mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ “Kepentingan Masa Dalam Kehidupan Manusia”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 03 April 2015:JAIS

“Kepentingan Masa Dalam Kehidupan Manusia”

Setiap manusia pasti menemui dan melalui masa atau waktu dalam kehidupannya seharian. Maka beruntunglah mereka yang menggunakan masa untuk perkara-perkara kebaikan dan rugilah mereka yang menggunakannya untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah dan sia-sia.

Pepatah arab ada mengatakan: “ Bahawa masa itu umpama mata pedang, jika kita tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kita”.

Allah S.W.T adalah pencipta masa dan telah menetapkannya sebanyak 24 jam atau 1440 minit dalam sehari semalam tidak lebih dan tidak kurang. Terpulanglah kepada kita untuk mengurus dan menggunakanya bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Allah S.W.T. melalui firman-Nya dalam surah alMu’minun ayat 115 :“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu?.Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami”

Pengurusan masa seharian dalam kehidupan kita amat penting dan perlu disusun secara teratur agar masa dapat diurus dan dimanfaatkan dengan bijak dan berkesan.

Masa adalah amanah dari Allah S.W.T, setiap amanah merupakan tangungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.

Hadis daripada Muaz Bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Tidak berganjak kaki setiap hamba pada hari kiamat (dipadang mahsyar) sehingga ditanya tentang empat perkara: Tentang umurnya kemana dihabiskan. Tentang masa mudanya kemana digunakannya. Tentang harta dari mana diperolehinya dan kemana dibelanjakannya. Tentang ilmunya apa yang diperbuat dengannya”. (Riwayat at-Tirmizi).

Mengurus masa dalam kehidupan kita seharian, marilah kita mengamalkan tiga cara sebagai panduan kita :

1. Jangan bertangguh dalam melaksanakan hak, amanah dan tanggungjawab dan jangan bertangguh dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

2. Jangan bertangguh dalam melaksanakan amal ibadah, juga jangan bertangguh dalam melaksanakan hukum syarak.

3. Jangan bertangguh dalam menyebarkan islam dan jangan bertangguh dalam soal memperjuang dan mempertahankan islam.

Masa yang berlalu akan meninggalkan dua golongan.

Golongan yang pertama ialah golongan yang berjaya, kerana mengambil kepentingan masa dalam hidupnya, manakala

Golongan kedua ialah golongan yang sentiasa dalam kerugian, kerana membiarkan masa berlalu tanpa digunakan untuk amalan soleh dan ketaatan terhadap Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Asr ( surah masa). “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orangorang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.

Surah ini juga menjelaskan empat golongan manusia yang beruntung:

1. Orang yang memiliki iman yang dapat membimbing dirinya kearah kebaikan dan mencegah dari melakukan kemungkaran.

2. Orang yang melakukan perbuatan yang baik dan bermenfaat pada diri, keluarga dan manusia keseluruhannya.

3. Orang yang menyeru atau mengajak orang lain supaya hidup dalam lunas-lunas kebenaran yang berasaskan syariat Allah S.W.T..

4. Orang yang bersabar dalam menyampaikan syariat Allah dan bersabar dalam menghadapi kesulitan-kesulitan hidup serta ujian Allah S.W.T.

Kesimpulan,  marilah kita gunakan peluang masa dan nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kita mencipta kecemerlangan hidup di dunia lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat. Begitu juga masa hendaklah diurus dengan sebaik baiknya seperti pesanan tang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa hidup sebelum mati; Masa sihat sebelum sakit; Masa lapang sebelum sibuk; Masa muda sebelum tua; Masa kaya sebelum miskin. (Riwayat Imam Muslim dan at-Tirmizi).

Oleh itu kita perlu ingat dan sedar bahawa;

1. Masa hidup adalah masa untuk mentaati Allah SWT dan melakukan perkara-pekara yang bermanfaat untuk bekalan selepas mati.

2. Masa sihat adalah masa yang mudah bagi melakukan ibadah kepada Allah SWT dan segala perkara kebaikan.

3. Masa lapang adalah masa yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan diri sama ada untuk ibadah, kerjaya dan menambahkan ilmu.

4. Masa muda adalah masa yang berpotensi, mempunyai tenaga yang kuat dan sanggup menghadapi cabaran untuk membina kecemerlangan.

5. Masa kaya adalah peluang yang cukup untuk melakukan ibadah atau kebaikan yang memerlukan kebendaan seperti ibadah haji, zakat, wakaf, derma dan sedekah.


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (as-Sajadah: 12).

Wallahualam.

Tags: khutbah, masa
Subscribe

  • Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

    KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah…

  • Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya. Sesungguhnya rukun…

  • Lambang keutuhan Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments