mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nabi Zakaria Mengurus Kesedihan

PERKEMBANGAN teknologi pada hari ini menjadikan manusia semakin mencari medium-medium baharu untuk meluahkan perasaan. Kemunculan internet dalam medium blog, terkini di facebook, twitter dan instagram memberikan peluang untuk sesiapa sahaja meluahkan dan melepaskan perasaan, lalu dibaca oleh jutaan orang di luar sana.

Nilai kesedihan kita dapat dicatat, dikongsikan dan dimuat naik bagi memastikan ada pihak yang bersimpati dengan kita dan memberikan jawapan terhadap permasalahan yang sedang dihadapi. Begitulah cara kita mengurus kesedihan.

Namun, di sebalik kehidupan yang dilalui, tahukah kita bagaimana seorang Nabi yang tidak dikurniakan zuriat walaupun sudah menghampiri usia yang lanjut, menguruskan kesedihannya.

Pada minggu lalu, satu lagi perbincangan berkenaan dengan usaha yang ditunjukkan oleh seorang Nabi dibincangkan dalam rancangan Ibrah, oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman. Perbincangan menumpukan seorang tokoh yang bernama Nabi Zakaria a.s.

Nabi Zakaria merupakan penjaga kepada Saidatina Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s.  Kisah bagaimana seorang yang sudah renta (90 tahun) mengurus kesedihan meluahkan perasaan kepada Allah Taala untuk dikurniakan zuriat.

Nabi Zakaria menjadikan Allah sebagai tempat mengadu segala hal dan permasalahan. Ini dirakamkan melalui ayat dalam surah Maryam ayat 2 hingga 6.

“(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria. (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.” (Surah Maryam 2 hingga 3)

Allah Taala mendidik baginda Nabi Muhammad s.a.w melalui kisah Nabi Zakaria. Betapa Allah memberitahu Baginda, bagaimana Nabi Zakaria memohon doa secara perlahan dan penuh dengan pengharapan.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa, Nabi Zakaria merasakan Allah terlalu hampir dengannya, menyebabkan Nabi Zakaria seolah-olah merayu agar permintaannya dikabulkan.

“Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.” (Surah Maryam ayat 4)

Nabi Zakaria merupakan seorang yang tidak pernah merasa hampa dan kecewa dengan doanya. Walau bagaimanapun, beliau berasa gerun kerana mengikut logik akalnya, dalam keadaan usianya yang telah terlalu tua sehingga ubannya telah putih, memungkinkan dia tidak mendapat zuriat. Dalam keadaan demikian pun, isterinya dalam keadaan mandul. Namun, Nabi Zakaria menguruskan kesedihannya dengan merayu kepada Allah dengan penuh pengharapan kerana sebagai seorang Nabi tentulah dirasakan hanya Allah sebagai tempat bergantung.

Nabi Zakaria merayu lagi, “Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai” (Surah Maryam ayat 5-6)

Baginda memohon agar dikurniakan seorang anak lelaki untuk menyambung  tugasnya sebagai seorang Nabi jika dia sudah menemui Ilahi nanti. Lalu, akhirnya Allah Taala telah mengkabulkan permintaan Nabi Zakaria itu setelah rayuan yang didengar itu penuh dengan tanda membesarkan Allah Yang Maha Esa.

Allah berfirman, “(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): “Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorangpun yang senama dengannya.” (Surah Maryam ayat 7)

Kisah yang dirakamkan di dalam al-Quran ini merupakan satu cerita yang memberikan motivasi kepada kita bagi memahami rakaman Allah terhadap seorang daripada hamba-Nya yang penuh dengan ketaatan dan pengharapan akan dikabulkan permintaannya.

Pertama, Nabi Zakaria mengurus kesedihan dengan doa yang penuh dengan lemah-lembut dan merasai Allah sedang betul-betul mendengar permintaannya. Sebahagian ulama menyatakan, Nabi Zakaria menghilangkan perkataan ‘Ya Allah’, tetapi diganti dengan ‘Allah, Engkau Tuhanku’ dengan penuh rasa jiwa kehambaan.

Kedua, faktor pendesak seperti telah terlalu tua sehingga banyaknya uban, menjadikan Nabi Zakaria amat merasakan kesedihan di dalam hatinya tidak dikurniakan seorang zuriat untuk menyambung perjuangannya. Justeru, sebagai hamba jika kita memohon sesuatu daripada Allah Taala, tentulah mempunyai satu sebab asas, mengapa ingin doa kita dikabulkan oleh Allah. Bukanlah permintaan dan permohonan kita itu hanya untuk melepaskan hajat kita semata-mata tetapi mempunyai ‘asbab’ penting agar doa kita diterima.

Ketiga, Nabi Zakaria tidak pernah berasa bosan untuk meluahkan permintaannya dan dalam doa yang diharapkan. Oleh hal demikianlah, dalam keadaan kita diuji dengan sesuatu perkara yang tidak mampu ditanggung, wajar sebagai hamba untuk terus berdoa tanpa henti biarpun di dalam keadaan senang atau susah. Sebagai hamba yang mengetahui bahawa Allah itu adalah tempat mengadu, kita tidak meletakkan maslahah kita sahaja untuk diperkenankan hajat.

Keempat, kepercayaan terhadap kuasa Allah menentukan sesuatu perkara itu adalah lebih utama. Memikirkan logiknya akal seorang yang sudah dihujung usia dan mempunyai seorang isteri yang mandul, pastilah tidak akan dapat melahirkan zuriat. Walau bagaimanapun, Allah Taala ingin mendidik jiwa hamba bahawa faktor penentu sesuatu kehendak dan keputusan itu bukanlah ditangan kita sebagai makhluk, tetapi di atas kudrat Allah Taala.

Justeru, memahami perjalanan kisah Nabi Zakaria ini memberi tauladan utama kepada kita sejauhmana untuk kita (hamba) mengurus kesedihan yang ditimpa. Kita berhak meminta, Allah berhak mengkabulkan permintaan hamba-Nya. Haji Syafiq Zulakifli Berita Harian rencana Agama 24 Mac 2015

Tags: nabi, sedih
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments