mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ : “Kepentingan Penjagaan Sumber Air”

Sedutan petikan Khutbah Jumaat 27 Mac 2015  JAIS

“Kepentingan Penjagaan Sumber Air”


Air merupakan suatu zat atau unsur yang penting bagi semua bentuk kehidupan di bumi. Air menutupi hampir 71% permukaan bumi. Dalam tubuh manusia pula, lebih kurang 55% hingga 78% adalah terdiri daripada air. Jika tiada air di dalam tubuh kita, sel-sel akan kering dan mati, begitulah kepentingan air kepada manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbia’ ayat 30: “Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”.

Kita seharusnya bersyukur kerana negara kita merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber air dan dapat memenuhi kehendak dan permintaan rakyat untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian.

Walau bagaimanapun, akibat daripada proses pembangunan yang membawa kepada kemajuan negara, timbul satu ancaman yang perlu diberi perhatian iaitu pencemaran alam sekitar terutamanya yang merosakkan sistem sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat.

Pemeliharaan sumber air termasuklah melindungi sumber air mentah, pengurusan sungai yang lebih cekap, memastikan keperluan air kepada tumbuhtumbuhan dan haiwan yang melata terjamin disamping mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan tetap

Kita sebagai pengguna hendaklah membantu kerajaan dalam penjagaan sumber air.

Hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa antara kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah ia menegahnya dengan tangannya, sekiranya ia tidak mampu maka (tegahlah) ia dengan lidahnya, sekiranya ia tidak mampu maka (tegahlah) ia dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim).

Air ini merupakan suatu nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada kita untuk dijaga dengan sebaiknya.  Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Mulk ayat 30: “Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”

Oleh itu, langkah-langkah berikut perlu kita lakukan:

1. Kita hendaklah meyakini dan bersyukur bahawa sumber air itu datangnya daripada Allah SWT dan tanggungjawab kita memeliharanya.

2. Semua pihak hendaklah bertanggungjawab menyelenggara dan memastikan sumber-sumber air dijaga dan dipelihara dengan baik.

3. Janganlah melakukan pencemaran air kerana ianya akan mendatangkan keracunan dan menjejaskan kesihatan manusia dan memusnahkan alam sekitar.

4. Pihak-pihak yang bertanggungjawab hendaklah meningkatkan kerjasama untuk mengurus air dengan sebaik-baiknya.

5. Oleh kerana air adalah anugerah yang percuma daripada Allah SWT. Maka tidak wajar pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan pihak-pihak tertentu dengan sewenang-wenangnya dan menceroboh hak-hak manusia di atas muka bumi ini..

Islam mengajar umatnya supaya bersikap sederhana dalam segala amalan dan tindakan. Pada masa yang sama umat Islam disaran supaya menjauhi sebarang bentuk perbuatan ekstremis yang kesannya akan menjejaskan keharmonian, perpaduan, keselamatan ummah dan Negara.

Tindakan ekstremis juga boleh memberikan tanggapan negatif terhadap kesucian dan kemuliaan agama islam. Sebaliknya seluruh umat islam amatlah dituntut agar menampilkan kemuliaan akhlak, sikap dan keperibadian tinggi sebagai muslim sejati agar umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW diutus dan Islam yang diperjuangkan adalah rahmat bagi seluruh umat dan sekalian alam.

Wallahualam.
Tags: air, khutbah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments