan kuasanya di negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut tetapi cita-cita Pas untuk melaksanakan hukum itu tidak terpadam.

Usaha melaksanakan hukum hudud semakin perlahan apabila Pas mendapat tentangan hebat daripada sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang bermati-matian tidak membenarkan Pas melaksanakan hukum itu di Kelantan biarpun ini hanya melibatkan orang Islam.

Ketika kedua-dua parti itu memberikan penentangannya, Kerajaan Pusat termasuk UMNO Kelantan memberi sokongan kepada Pas untuk membentangkan rang undang-undang tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dilanjutkan melalui pembentangan rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76 (A) (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri melaksanakan kanun jenayah syariah itu, manakala Kerajaan Persekutuan akan membawa pindaan pada Akta 355 Akta Mahkamah Syariah yang berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah tersebut.

Laluan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan disusuli dengan sokongan UMNO memberi keyakinan kepada Pas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Oleh itu pada Rabu, Kerajaan Pas Kelantan akan membentangkang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993.

Walaupun berhadapan dengan penentangan sekutunya PKR dan DAP yang tidak mahu Pas melaksanakan hukum tersebut, namun Pas menunjukkan keberanian yang seharusnya sudah lama ditampilkan ketika melayan kerenah politik PKR dan DAP, apabila bertegas untuk membentangkan rang-undang tersebut biar apa pun yang terjadi.

Dalam bahasa mudahnya, Pas mempertaruhkan hubungan atau tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP bagi mencapai impian untuk melaksanakan hukum hudud. Apatah lagi penentangan kedua-dua parti itu tidak ada asasnya memandangkan pelaksanaan hukum tersebut hanya melibatkan orang Islam, oleh itu DAP khususnya tidak perlu 'menyibuk' dalam hal ini.

Adalah dijangkakan enakmen itu tidak mempunyai apa-apa masalah untuk diluluskan apabila dibentangkan di DUN Kelantan memandangkan UMNO sudah pun sepakat memberi sokongan. Tambahan pula ia diperkukuhkan dengan penubuhan jawatankuasa teknikal bersama negeri dan Persekutuan bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Berdasarkan senario ini, biarpun DAP dan PKR mempunyai kerjasama politik dengan Pas namun mereka tidak berhak sama sekali menghalang Pas untuk melaksanakan hukum hudud apatah lagi di negeri yang majoriti umat Islam dan diperintah oleh Pas.

Jika dalam banyak isu suara Pas di negeri-negeri yang diperintah oleh PKR dan DAP tidak dipedulikan, kenapa perlu Pas hendak tunduk kepada kemahuan politik kedua-dua parti itu sahaja.

Satu fakta yang tidak boleh dilupakan ialah Kerajaan Pas Kelantan bersedia melakukan penambahbaikan terhadap enakmen itu selepas tidak dibenarkan oleh Kerajaan Pusat pada tahun 1993 kerana pada pandangan pakar undang-undang terdapat kekurangan yang serius dalam enakmen tersebut.

Tetapi seperti mana kata Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan penambahbaikan dan beberapa pindaan telah dilakukan ke atas rang undang tersebut selepas mendapat pandangan dan teguran pelbagai pihak termasuk kalangan pakar undang-undang, ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sikap terbuka Kerajaan Pas Kelantan melakukan penambahbaikan telah memungkinkan Kerajaan Pusat dan UMNO tidak mempunyai halangan bagi pelaksanaan hukum hudud di negeri tersebut, yang resah gelisah tidak tentu pasal ialah PKR dan DAP.

Kedua-dua parti itu tidak mahu menghormati hak Pas sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam dan berusaha menegakkan hukum Allah. Bagi mereka, pelaksanaan hukum hudud itu seolah-olah akan mengundang bencana politik kepada pakatan pembangkang.

Kerajaan Pas Kelantan tentulah sudah melakukan pelbagai kajian mendalam sebelum membuat keputusan membentangkan rang undang-undang itu pada Rabu nanti. Pas pun pasti memahami kesan buruknya jika undang-undang itu tidak dilaksanakan mengikut lunas-lunas Islam sehingga boleh mewujudkan pandangan serong masyarakat bukan Islam kepada agama Islam.

Namun apa yang lebih penting ialah Kerajaan Pas Kelantan perlu diberi ruang dan peluang untuk membentangkan rang undang-undang itu dan bukannya awal-awal lagi ditentang oleh mana-mana pihak.

Penentangan itu difahamkan bukan sahaja wujud dalam kalangan pemimpin PKR dan DAP malah ada juga segelintir pemimpin Pas yang resah apabila hukum hudud hendak dilaksanakan. Mereka bukannya menentang hukum hudud tetapi bimbang ia boleh membuka jalan kepada kerjasama politik antara Pas dan UMNO.

Bagi puak-puak tersebut, perpaduan antara UMNO dan Pas seolah-olah satu mimpi ngeri biarpun bertujuan untuk melaksanakan hukum Allah. Justeru ada pihak cuba melakukan adu domba apabila menjelang pembentangan enakmen itu esok, mempersoalkan apakah benar Pas ikhlas mahu bekerjasama dengan UMNO dalam melaksanakan hukum hudud sedangkan pada waktu yang sama UMNO diserang habis-habisan melalui kempen Pilihan Raya Kecil DUN Chempaka yang sedang berlangsung.

Bagi penulis, pemimpin-pemimpin Pas yang berbuat demikian sebenarnya sudah kehabisan modal untuk berkempen memandangkan pilihan raya kecil itu tidak hebat mana kerana Pas hanya dicabar oleh beberapa calon Bebas yang ibarat "memeriahkan majlis" sahaja.

Bagaimanapun ini sama sekali tidak akan menjejaskan kerjasama wakil-wakil rakyat kedua-dua parti itu di dalam DUN untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 diluluskan sebelum dibawa ke Parlimen bagi langkah seterusnya.

Sebenarnya, apa yang menarik untuk dinantikan bukannya soal kerjasama Pas dan UMNO berikutan pembentangan rang undang-undang itu tetapi apakah tindak balas politik yang akan dilakukan oleh PKR dan DAP, sama-samalah kita tunggu.

- ZULKIFLEE BAKAR Utusan Malaysia Rencana 15 Mac 2015 1:17 AM
Tags: hudud, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments