mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hudud dan Keutuhan Persekutuan

MUKADIMAH: Banyak yang telah diperkatakan dan dibahaskan berhubung Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud yang ingin dilaksanakan kerajaan Pas Kelantan. Ada yang menyokong dan tidak kurang pula yang membantah. Semua pihak mempunyai pandangan tersendiri. Bagi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, isu pelaksanaan hudud perlu juga dilihat dari segi hubung kaitnya dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurugambar, GHAZALI BASRI di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, beliau berpandangan, naluri politik ahli-ahli dan penyokong Pas di Kelantan merupakan antara faktor yang turut menyumbang kepada kesungguhan parti itu melaksanakan hudud.

Walau bagaimanapun, Abdul Rahim menyatakan bahawa 
beliau tidak berniat mempersoalkan hudud sebagai hukum Allah SWT. Beliau cuma membangkitkan persoalan yang mungkin bermain dalam fikiran orang ramai sekiranya hudud yang diperjuangkan Pas itu menjadi kenyataan.

UTUSAN: Pandangan Tan Sri tentang isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

ABDUL RAHIM: Oleh sebab yang memfailkan rang undang-undang persendirian ber­kaitan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) di Parlimen ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, semestinya perkara ini ada kaitan dengan kegiatan politik parti itu. Apatah lagi bila rang undang-undang persendirian ini menyusul selepas Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.

Kita kena singkap sejarah politik orang Melayu Kelantan, khususnya penyokong-penyokong Pas di negeri itu. Saya nampak, dari awal lagi, menganggap kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO kurang keislamannya. Tidakkah selepas hanya dua negara kita merdeka, Kelantan telah jatuh ke tangan Pas melalui pilihan raya umum pertama pasca merdeka pada 1959?

Kelantan sebagai sebuah negeri gabungan persekutuan semacam memandang serong terhadap Kerajaan Persekutuan dalam soal keislaman ini. Kalau boleh saya buat perbandingan, jika Indonesia mempunyai Acheh dalam persoalan ini, maka Kelantan semacam Acheh bagi negara kita.

Saya tidak pula mahu berkata, tanggapan UMNO sebagai parti yang kurang memperjuangkan syiar Islam terbatas dalam kalangan ahli-ahli dan penyokong Pas di Kelantan sahaja. Pandangan itu wujud di negeri-negeri lain di mana sahaja ada pengaruh parti itu seperti di Terengganu dan Kedah, misalnya. Tetapi, sentimen itu tidak sedalam dan tidak meluas seperti di Kelantan.

Tetapi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan orang Kelantan, beliau berasal dari Terengganu.

ABDUL RAHIM: Beliau orang nombor satu dalam parti, sudah tentu beliau nampak keazaman pemimpin-pemimpin Pas di Kelantan untuk melaksanakan hudud. Tetapi, bercakap tentang Abdul Hadi, saya tidak patut mengelak daripada membicarakan beliau tentang soal konsistensi.

Maksud saya, ketekalannya dari segi pegangan fahaman. Pada saya, ada dua amanat besar yang dibuat oleh Abdul Hadi sebagai pemimpin tertinggi Pas. Pertama, amanat yang diluahkannya pada 7 April 1981 di Kampung Banggol Peradong, Terengganu. Saya ada mendengar rakaman ucapan beliau menyampaikan amanat itu. Abdul Hadi mengungkapkan tiga ‘hukum’: pe­nentangan Pas terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana didakwa mengekalkan undang-undang kafir, peraturan-peraturan jahiliah dan perlembagaan penjajah (Perlembagaan Persekutuan).

Kemudian, beliau memberi hukum lagi: Perjuangan ucapan dan derma oleh ahli-ahli Pas adalah jihad. Diamanatkannya, kalau ahli-ahli Pas terkorban dalam gerakan menentang ‘puak-puak’ itu (maksud beliau tentulah musuh-musuh politik Pas), mereka dianggap mati syahid.

Hukum ketiga Abdul Hadi dalam amanat pada April 1981 itu ialah: “Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tetapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.

Bilakah timbul amanat Abdul Hadi yang kedua? Ia keluar hampir 22 tahun kemudian, dinamakan Amanat Perdana Pemangku Presiden yang diisytiharkan pada 18 Januari 2003. Apakah bezanya dengan amanat pada April 1981? Amanat pada 2003 bersifat dua lapis – lapis Persekutuan dan lapis negeri (seperti Kelantan). Bagi saya, ini semacam memberi gambaran pemikiran politik Abdul Hadi sudah terbalik. Ini semacam mahu menikam diri ahli-ahli Pas sendiri. Ini seperti mahu mengkafirkan penyokong atau ahli-ahli Pas. Perbuatan songsangkah ini?

Sangat jelas menurut amanat itu, kerjasama dalam kalangan parti pembangkang untuk menjatuhkan atau mengurangkan kekuatan parti lawan iaitu UMNO dan BN. Menurut Abdul Hadi, pengalaman kerjasama yang lalu – menerusi apa yang dinamakan barisan alternatif (1999). DAP terkandas dan puncanya ialah isu negara Islam dan pelaksanaan hudud dan syariah Islam. Jadi, kata Abdul Hadi “…Pas perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat Persekutuan…” Kata Abdul Hadi lagi, “…Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat Persekutuan.”

Saya hendak bertanya kepada pembaca: tidakkah perbuatan Pas bersekongkol dengan parti bukan Islam iaitu DAP adalah perbuatan mengkafirkan ahli-ahli Pas seperti yang dihukumkannya pada 1981? Barang diingat, beliau masih belum menarik balik amanat itu – dan pada saya, tak mungkin beliau akan menariknya? Jadi, sudahlah ahli-ahli UMNO (yang berjumlah tiga juta lebih orang itu) telah menjadi kafir gara-gara hukum Abdul Hadi, jumlah ini ditokok pula dengan seluruh ahli Pas yang berjumlah satu juta lebih itu. Jadi, Abdul Hadi semacam telah mengkafirkan senang-senang empat atau lima juta orang Melayu di negara ini.

Dan lagi, dalam amanat perdana pada Januari 2003 itu, beliau juga memberi hukum boleh dipakai undang-undang dan Perlembagaan negara yang, menurut Amanat 1981 dihukumkannya sebagai penerusan amalan-amalan kafir.

Tidakkah Abdul Hadi sudah mengamalkan sikap ‘politik suku, agama suku’? Bagi saya, tepuk dada tanya selera wahai wakil rakyat apabila Parlimen bersidang membahaskan rang undang-undang persendirian yang diusulkan oleh Presiden Pas itu.

Bagaimana Tan Sri melihat kaitan rang undang-undang per­sendirian ini dengan undang-undang negara?

ABDUL RAHIM: Perlembagaan Persekutuan jelas menceritakan perkara-perkara yang menjadi bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Pada hemat saya, pembahagian bidang kuasa yang sudah disepakati itu sewaktu Perlembagaan Persekutuan dirangka, semua isu yang timbul sudah diperhalusi dan difikirkan bersama semasak-masaknya oleh pakar-pakar dalam Suruhanjaya Reid iaitu Lord William Reid (England), Sir Ivor Jennings (England), Sir William McKell 
(Australia), B. Malik (India) dan Abdul Hamid (Pakistan). Perkara-perkara itu juga dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu dan dibincangkan bersama wakil-wakil parti politik di Persekutuan Tanah Melayu.

Saya percaya apa yang disepakati itu sebahagiannya telah dilaksanakan oleh pentadbiran penjajah Inggeris dan diteruskan dengan beberapa pindaan. Semua perkara tersebut telah dibahaskan dan dinilai terlebih dahulu.

Perkara lain yang perlu dilihat ialah negara kita, sama ada sebelum atau selepas merdeka, tidak diasaskan kepada mana-mana ideologi. Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut negara kita ini sekular.

Jika kita lihat di negara-negara bekas Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Tatarstan dan Azerbaijan, Perlembagaan negara-negara terbabit tidak mengguna pakai undang-undang syariah malah secara jelas menyatakan mereka adalah negara sekular. Amalan itu adalah berdasarkan kepada pengalaman negara-negara terbabit semasa masih bersama Kesatuan Soviet yang berpaksikan ideologi komunisme. Malah, Kesatuan Soviet dikenali dengan sentimen antiagama.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan Malaysia ialah negara sekular, Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan. Namun, mereka yang bersikap skeptikal melihat perkara itu sebagai satu sandiwara.

Bagi saya, ini bukan sandiwara sebab dalam undang-undang kita diwujudkan sistem mahkamah syariah tetapi tidak diwujudkan pelaksanaan hukuman seperti hudud ke­rana soal jenayah telah ditetapkan sebagai tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan. Walaupun hudud tidak dilaksanakan, undang-undang syariah Islam tetap dikuatkuasakan.

Tindakan tetap diambil terhadap mana-mana orang Islam yang me­lakukan kesalahan seperti tidak berpuasa atau berkhalwat. Malah, Malaysia sering disebut sebagai negara Islam contoh di peringkat antarabangsa. Pemimpin negara Islam lain juga melihat Malaysia sebagai negara contoh dari segi penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan rakyatnya berbanding dengan Turki, Mesir dan Indonesia.

Di samping itu, sejak merdeka, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi menegakkan ­syiar Islam di negara ini termasuk dari segi mengembangkan dakwah Islam, menubuhkan pusat-pusat kajian berorientasikan Islam dan memperkasakan mahkamah syariah agar setanding mahkamah sivil.

Ada kebimbangan yang wujud dalam kalangan orang bukan Islam tentang kemungkinan pelaksa­naan hudud diperluaskan di seluruh negara terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai Pas selain Kelantan. Komen Tan Sri?

ABDUL RAHIM: Sebelum kerajaan Persekutuan melaksanakan hudud, pada pendapat saya, perlu melihat peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu. Yang saya maksudkan adalah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua rakyat di negara ini adalah sama rata di sisi undang-undang.

Dengan jelas, Perkara 8 menyebut semua orang mempunyai hak sama dan berhak mendapat perlindungan sama rata di bawah undang-undang. Negara ini mempunyai pelbagai latar belakang kaum dan agama. Sekiranya hudud dilaksanakan, tidak dapat tidak, akan timbul isu-isu sensitif yang menyentuh pegangan agama rakyat yang berlainan.

Saya mengambil contoh satu kes mencuri yang dilakukan oleh dua penjenayah yang berbeza agama. Seorang daripadanya beragama Islam manakala seorang lagi bukan Islam. Tertuduh yang beragama Islam akan didakwa di bawah undang-undang hudud.

Jika telah ditentukan hudud tidak dipakai untuk bukan Islam, sudah pasti rakannya yang bukan Islam itu akan dituduh di bawah undang-undang sivil iaitu Kanun Keseksaan. Kita tahu apa hukum­nya jika kes mencuri di bawah hudud dan di bawah Kanun Keseksaan. Orang Islam yang mencuri itu akan dipotong tangannya sedangkan rakannya mungkin hanya didenda atau dipenjara beberapa hari.

Apa kesannya di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan? Tidakkah ini menggambarkan dua rakyat Malaysia yang tidak tertakluk di bawah satu undang-undang yang sama mengenai jenayah mencuri. Ini adalah satu contoh yang kecil sahaja.

Kita boleh memberi banyak contoh lagi kes jenayah dalam negara kita seperti pemerkosaan atau bersekedudukan yang melibatkan orang Islam dan penganut agama lain. Sudah tentu timbul keadaan yang menyalahi semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Apa ertinya isu ini bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia? Bagi saya, konflik seperti ini hanya boleh menimbulkan ke­gelisahan dalam masyarakat.

Bagaimana pula pandangan Tan Sri tentang kesan pelaksanaan hudud terhadap suasana politik di seluruh negara?

ABDUL RAHIM: Memang saya bimbang di dalam suasana dunia sekarang ini yang menghadapi gelombang hak asasi manusia. Pemikiran berteraskan hak asasi manusia ini sebagai melebar dan mendalam sehingga berupaya menghakis segala perkara yang disepakati selama ini kerana mereka menganggap peraturan hidup sedia ada adalah melanggar hak asasi individu.

Kata mereka, dahulu lain sekarang lain. Sebagai contoh, baru-baru ini Scotland mengadakan pungutan suara tentang usaha memerdekakan negara itu daripada pemerintahan England. Perbahasan tentang isu berkenaan di Parlimen Scotland dan Parlimen British yang diadakan lama sebelum pungutan suara dijalankan begitu padat dan berat dengan isi-isi yang berteraskan hak asasi manusia. Perkembangan serupa boleh disaksikan di seluruh dunia di mana banyak negara menggunakan kaedah pungutan suara bagi mencapai keputusan tentang sesuatu isu.

Secara ikhlas, saya katakan bahawa jangan kita lupa bahawa butiran perbahasan yang dibentangkan semasa proses pungutan suara kemerdekaan Scotland dijalankan mungkin berlaku di negara kita kerana pihak-pihak yang berkenaan misalnya penduduk Sabah dan Sarawak, mereka mempersoalkan tentang perkara-perkara yang dijanjikan kepada mereka sebelum dua negeri itu menyertai Malaysia. Mereka tidak dijanjikan tentang pelaksanaan hudud. Isu ini membabitkan agama. Kita tidak seharusnya lupa bahawa majoriti bumiputera di Sabah dan Sarawak beragama Kristian.

Memang, pemimpin-pemimpin Pas yang memperjuangkan hudud berjanji undang-undang Islam itu tidak akan dikuatkuasakan terhadap penganut agama lain di Sabah dan Sarawak.

Penduduk di dua negeri ber­kenaan turut mengalami gelombang hak asasi manusia. Bukan sahaja di bandar-bandar besar malah di kawasan pedalaman. Maklumat kini bergerak pantas dan dapat dibaca melalui telefon pintar. Malah, sewaktu rundingan sebelum penubuhan Malaysia, ada pemimpin Sabah dan Sarawak yang tidak mahu Islam diletakkan sebagai agama Persekutuan. Pada masa itu lagi mereka sudah bersikap sensitif tentang isu itu. Mereka bimbang dianaktirikan dari segi agama.

Saya bimbang bahawa hari demi hari perkara-perkara yang bergolak seperti ini akan menimbulkan ke­sangsian dalam kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak. Apabila situasi ini berlaku, akan timbul isu-isu menyentuh integriti, keselamatan dan keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan.

Kesimpulannya, Malaysia adalah sebuah negara yang telah memberi kita banyak nikmat dan serba mewah. Sistem yang sama boleh meneruskan kesinambungan ini jika dilakukan beberapa penambahbaikan. Janganlah kita terlepas pandang atau lalai tentang sensitiviti rakyat yang ‘brick by brick’ boleh membuatkan pihak tertentu mempersoalkan keutuhan integriti negara. - Abdul Rahim Noor Utusan Malaysia Rencana 6 April 2015

Tags: agama, hudud, hukum
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments