mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Umat Islam dan persoalan semasa

HARI ini masyarakat Islam dikelilingi cabaran dan persoalan dalam pelbagai bidang. Sekiranya tiada penjelasan, dikhuatiri melebarkan jurang kekeliruan dan merintis mudarat berpanjangan. Mendepani isu sosial generasi muda Islam berdasarkan pemerhatian kepada beberapa kes seperti meminati penyanyi hingga berpelukan, bercinta hingga sanggup membunuh dan sebagainya. Sebenarnya isu ini berakar umbi daripada pendidikan dan manifestasi kepentingan institusi kekeluargaan dalam masyarakat.

Allah berfirman dalam Surah al-Tahrim, ayat 6: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri dan keluarga kamu dari neraka yang bakarannya terdiri daripada manusia dan batu (berhala).”

Menurut pengkaji, aspek pendidikan tidak boleh lari daripada tanggungjawab ibu bapa. Kita tidak boleh menyalahkan anak semata-mata. Malah, jika diperhalusi, bayi yang dilahirkan itu adalah suci bersih, bergantung kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Rasulul­lah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, suci bersih. Ibu bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” - Riwayat Abu Ya’la, Thabrani dan Baihaqi.




Dr Abdullah Mohd Zin

Dalam bidang ekonomi, umat Islam masih ketinggalan, tidak menguasai pasaran dan mengakibatkan kebergantungan kepada masyarakat lain. Ini adalah satu senario yang melemahkan dan elok dikaitkan dengan dua perkara yang dituntut dalam agama iaitu tuntut­an fardu ain dan fardu kifayah.

Melihat situasi semasa dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang menimbulkan konflik. Dalam hal ini, toleransi (al-tasamuh) perlu diamalkan dalam masyarakat dan sangat ditekankan oleh Rasulullah SAW. Piagam Madinah jelas mencatatkan perkara ini dengan mengiktiraf agama masyarakat ketika itu.

Ini merupakan perlembagaan yang paling awal di dunia. Empayar Yunani dan Parsi walaupun lama wujud sebelum pengutusan Nabi SAW, tetapi tidak mempu­nyai sebarang perlembagaan yang tetap secara bertulis. Dalam situasi masyarakat majmuk di Madinah, Rasulullah SAW telah menjalankan dasar yang proaktif iaitu :

n Dasar mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar sebagai asas memperkuatkan perpa­duan penduduk Madinah.

n Dasar a’qdu al-ta’awun iaitu mengadakan kerjasama di antara penduduk Madinah sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Ini merupakan doktrin ajaran Islam yang perlu dilaksanakan dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Dalam bertoleransi kita mesti berprinsip yang mengikut neraca Islam. Dalam konteks di Malaysia, persaudaraan sesama Islam perlu diperkukuhkan dan perpaduan merentasi batas sempadan kaum dan agama perlu diperkasakan.

Ada dalam kalangan pengkaji Barat menyatakan Perlembagaan Persekutuan mempunyai beberapa ciri persamaan dengan Piagam Madinah. Antaranya, Perkara 3, mencatatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan, manakala Piagam Madinah pula menyatakan kebebasan beragama dalam kalang­an penduduk Madinah.

Di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan pendekatan wasatiyyah. Pendekatan ini bukan membawa maksud kesederhanaan dan pertengahan sahaja tetapi turut mencakupi makna berimbang, adil dan cemerlang. Ia perlu difahami menurut kehendak Islam, bukan menurut kaca mata dunia Barat.

Masyarakat Islam di Malaysia, walaupun majoritinya menganut fahaman sederhana, namun diasak dan dihimpit oleh aliran pemikiran yang terlalu ‘ketat’ dan pemikiran yang terlalu ‘longgar’. Golongan ‘pengetat agama’ mengeluarkan pandangan dan hukum-hakam yang berat serta melampau, golong­an yang terlalu ‘longgar’ pula pandangan mereka amat terbuka dan kadang-kadang bertentangan de­ngan prinsip asas Islam.

Di sinilah letaknya kepentingan pendekatan wasatiyyah perlu di­sebarluaskan supaya berkembang subur sebagai satu manhaj untuk mencari jalan yang sederhana, berimbang dan pertengahan antara dua pandangan yang ekstrem tersebut.

Akhir-akhir ini perkataan jihad menjadi sebutan. Malahan atas nama jihad terdapat rakyat kita nekad menyertai kumpulan tertentu seperti Islamic State (IS). Konsep jihad perlu difahami dalam erti kata yang sebenar. Jihad mempunyai pengertian yang luas. Al-Quran banyak menggunakan istilah jihad ini, antaranya firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj, ayat 78: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah de­ngan jihad yang sebenar-benarnya.”

Sememangnya diakui jihad juga termasuk dalam erti kata perang. Berperang itu sebahagian daripada jihad, jika terpaksa. Persoalannya sekarang apabila Israel menyerang Semenanjung Gaza, mengapa IS tidak menyerang Israel? IS melancarkan perang sesama sendiri dan itu yang menjadi persoalan. Apa yang dibawa IS ini bercanggah de­ngan prinsip Islam. Rakyat kita yang menyertai IS ini berpunca daripada kejahilan dan mengikut emosi semata-mata, serta mencari jalan pintas ke syurga.

Kerajaan mengamalkan prinsip bersikap adil untuk semua. Namun kedengaran ada pihak cuba memperkenalkan idea kesamarataan. Persoalan antara kedua-duanya, mana satu lebih tepat dan menjamin kemaslahatan sejagat. Menurut perspektif Islam, keadilan lebih tepat dan menjamin kemaslahatan sejagat.

Adil menurut istilah Bahasa Arab memberikan setiap pihak yang berhak itu haknya. Contohnya dalam pengagihan bantuan mangsa banjir yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Bagi yang musnah tempat tinggal, kerajaan memperuntukkan pembinaan rumah yang lebih selesa; kerosakan sedikit, diberi bantuan untuk pembaikan rumah. Itulah maksud adil.

Sementara sama rata pula, contohnya jika beri bantuan RM500 sama semuanya, tidak mengira tahap kerosakan dialami. Tentulah jika nak berlaku adil, mangsa yang mengalami tahap kerosakan yang banyak, mesti diberi bantuan yang setimpal dengannya. Sementara itu, mangsa yang mengalami tahap kerosakan yang sedikit, bersesuai­an dengan bantuan yang meringankan beban mereka.

Begitu juga, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pada masa sama bahasa lain boleh diajar di sekolah-sekolah, dasar tanah ri­zab Melayu dan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak, ini termasuk dalam konteks memberikan hak yang adil sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dr Abdullah Mohd Zin ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri. - Utusan Malaysia Rencana Agama 20 Mac 2015

Tags: islam, jihad, piagam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments