mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Persediaan mantap merealisasikan cita-cita agama

Menjayakan cita-cita agama dalam segala urusan memerlukan persediaan tersendiri. Jika ditinjau pola wacana Islam pada abad ke-19 dan ke-20, kita akan menemui pelbagai usaha intelektualisme yang disumbangkan oleh sarjana Muslim

dalam membangunkan bentuk yang wajar dijayakan oleh masyarakat Muslim bagi merealisasikan pengertian Islam sebagai tatacara kehidupan manusia menyeluruh.

Sumbangan pemikiran mereka adalah bermakna dan sebahagian besar persediaan dianjurkan itu perlu terus dilanjutkan oleh semua, sama ada individu atau kumpulan.

Kepentingan mengukuhkan persediaan itu bertambah utama pada abad ke-21 ini kerana realiti dan cabarannya yang serba kompleks dan unik. Ia juga akan memastikan pelaksanaan cita-cita agama berlangsung dalam keadaan tertib, tersusun dan hikmah. Ini penting supaya pelaksanaan cita-cita agama tidak membawa kepada kegagalan, hilang keyakinan atau citra yang negatif pula terhadap agama dan masyarakat Muslim.

Antara sumbangan intelektual yang berkesan berhubung persoalan persediaan dalam merealisasikan cita-cita agama dirakamkan oleh sarjana Muslim, Malik Bennabi (1905-1973) dalam wacana beliau mengenai peradaban. Beliau menekankan kepentingan persediaan ketamadunan dibina secara utuh sebagai landasan atau manhaj bagi pembangunan semula umat Islam yang berada dalam keadaan lemah pada masa kini.

Gerakan ketamadunan

Persediaan peradaban boleh juga difahami sebagai pendekatan berfikir bagi menjayakan semula kemajuan ummah. Dalam erti kata lain, kebangkitan dan kemajuan sesebuah masyarakat berlaku dalam satu proses kompleks yang boleh difahami sebagai gerakan ketamadunan.

Persediaan peradaban menekankan kepada upaya pengemblengan secara menyeluruh segala potensi ketamadunan masyarakat Muslim bagi berdepan tuntutan dan cabaran persekitaran semasa. Permasalahan terbesar masyarakat Muslim hari ini ialah cabaran ketamadunan yang lemah dan bagaimana untuk berdepan dengan pengaruh ketamadunan sekeliling yang serba kompleks. Berikutan itu, pemahaman sepenuhnya kedudukan zaman hari ini dan menilai keupayaan semasa yang dimiliki umat Islam adalah asas dalam pemikiran peradaban ini.

Sebagai sebuah gerakan ketamadunan, pemikiran mengenai persediaan peradaban menekankan kesepaduan dalam pelaksanaan urusan agama. Misalnya, cita-cita bagi merealisasikan cita-cita perekonomian Islam menuntut kepada pembangunan suatu rencana persediaan menyeluruh meliputi program pengemblengan modal insan, kecekapan sains dan teknologi, pembangunan semangat keusahawanan, ketetapan dasar ekonomi, pembinaan institusi kewangan yang cekap serta kefahaman mengenai rentak kuasa ekonomi dunia dan sistem kewangan global semasa.

Seluruh program ini adalah aspek penting dalam persediaan peradaban yang perlu dijayakan bagi merealisasikan kemajuan ekonomi umat Islam, seterusnya memastikan model perekonomian Islam mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dunia.

Persediaan peradaban sama juga boleh diaplikasikan dalam konteks misalnya bagi merealisasikan cita-cita perundangan Islam pada masa kini.

Undang-undang Islam sebagai sebuah sistem peraturan yang bertujuan membina sebuah kehidupan saksama, adil dan penyayang tidak terbina secara sendiri atau terasing. Kemajuan dalam penterjemahan pelaksanaannya banyak tergantung kepada kesediaan pelbagai aspek ketamadunan yang berfungsi sebagai pendokong kejayaan pelaksanaannya.

Pada abad ke-21 ini, cabaran merealisasikan cita-cita perundangan Islam amat kompleks kerana dunia Islam secara khusus masih berdepan fenomena Islamophobia diakibatkan pelbagai peristiwa politik global yang tidak tenteram. Kita tidak boleh menafikan wujud sikap prejudis yang masih berleluasa terhadap peranan agama dalam urusan pemerintahan dan perundangan sama ada pada peringkat nasional atau global.

Pelaksanaan cita-cita perundangan Islam memerlukan kesediaan oleh kepemimpinan dan umat masyarakat Islam secara menyeluruh. Malah, penerimaan falsafah dan nilai kebaikannya hendaklah diakui masyarakat dari agama atau ideologi lain.

Kesempurnaan asas ekonomi dan kemakmuran yang melimpah kepada semua peringkat golongan adalah antara aspek ketamadunan lain yang dapat memastikan kejayaan merealisasikan cita-cita perundangan Islam.

Dalam erti kata lain, persediaan peradaban dalam merealisasikan cita-cita agama menuntut kefahaman menyeluruh terhadap seluruh aspek ketamadunan sesebuah masyarakat.

Kajian pelbagai sudut ilmu

Dalam konteks perekonomian Islam dan perundangan Islam yang dibincangkan itu, kejayaan pelaksanaannya menuntut persediaan kefahaman menerusi kajian jitu dari pelbagai sudut ilmu sosiologi dan antropologi, budaya dan etika, institusi dan modal insan serta persekitaran politik yang positif pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beberapa ilmu terkini dalam wacana pemikiran Islam semasa seperti panduan keutamaan bertindak (maratib al-amal) dan kepentingan awam yang perlu dipelihara (maslahah) serta objektif syariah (maqasid syariah) penting dijadikan rujukan dalam membangunkan persediaan ketamadunan itu. Dr Muhamad Razak Idris Berita Harian Kolumnis 29 Mac 2015

Tags: islah, maqasid, syariah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments