mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahami konsep menuntut ilmu wahyu

DUNIA Islam kini dilanda oleh pelbagai krisis yang boleh menghancurkan umat dan negara akibat sikap dan tindakan yang dilakukan oleh mereka sendiri. Kurang kesedaran terhadap konsep dan peranan kehidupan di dunia ini salah satu faktor utama yang menyebabkan umat Islam di persimpangan kehancuran. Sebagai umat Islam sepatutnya mereka menjadi lebih cemerlang kerana kehidupan mereka berlandaskan kepada wahyu Ilahi dan panduan daripada Nabi Muhammad SAW.

Realiti yang wujud kini ialah umat Islam semakin hari kian jauh menyimpang dari panduan Ilahi dan Rasul. Sikap ujub (merasai diri terlalu hebat dalam pelbagai bidang seperti ilmu, kuasa dan kedudukan) menjadi satu penyakit yang melanda pemikiran dan sanubari. Perasaan rendah diri dan tawaduk (merendah diri) yang menjadi ciri-ciri hamba Allah semakin luntur. Perkara ini jelas ditonjolkan apabila mereka berlumba-lumba untuk mendapat kedudukan, kuasa dan sebagainya tanpa menghiraukan dosa dan pahala serta kesan yang boleh menghancurkan kewibawaan dan kehebatan agama Islam.



GOLONGAN ekstremis seperti militan IS bertindak radikal sehingga menghancurkan keindahan dan keistimewaan ajaran Islam. GAMBAR HIASAN

Sikap dan tingkah laku begini wujud dalam semua lapisan masyarakat sama ada yang memiliki ilmu pengetahuan berkaitan dengan duniawi atau ukhrawi. Ilmu yang dimiliki sepatutnya mampu membentuk individu Islam menjadi amanah, jujur dan tekun menunaikan tugasnya sebagai seorang pendidik, pentadbir, pemimpin dan ulama. Individu yang dianugerahkan oleh Allah dengan ilmu pengetahuan sepatutnya menyedari bahwa keistimewaan yang dimiliki itu bukan untuk bermegah, mencari kemasyhuran dan memiliki kekayaan secara haram dan tipu daya.

Ilmu pengetahuan yang dimiliki sepatutnya dijadikan sebagai panduan untuk membentuk keperibadian yang mulia mengikut ajaran Allah dan Rasul. Bukan digunakan untuk mencemuh dan menghina orang yang tidak memiliki ilmu. Sikap ujub begini kian ketara kerana konsep menuntut dan memiliki ilmu pengetahuan sudah menjadi kabur akibat perebutan kuasa, pangkat dan kedudukan sehingga terlupa bahawa ilmu yang dimiliki itu perlu dijadikan asas bagi pembentukan masyarakat Islam yang ideal dan dihormati oleh masyarakat bukan Islam.

Keadaan menjadi semakin parah apabila ilmu wahyu disampaikan kepada masyarakat dalam bentuk cemuhan dan kutukan. Perkara begini berlaku adalah disebabkan konsep menuntut ilmu sudah jauh tersasar daripada matlamat atau tujuan menuntut ilmu mengikut ajaran Islam. Ilmu wahyu disalahgunakan akibat terlalu ghairah untuk memiliki kuasa dan kedudukan. Ilmu wahyu sepatutnya dijadikan sebagai penawar kepada masyarakat Islam yang terumbang-ambing menghadapi kehausan kerohanian sehingga hilang identiti sebagai umat Islam yang sejati.

Ekoran kurang kesedaran berhubung konsep menuntut ilmu wahyu dalam Islam maka umat Islam bertelingkah sesama sendiri sehingga ke tahap memberi peluang kepada orang bukan Islam mencampuri hal ehwal keperibadian umat Islam serta mencemuh agama Islam.

Apabila umat Islam lemah dan golongan ilmuan wahyu bertarung sesama sendiri untuk menunjukkan kehebatan berdebat mengenai ilmu agama maka ketika ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam berada dalam ambang kehancuran. Rasulullah SAW mengutuk individu Islam yang menuntut ilmu wahyu dengan tujuan bertarung dengan ahli ilmu yang lain.

Pelbagai peringatan dijelaskan oleh Allah dan Rasulullah SAW kepada umat Islam berkaitan dengan sifat dan sikap memiliki ilmu pengetahuan.

Sikap bermegah diri dan takbur bukan amalan umat Islam yang memiliki ilmu wahyu. Amaran keras daripada Rasulullah SAW seperti ulama yang terlalu mengharapkan kemasyhuran dengan ilmu pengetahuan agamanya, ahli syahid yang berjuang untuk digelar sebagai wira dalam sejarah, serta penderma yang gemar dipuji adalah golongan yang tidak akan masuk syurga.

Sebagai individu yang memiliki ilmu wahyu amaran daripada Rasulullah SAW ini sepatutnya dijadikan panduan dalam berurusan dengan masyarakat dan negara.

Apabila ilmu wahyu dijadikan sebagai alat untuk kepentingan diri dan kumpulan maka pelbagai fenomena akan wujud dalam masyarakat Islam. Antaranya individu-individu yang tidak memiliki ilmu wahyu secara mendalam akan mentafsirkan ayat-ayat al-Quran mengikut fahaman akal tanpa merujuk kepada disiplin pentafsiran al-Quran dan konteks ajaran Islam sebenarnya. Hasilnya wujud golongan liberal dan ekstremis dalam masyarakat Islam.

Golongan liberal menghancurkan keaslian ajaran Islam manakala golongan ekstremis bertindak radikal dan menghancurkan keindahan dan keistimewaan ajaran Islam. Oleh itu Rasulullah SAW memperingati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud; “Apabila kamu melihat orang-orang yang menggunakan hukum-hukum yang tidak nyata, maka anggaplah mereka itu orang-orang yang diperingati oleh Allah, supaya jangan jadi pengikut mereka.” Sabda baginda lagi yang bermaksud; “Ambillah hukum-hukum dari al-Quran yang sesuai yang tidak ada keraguan. Sekiranya terjadi pertelingkahan tentang al-Quran dan isinya maka bangunlah kamu dan tinggalkan sidang/perbincangan tersebut.”

Umat Islam menjadi semakin keliru apabila berlaku pertikaian dalam isi kandungan al-Quran. Ayat-ayat al-Quran digunakan sewenang-wenangnya demi kepentingan politik atau agenda tertentu. Bagi individu Islam yang mendalami dan menghayati ajaran Islam tidak akan menjadikan ayat-ayat al-Quran sebagai agenda politik.

Al-Quran dijadikan sebagai panduan berpolitik bukan cara untuk mendapat kuasa dan kedudukan. Apabila ayat-ayat al-Quran dijadikan alat atau untuk kepentingan diri maka hukum-hakam yang jelas dan mudah difahami akan dikaburkan dengan pelbagai tafsiran.

Ulama begini sering mengubah hukum-hakam al-Quran berdasarkan kepada kepentingan diri dan kumpulan. Hasilnya, ramai masyarakat Islam yang berminat terhadap agama Islam menjadi semakin keliru dan salah faham terhadap ajaran Islam.

Bagi mengatasi salah faham terhadap tafsir al-Quran dan konteks ajaran Islam maka masyarakat Islam sepatutnya memahami latar belakang pendakwah atau penceramah agama supaya intisari pengajaran Islam tidak tersasar dari konteks ajaran Islam sebenarnya. Khalifah Umar al-Khattab amat prihatin dalam hal ehwal penyebaran pengajaran al-Quran dan Islam. Beliau sering menghantar perisik memantau setiap guru al-Quran yang dihantar untuk mengajar al-Quran dan agama. Apabila beliau mendapati guru agama tersebut mengajar al-Quran bertentangan dengan konteks ajaran al-Quran maka guru tersebut akan dipenjara dan disebat.

Dalam konteks masa kini, masyarakat Islam sendiri perlu menggunakan akal yang rasional dalam mempelajari ilmu agama. Kemasyhuran dan kehebatan seseorang individu bukan kayu ukur keilmuan dan kepakaran bidang ilmu wahyu yang dimiliki oleh seseorang individu. Intisari pengajaran ilmu Islam yang disampaikan kepada masyarakat serta tingkah laku yang bertepatan dengan akhlak dan etika menuntut ilmu serta cara penyebaran ilmu wahyu sepatutnya dijadikan kayu ukur dan penilaian.

Oleh itu ingatlah dan patuhilah panduan Rasulullah SAW dalam menuntut dan menghayati ilmu wahyu semoga amalan dan corak hidup bertepatan dengan konteks ajaran Islam.

Tags: wahyu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments