mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengarang hina Nabi Muhammad terima hadiah

COPENHAGEN 20 Mac – Pengarang yang membenarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad disiarkan dan mencetuskan bantahan di peringkat antarabangsa, Flemming Rose menerima anugerah daripada Kelab Wartawan Denmark.


Flemming Rose

Rose merupakan pengarang kebudayaan akhbar harian Jyllands-Posten pada 2005 apabila dia menerbitkan 12 karikatur satira yang menghina Nabi Muhammad, mencetuskan rusuhan di negara-negara Islam.

Karikatur tersebut turut disiarkan di akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo yang menyaksikan 12 orang dibunuh dalam serangan ke atas pejabat akhbar mingguan itu di Paris pada Januari lalu.

Rose berkata, sejak 10 tahun lalu, dia terbabit dalam debat me­ngenai toleransi dan kebebasan.

“Saya melihat anugerah ini sebagai tanda debat di Denmark telah berubah,’’ katanya.

Keputusan Jyllands-Posten menerbitkan karikatur itu mencetuskan kontroversi di Denmark dan kebanyakan wartawan mengutuk perbuatan Rose tersebut.

Kelab wartawan Denmark itu memberikan anugerah tahunan kepada Rose kerana menjadi orang yang tetap utuh dan memainkan peranan dalam debat antarabangsa berhubung kebebasan bersuara.

Rose, 57, kini diberi perlindug­an polis ekoran ancaman bunuh terhadapnya.

Minggu lalu, seorang pelukis Swedan, Lars Vilks, yang mencetuskan bantahan di dunia Islam ekoran tindakannya menyiarkan lakaran menghina Nabi Muhammad pada 2007 turut menerima ha­diah daripada sebuah kumpulan kebebasan bersuara Denmark.

Vilks bulan lalu terlepas cubaan membunuh ketika menghadiri satu debat berhubung kebebasan bersuara.

Dalam kejadian itu, seorang warga Denmark berketurunan Palestin melepaskan tembakan di luar pusat kebudayaan Copenhagen yang meng­anjurkan debat itu menyebabkan seorang pengarah filem terbunuh.

Penyerang itu turut menembak mati seorang lelaki Yahudi di luar sebuah rumah ibadat Yahudi sebelum dia ditembak mati oleh polis. - AFP

-
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments