mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Beza humor dalam dakwah, lawak jenaka

Isu penggunaan jenaka oleh figura dakwah hangat diperbincangkan media beberapa minggu kebelakangan ini. Pelbagai tokoh agama terkemuka negara melontarkan pelbagai pandangan dari kaca mata masing-masing. Persoalan ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak tetapi isu ini sebenarnya menyentuh satu elemen penting dalam dunia komunikasi walhal ahli komunikasi mula memberikan penumpuan serius kepada kecindan atau jenaka dalam komunikasi dalam tempoh 15 tahun lalu.

Matlamat berkomunikasi dan berinteraksi adalah untuk memujuk orang lain mengubah tingkah laku dan sikap mereka. Begitu juga tujuan utama pendakwah yang berbicara dengan khalayak supaya mereka kembali mengamalkan suruhan agama Islam. Mengubah sikap orang lain memerlukan cara dan kaedah yang pelbagai agar usaha memujuk itu lebih berkesan.

Ahli komunikasi mendapati jenaka satu daripada ejen perubahan norma. Jenaka mampu mencipta sesuatu yang baharu dan memberikan perspektif lain daripada biasa terhadap sesuatu perkara. Penggunaan jenaka boleh memperkukuhkan proses komunikasi, kuasa kreatif dan memperkasa nilai kebebasan ketika membabitkan diri dalam membincangkan sesuatu isu bahkan pemujukan menggunakan pelbagai media jenaka seperti ungkapan, perwatakan kelakar dan lakaran mencuit hati menambah keberkesanan pemujukan.

Jenaka bukan asing dalam Islam

Jenaka bukanlah sesuatu yang asing dalam ketamadunan Islam. Kajian oleh Mubeen bertajuk Humour and Comedy in Arabic Literature (form the Birth of Islam to Ottoman Period) membuktikan wujud unsur jenaka dalam kesusasteraan Arab dari awal abad pertama hijrah hinggalah pemerintahan Kerajaan Uthmaniyya dengan tujuan siasah, kemasyarakatan dan keagamaan.

Jenaka juga digunakan di Barat untuk mempertahankan Islam dan isu yang berkaitan. Sarjana menjalankan kajian berkaitan jenaka dan tragedi 9/11 yang banyak memberikan gambaran buruk kepada Islam. Mereka dapati ramai stand-up comediandalam kalangan orang Islam tampil ke tengah masyarakat Barat bagi memecahkan tembok perbezaan budaya dan seterusnya menyuburkan aktiviti dialog silang agama dan budaya bagi membetulkan salah tanggapan masyarakat Barat terhadap orang Islam dan Arab. Mereka membawa masyarakat Barat melihat Islam dari perspektif yang lain.

Kini jenaka digunakan dalam bidang lebih serius seperti dalam bidang perubatan dan rawatan, pengurusan organisasi, pengiklanan dan perundingan atas talian. Jenaka adalah elemen penting dalam komunikasi seharian. Peranan jenaka sememangnya terserlah dalam jurusan pendidikan. Suasana seronok dalam sesi pengajaran dan pembelajaran memberi kesan positif kepada minat mereka. Hakikatnya jenaka adalah satu intelektual secara tabi'e. Jika digunakan secara betul ia boleh memberi cabaran kepada kemampuan kognitif. Dalam hal ini pendakwah juga seorang pendidik yang perlu mewujudkan suasana interaksi yang kondusif antara pendakwah dan khalayak. Pendakwah perlu bijak memilih bentuk jenaka untuk mereka gunakan. Pendek kata mereka boleh berjenaka tetapi gunakan jenaka yang terpimpin.

Jenaka mempunyai empat jenis gaya iaitu affiliative humor, self-enhancing humor,aggressive humor dan self-defeating humor.

Affiliative humor ialah jenaka pendampingan untuk memperkukuh hubungan dalam sesuatu kumpulan. Self-enhancing adalah gaya jenaka bagi mengekalkan harga diri dan mengatasi masalah tekanan perasaan. Dua gaya jenaka ini dikelompokkan sebagai adaptive humor. Gaya aggressive pula lebih berbentuk menyindir, menyakat dan lain-lain manakala self-defeating humor sering digunakan untuk menyangkal dan mempertahankan diri bagi menyembunyikan perasaan diri yang negatif. Dua bentuk yang terakhir ini dikelompokkan sebagai maladaptive humor.

Gaya jenaka jadi pemudah

Banyak kajian mendapati gaya jenaka affiliative boleh menjadi pemudah untuk berhubung dan mengekalkan perhubungan khalayak. Mereka mendapati memulakan ucapan dengan berjenaka dapat menarik kecenderungan khalayak. Gaya jenaka jenis ini boleh digunakan oleh pendakwah ketika diperlukan.

Tidak dapat dinafikan seseorang pendakwah perlu mempunyai gaya tersendiri untuk menarik pendengar ketika menyampaikan sesuatu wacana. Namun pendakwah perlu mempunyai pengetahuan mengenai jenaka yang sesuai untuk digunakan dalam dakwah. Pendakwah seharusnya menumpukan perhatian lebih terhadap kandungan dakwah berbanding berjenaka sepanjang berbicara. Pendakwah bukan pelawak yang menyelitkan unsur dakwah dalam bicaranya sebaliknya seseorang yang menyelitkan unsur jenaka dalam bicaranya sekadar yang diperlukan.

Mohd Zaidi Ramli ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Berita Harian Kolumnis 21 Mac 2015

Tags: dakwah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments