mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

PPPM(PT): Sediakan budaya muhasabah

Pelan Pemba­ngun­an Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) atau ringkas­nya PPPM(PT) bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 7 April ini.

PPPM(PT) yang terhasil daripada semakan semula terhadap Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dirancang dan diusahakan sebagai lanjutan sekali gus pelengkap kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah) atau PPPM.

PPPM(PT) mengandungi 10 lonjakan: empat lonjakan pertama bersifat hasilan pemegang taruh (stake holders) manakala enam lonjakan berikutnya pula bersifat pemboleh untuk meningkatkan hasil.

Sebagai suatu pelan negara untuk tempoh 10 tahun yang akan datang, PPPM(PT) dari segi perancangan dan juga pelaksanaan bukan sahaja perlu sistematik tetapi juga sistemik.

Justeru, lonjakan-lonjakan yang disasarkan itu mesti saling melengkapi dan kuat-memperkuat bukan semata-mata antara satu lonjakan dengan lonjakan-lonjakan yang lain tetapi juga antara sesama unsur dalam lonjakan yang sama.

Selain keperluan untuk bersifat sistemik, pelan tersebut juga perlu mempunyai paksi yang kukuh dan kekal.

Falsafah Pendidikan Negara sememangnya patut dijadikan paksi tersebut.

Namun, selain falsafah tersebut, lonjakan pertama iaitu: graduan holistik, keusahawanan dan seimbang - juga patut dijadikan paksi bagi sembilan lonjakan lain pelan tersebut.

Kesepaduan menyeluruh dan keseimbangan yang merupakan semangat utama Falsafah Pendidikan Negara kelihatan terus ditekankan dalam PPPM(PT), termasuk yang berkaitan dengan lonjakan pertama.

Jelas dalam lonjakan pertama itu, Aspirasi Pelajar yang me­rangkumi enam sifat (atau atribut) utama abad ke-21 memperlihatkan kesinambungan antara PPPM dan PPPM(PT).

Dalam paparan berhubung dengan enam sifat tersebut, tiga sifat berkaitan ilmu (iaitu kemahiran bahasa, berfikir dan pengetahuan) diimbangi pula dengan tiga sifat berkaitan akhlak (iaitu etika dan rohani; kemahiran kepimpinan; dan identiti kebangsaan).

Sebagai satu strategi ke arah pencapaian lonjakan pertama itu, penekanan kelihatan diberikan kepada kurikulum yang bukan sahaja berpusatkan pelajar tetapi juga berdasarkan hasil.

Namun, penekanan sedemikian bukan sahaja jelas tidak selari de­ngan semangat kesepaduan dan keseimbangan yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Negara tetapi juga turut terjerat dalam ali­ran dan cara berfikir yang dualistik serta dikotomik.

Untuk mengelak daripada aliran dan cara berfikir yang sedemikian, pelan tersebut perlu merangkum kurikulum yang turut mementingkan para pengajar dan proses.

Bahkan, Islam sendiri menekankan kedua-dua sisi tersebut sekali gus: pengajar dan pelajar; juga hasil dan proses.

Hanya ramuan bersepadu yang adil beradab antara kedua-duanya sahaja yang dapat menjamin kejayaan tulen.

Juga penting untuk dijelaskan, khasnya dalam perincian pelan tersebut, bukan sahaja setiap satu sifat pelajar yang ditekankan itu tetapi juga jalinan hubungan timbal-balik dinamik antara keenam-enam sifat pelajar itu.

Walau bagaimanapun, sifat-sifat demikian bukan sahaja perlu ada pada para pelajar tetapi, lebih pen­ting lagi, juga perlu wujud pada diri para pengajar mereka.

Bahkan, para pengajar semesti­nya menjadi contoh-ikutan terbaik perihal sifat-sifat tersebut, sebagaimana yang kelihatan terangkum pada prinsip teras berkaitan lonjakan pertama yang menyatakan “pendekatan terbaik pembelajaran adalah melakukannya - mengajar melalui teladan.”

Perincian terhadap semua yang dinyatakan di atas turut akan menjadi ujian untuk mengukur sejauh mana para perancang dan pelaksana pelan tersebut benar-benar mempunyai jati diri sambil bersifat berdaya cipta.

Sebagai contoh, sekiranya dalam menerangkan hakikat, sifat dan bentuk berfikir pun, masih ramai yang tertakluk-terikat dengan taksonomi Bloom atau yang seumpa­manya, selain mengabaikan usaha menelaah dan mengolah kembali khazanah hikmah dalam tamadun Islam sendiri, maka semua itu ha­nya menzahirkan jiwa hamba yang kerdil dan bersifat pak turut.

Dalam Falsafah Ilmu Islam, daya fikir dengan segala bentuk dan wajahnya sebenarnya hanya satu daya kebolehan akal.

Selain daya fikir, akal turut merangkum daya-daya kebolehan yang lain.

Satu daripada daya-daya itu adalah kemampuan muhasabah yang bersifat refleksif yakni: kemampuan menilik dan mengenal diri sendiri sehinggakan insan dapat secara serentak menjadi “yang menge­tahui” dan “yang diketahui”.

Sekiranya diakui bahawa pendidikan merupakan saluran dan proses utama untuk mengasuh, memupuk dan meningkatkan mutu akal dan ilmu insan, maka pendidik­an yang sama juga perlu menggarap dengan wajar dimensi muhasabah.

Garapan sedemikian pasti akan melibatkan tuntutan agar kaedah dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran turut bersifat refleksif, khasnya pada peringkat pengajian tinggi, dan melibatkan bukan sahaja para pengajar tetapi juga para pelajar.

Namun begitu, tanpa merangkum mata-mata pelajaran yang lebih bersifat refleksif pada kadar yang munasabah, garapan yang dimaksudkan di atas tidak akan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Mata-mata pelajaran tersebut pula selalunya bersifat falsafah (pemikiran) dan sejarah sekali gus dan sering kali pula bersifat merentas disiplin (interdisciplinary) dan me­lampaui disiplin (meta-discipline).

Mata-mata pelajaran seperti itulah yang semestinya mendasari pendidikan “seni liberal” yang, menurut pelan tersebut, akan di­tingkatkan dalam kurikulum sebagai inisiatif utama berkaitan lonjakan pertama tersebut.

Tanpa semua ini dilaksanakan dengan baik, sistem pengasuhan dan pendidikan kita bukan sahaja tidak dapat menyediakan persekitaran yang dapat menyuburkan budaya muhasabah tetapi yang lebih buruk lagi, menafikan serta memusuhi budaya tersebut.

- Dr. Mohd. Zaidi Ismail Utusan Malaysia Rencana Agama Pandangan IKIM 03 April 2015 12:15 AM
Tags: muhasabah, pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments