mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan sampai jadi "tengkorak hidup"

PADA 21 Disember lalu, Mursyidul Am Pas Datuk Dr. Ha­ron Din secara tegas mengingatkan sekutu parti itu, DAP bahawa hukum hudud merupakan nyawa Pas yang tidak akan digadaikan walau atas alasan apa sekalipun manakala pada 19 Mac lalu, beliau menegaskan, Pas mele­tak­kan perjuangan menegakkan hukum hudud sebagai ke­tetapan yang jauh lebih penting daripada kerjasama pa­ka­tan pembangkang. Dua kenyataan tegas beliau itu sekali gus membuktikan Pas bersedia melakukan apa sahaja ba­gi memastikan perjuangannya untuk melaksanakan hu­kum hudud khususnya di Kelantan tercapai. Apatah lagi de­ngan menganggap hukum hudud adalah nyawa Pas ma­ka sudah pastilah Pas perlu melakukan apa sahaja bagi mempertahankannya.

Tetapi persoalannya sejauh manakah Pas bersedia me­ninggalkan pakatan pembangkang yang turut disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila DAP dan PKR kini sudah secara terbuka bukan sahaja menentang usaha Pas melaksanakan hukum hudud di Kelantan untuk orang Islam malah DAP tanpa segan silu mencabar maruah Pas apabila menghina Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan pelbagai tuduhan termasuklah pengkhianat. Walaupun ketika ini pelaksanaan hukum hudud di Kelantan baharu di peringkat diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan perlu dibawa ke Dewan Rakyat bagi membolehkan ia dilaksanakan tetapi PKR dan DAP yang selama ini begitu gah mendabik dada sebagai pejuang demokrasi tidak membenarkan proses demokrasi di­jalankan.

Dalam bahasa mudah, Pas buatlah apa sahaja, teranglah apa jua, berilah penjelasan sebanyak manapun, PKR dan DAP ti­dak akan menerimanya. Apa yang mereka mahu ialah jika Pas ingin terus berada dalam pakatan pembangkang, mereka hanya ada satu sahaja pilihan iaitu perjuangan hukum hudud perlu dihentikan. Berikutan pendirian tegas itulah, pemimpin-pemimpin DAP "menyerang" Pas sehingga ada antara mereka memutuskan hubungan dengan Pas seperti mana berlaku di Sarawak. Mereka memberi isyarat Pas bukanlah satu parti yang bernilai dalam pakatan pembangkang ibarat "ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi". Persoalannya, kenapakah PKR dan DAP terlalu bertegas menolak hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas sedangkan Enakmen Kanun Jenayah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan hanya dikhususkan kepada orang Islam, orang bukan Islam sama sekali tidak terlibat dan tidak akan dilibatkan?

Mencabut nyawa

Sepatutnya DAP dan PKR memberi ruang kepada Pas untuk memperjuangkan pelaksanaan hukum itu seperti mana UMNO yang sebelum ini dikecam hebat oleh penyokong-penyokong Pas kononnya menolak hukum Allah dan Islam memberi sokongan kepada usaha Pas. Pendirian UMNO itu sudah dibuktikan dalam sidang DUN Kelantan baru-baru ini. Tetapi malang bagi Pas, rakan yang selama ini "dipeluk siang dan malam" dan disanjung sebagai golongan yang lebih memahami Islam berbanding UMNO kini menentang habis-ha­bisan perjuangan hukum hudud Pas. Ia membuktikan yang sedang berusaha "mencabut nyawa" Pas bukanlah UMNO tetapi DAP dan PKR.

Kedua-dua parti itu berhu­jah pelaksanaan hukum hu­dud bertentangan dengan Perlem­ba­gaan Persekutuan tetapi kita juga boleh mempersoalkan bagai­ma­­na dengan usaha DAP untuk mengembalikan pilihan raya maj­lis tempatan?

Kalau soal bertentangan dengan Perlembagaan mahu diperdebatkan ini sama sekali tidak relevan dengan apa yang hendak dilakukan oleh Pas melalui pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat kerana hanya me­libatkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah dan bukannya apa-apa fasal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Melalui pindaan akta itu, akan membolehkan sebahagian daripada peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan dilaksanakan mengikut perundangan Islam, seperti minum arak dihukum sehingga 80 kali sebatan.

Dalam Akta Mahkamah Sya­riah sedia ada bidang kuasa mahkamah itu di semua negeri ter­batas kepada menjatuhkan hukuman tidak melebihi RM5,000, penjara lima tahun dan enam kali sebatan. Apabila menyebut meminda akta berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah maka secara auotomatik pelajar sekolah pun tahu bahawa ia hanya akan melibatkan orang Islam dan sudah pasti tidak ada kaitan sama sekali dengan orang bukan Islam. Oleh itu kenapakah DAP hendak menyibuk urusan orang Islam seperti mana dipersoalkan oleh banyak pihak sebelum ini?

Mengulas perkara ini, seorang pemimpin muda Pas yang juga pengamal undang-undang menegaskan: "Jika DAP tidak mahu campur tangan, itu hak parti tersebut, tetapi janganlah menyekat hak Pas dan ahli-ahli Parlimen beragama Islam seramai 136 orang membuat keputusan. Perlu difahami pindaan akta melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ini sudah banyak kali dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), cuma yang bezanya kali ini Pas pula berhasrat mengemukakan cadangan itu bagi disesuaikan dengan peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) Kelantan.’’

Tegasnya, apabila pindaan itu diluluskan, bukan secara automatik semua negeri perlu mengikut apa yang dilaksanakan di Kelantan sebaliknya, kerajaan negeri perlu membawanya ke sidang DUN masing-masing untuk diluluskan sebelum dikemukakan kepada Sultan atau Yang Dipertua negeri untuk perkenan.

"Jadi kita tidak faham kenapakah DAP kelam-kabut sangat bila Abdul Hadi ingin membawa rang undang-undang persendirian itu sepatutnya berilah ruang kepada Pas kerana apa yang hendak diperjuangkan hanya melibatkan orang Islam semata-mata,’’ katanya ketika dihubungi. Namun begitu, kalau benarlah apa yang berlaku sekarang adalah satu sandiwara politik atau Pas akan kembali berbaik-baik dengan DAP dan PKR, jelaslah hukum hudud bukanlah nyawa Pas seperti mana ditegaskan oleh Dr. Haron tetapi alat politik bagi Pas terus bertahan dalam persada politik tanah air.

Jika Pas masih lagi mahu berkompromi terhadap satu perkara yang dianggap nyawa parti itu, maka Pas perlu bersedia menjadi "tengkorak hidup" – nyawa dicabut tetapi masih mahu bergerak biar­pun martabat dan maruah sudah tergadai kononnya demi menjaga nama tahaluf siyasi yang terbukti cukup merugikan parti itu! - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencan 29 Mac 2015

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments