mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pengaruh Sahabat

BERSAHABAT dengan orang warak atau orang yang baik-baik sememangnya dianjurkan oleh Islam kerana perbuatan itu secara tidak langsung akan mempengaruhi akhlak seseorang. Malahan jika kita bergaul dengan mereka yang memiliki aura diri yang positif, kita juga akan terkesan dengan penampilan tersebut.

Menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm pada hari Jumaat jam 10 pagi, Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir memetik kata-kata para ulama supaya kita memilih orang yang baik-baik dalam bersahabat, malahan menurut tokoh-tokoh agama, jika mahu mengenali diri seseorang lihatlah siapa sahabat mereka.

Seperti petikan daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhamad SAW bersabda yang bermaksud “Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim)

Manakala menurut Imam al-Ghazali melalui Kitab Bidayatul Hidayah, “dalam memilih sahabat hendaklah engkau perhatikan syarat-syarat bersahabat. Maka, janganlah engkau bersahabat kecuali dengan orang yang layak untuk dijadikan sahabat”. Ini kerana seperti kata pepatah, jika seorang pencuri, akan memilih sahabat dari kalangan pencuri, jika seorang penipu, akan memilih rakan-rakan dari kalangan penipu dan jika seorang yang alim, sahabat sekelilingnya juga dari kalangan para solihin.

Sebab itulah penting bagi kita bergaul dengan orang yang mempunyai keperibadian yang baik. Malahan para alim ulama juga berpendapat, kita hendaklah ‘mencuri’ akhlak dan adab orang-orang soleh yang mana amalan kebaikan mereka itu dapat kita teladani. Selain itu juga secara tidak langsung, keperibadian yang baik akan terkesan melalui perbuatan dan tindak tanduk kita.

Perumpamaan bagi orang yang baik adalah seumpama minyak wangi yang berbau harum, perbuatan yang baik akan cepat ditiru dan diikuti, bahkan perbuatan jahat yang tercela tidak disukai oleh orang lain. Tetapi, jika kita gagal memilih sahabat yang boleh membawa kita kepada kebaikan, nescaya kita akan menjadi manusia yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada orang lain, malahan menjadi bangkai busuk yang sememangnya tidak disenangi.

Menurut para ulama, manusia ini seumpama tapak tempat bahan galian yang diambil dari tempat yang sama, ada orang diambil dari tempat timbunan emas dan ada sesetengah daripadanya pula diambil dari tempat yang kotor. Maka, orang yang diambil dari tempat yang baik akan memiliki ciri-ciri keperibadian yang baik seperti lembut hati, sopan santun dan berbudi tinggi. Manakala orang-orang yang diambil dari tempat yang tidak elok sukar untuk dilentur dan memiliki ciri-ciri mazmumah. Seperti kata sepotong hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “manusia ini mengikut kepada keadaannya masing-masing”.

Oleh sebab itulah, kita amat disaran untuk menempatkan diri kita di kalangan kawanan ‘emas’ supaya kita mempunyai nilai harga diri yang tinggi dan seterusnya menjadi manusia yang dapat berbuat kebaikan kepada orang sekeliling, bukan orang-orang yang tidak memberi manfaat atau menjadi ujian kepada orang lain.

Malahan, sebagai manusia yang sentiasa mencari keredhaan Allah dan mengharap syafaat daripada Baginda Rasulullah SAW, kita hendaklah mengambil akhlak Rasulullah sebagai ikutan dan beramal dengan setiap perbuatan yang ditunjukkan oleh baginda. Kita juga dianjurkan untuk meniru para ulama kerana mereka juga adalah pewaris para Nabi SAW yang tinggi sekali nilai kesolehan dalam diri mereka.

Ini bermakna kata ustaz Nazrul, sungguhpun barangkali antara kita mempunyai perbezaan pandangan, namun dihujungnya tetap akan menemui persamaan. Malah, setiap hujahan perbezaan yang berasaskan kepada ilmu, akan melahirkan sudut pandangan yang akhirnya menatijahkan keputusan dan pendapat yang boleh memberi kebaikan kepada seluruh ummah.

Selain itu, dalam kita memahami makna memilih persahabatan untuk mendapat keredhaan Allah SWT, bukan bermakna kita harus meninggalkan golongan yang kurang baik sehingga golongan ini terkapai-kapai mencari seseorang yang boleh memandu kehidupan mereka. Malahan kita sangat dianjurkan untuk berdakwah dan meneruskan proses dakwah tanpa mengenal sempadan.

Nabi Muhammad SAW sendiri bersahabat dengan golongan sahabat yang tinggi kemuliaan diri mereka seperti Abu bakar as-Sidiq, Umar al-Khattab, Abdul Rahman Auf dan ramai lagi. Tetapi dalam proses dakwah baginda menjalankan peranannya kepada sesiapa sahaja tanpa ada batasan sempadan.

Oleh itu, terdapat perbezaan diantara memilih sahabat yang benar-benar boleh membawa kita ke syurga dan memberi kebaikan untuk kita di dunia dan akhirat. Dalam masa yang sama, sebagai seorang manusia yang baik, kita juga jangan sesekali berhenti untuk menunjukkan contoh tauladan yang baik sebagai sebahagian daripada dakwah kepada sesiapa juga tanpa mengenal warna kulit, pangkat atau darjat mereka.

Menurut Ustaz Nazrul, sebagai seorang manusia yang baik, kita hendaklah menjadi seumpama kunci kebaikan kepada sahabat atau teman sekeliling kita. Kita tidak hanya memilih atau bergaul dengan orang yang baik sahaja, tetapi kita juga selalu mempersiapkan diri untuk memperlihatkan akhlak yang baik kepada orang lain.

Sebagaimana kata Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup kepada kejahatan. Dan ada di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”.

Justeru, marilah kita menjadi pemegang kunci kebaikan untuk mendapat keredhaan Allah dengan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dan solehah dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain ke arah jalan yang diredhaiNya. Dengan ini kita tidak hanya ‘mencuri’ kebaikan orang lain malahan menjadi ikutan dan ejen perubahan diri orang lain ke arah akhlak dan cara hidup Islam yang baik.

Mudah-mudahan kita dapat bermuhasabah diri memperbaiki diri untuk menjadi manusia yang bukan hanya ‘mencuri’ sifat baik orang lain, tetapi menjadi insan yang ‘dicuri’ akhlak kebaikan diri kita, kerana orang yang menunjuk kepada perbuatan kebaikan seumpama turut sama melakukan perbuatan baik dan menjadi manusia yang disayangi Rasulullah SAW dan Allah SWT.

Nik Hasnah Ismail Berita Harian Kolumnis IKIM 20 Mac 2016
Tags: kawan, sahabat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments