mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Iman nan rapuh

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 3 April 2015M/ 13 Jamadilakhir 1436H JAWI

"Iman nan rapuh"

Apabila Iblis dikeluarkan daripada syurga disebabkan kederhakaannya, lantas dia meminta kepada Allah SWT agar dapat hidup lebih lama dengan tujuan untuk menyesatkan manusia. Permintaan tersebut diterima Allah.

Bertitik tolak disinilah bermulanya episod cabaran Iblis bagi manusia sebagaimana yang tercatat dalam Surah Al-A’raf ayat 14-17 :Bermaksud : Iblis menjawab: "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan." Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”

Demi iman dan taqwa kepada Allah SWT, jangan sesekali kita mengalah dengan cabaran ini. Perkukuhkan iman dengan petunjuk dan hidayah Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran, kerana ia benteng hati kita.

Allah SWT memberi petunjuk ini melalui Surah Az-Zukhruf, ayat 36-37 sebagaimana yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud : “Sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk.

Cabaran kedua terbesar kepada umat Islam ialah serangan pemikiran yang menguasai segenap kehidupan. Barat telah melaungkan sekularisme yang memenjarakan agama di dalam rumah-rumah ibadah serta menafikan agama sebagai jalan memajukan serta meninggikan sesebuah tamadun.

Laungan kapitalisme atau penindasan melampau tersebar dalam ekonomi.

Liberalisme atau keterbukaan melampau dalam urusan dunia telah meminggirkan syariat dan petunjuk Ilahi.

Pluralisme pula menyamakan kedudukan semua agama sedangkan Islam itu di atas dan tiada yang dapat mengatasinya.

Manakala slogan-slogan sosialisme menipu orang bawahan dengan menyatakan pentadbiran adalah hak mereka sedangkan Islam mengiktiraf seseorang khalifah atau pemimpin dalam urusan mentadbir.

Manakala, hedonisme atau budaya hiburan melampau telah memamah akhlak anak-anak muda dan merapuhkan hati mereka.

Ini merupakan sebahagian daripada ratusan senjata kaum musyrikin yang telah berjaya membunuh keimanan kaum muslimin sehingga menjadikan mereka lemah dan rebah dalam menelusuri arus komodenan ini.

Tiga perkara yang mesti kita lakukan sebaik mungkin dalam mengembalikan cahaya Islam di dalam hati yang kian rapuh ini:

Pertama: Bentengi diri dengan ilmu pengetahuan. Ketahui dan imanilah bahawa sistem Islam merupakan satu-satunya jalan hidup yang diredhai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah menghiasi Islam dengan keindahan-keindahan unggul yang bersifat Rabbaniah (ketuhanan), syumuliyah (lengkap), alamiah (merentas sempadan bangsa, masa dan tempat) serta thabat wa murunah (tetap pada dasar dan anjal pada cabangnya / tidak jumud).

Kedua: Bentengi diri dengan akidah. Yakinlah bahawa Islam adalah agama yang benar dan kekal. Islam adalah satu-satunya agama yang mampu berdepan dengan berbagai arus perubahan kehidupan. Islam adalah ubat yang menyembuhkan segala penyakit dan kecederaan yang dihidapi oleh manusia di setiap tempat dan zaman.

Ketiga: Bekerjasama dengan para daie dan ulama. Ya, tidak wajar kita mengasingkan diri daripada masyarakat tanpa memperdulikan permasalahan umat Islam. Bahkan kita berperanan besar dalam menyebarkan risalah Islam.

Rasulullah SAW melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abi Sa’id RA : Bermaksud : “Umat Islam akan mengikuti suatu kelompok sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan apabila mereka masuk ke dalam lubang biawak pun umat Islam tetap mengikutinya.” Para sahabat bertanya : adakah mereka itu yahudi dan nasrani?” Balas baginda SAW : “Siapa lagi kalau bukan mereka”

Kesimpulan dan pengajaran yang dapat kita petik daripada khutbah pada hari ini ialah :

Pertama : Umat islam sedang menghadapi cabaran-cabaran yang besar pihak daripada pihak musuh.

Kedua : Bentengi hati dengan ilmu pengetahuan, aqidah dan keimanan yang mantap, serta melaksanakan kerja dakwah secara berterusan.

Ketiga : Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT agar ditetapkan hati di atas jalan agama serta sentiasa taat kepadaNya

Firman Allah SWT di dalam surah Al-A’raf ayat 153 : Bermaksud : “Orang-orang yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman; sesungguhnya Tuhan kamu sesudah taubat yang disertai dengan iman itu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahualam.

Tags: iman, khutbah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments