mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Al-Quran Petunjuk Sepanjang Zaman

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 17 April 2015M / 27 Jamadilakhir 1436H  JAWI

" Al-Quran Petunjuk Sepanjang Zaman"

Al-Quran merupakan kalamullah yang diturunkan kepada manusia melalui Nabi Muhammad SAW. Ia mengandungi pengajaran daripada setiap aspek. Bukan sahaja menyentuh alam kerohanian dan akhirat, bahkan ia kaya dengan pelbagai khazanah ilmu duniawi, sesuai dengan tanggungjawab manusia sebagai khalifah Allah bagi memakmurkan bumi ini.

Apakah keistimewaan bagi mereka yang membaca dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan berbanding orang yang tidak membacanya?

Rasulullah SAW menerusi hadith riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA : Bermaksud : “Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti buah utrujjah (sejenis limau), yang bau dan rasanya lazat. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma, yang tidak berbau namun manis. Perumpamaan orang munafiq yang membaca Al-Quran adalah seperti buah raihanah, yang baunya sedap tetapi rasanya pahit. Sementara perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah hanzalah yang baunya tidak sedap, malah rasanya pahit.”

Janji Allah SWT di dalam Surah Fatir, ayat 29 yang dibacakan pada muqaddimah khutbah sebentar tadi, yang bermaksud : “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka secara sembunyi dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi”

Al-Quran juga merupakan pembela kita pada hari kiamat sebagaimana penjelasan Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, At-Tabrani, Al-Hakim dan Al-Baihaqi melalui Ibnu Umar RA: Bermaksud : “Puasa dan Al-Quran akan memohon syafaat kepada seseorang hamba pada Hari Qiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah menegahnya makan dan nafsu syahwat di siang hari, Maka berikanlah syafaatku kepadanya. Al-Quran berkata: Wahai Tuhanku! Aku telah menegahnya dari tidur pada malam hari. Maka, berikanlah syafaatku kepadanya. Lalu kedua-duanya diberi perkenan untuk memberi syafaat.

Mukjizat agung ini berperanan sebagai cahaya petunjuk dalam menempuhi kehidupan di dunia, melaluinya kita dapat membezakan di antara perkara yang haq dan batil. AlQuran juga membawa rahmat kepada manusia, menjadi penawar penyakit zahir dan batin, menjadi peraturan dalam kehidupan bahkan membentuk akhlak muslim yang mulia.

Tidak layak bagi Al-Quran sekadar diukir untuk dijadikan perhiasan di dinding semata-mata. Sewajibnya Al-Quran menjadi kitab bacaan harian serta kandungannya dijadikan panduan dalam kehidupan.

Pertama : Sentiasa berdoa agar hati mencintai Al-Quran. Seandainya kecintaan tersebut belum hadir, fikirkanlah bahawa Al-Quran itu sendiri merupakan wahyu Allah serta petunjuk buat hamba-hambaNya. Wahyu inilah yang akan memandu kita menuju kepada redha serta rahmatNya. Wahyu ini jugalah yang menyuluh jalan kita menuju SyurgaNya. Oleh itu, mengapa hati ini terlalu keras untuk menerima, membaca dan memahaminya serta mengamalkannya?

Kedua : Jadualkan diri untuk membaca dan mentadabbur ayat Al-Quran. Di dalam 24 jam kehidupan seharian, luangkanlah beberapa minit secara tetap dan konsisten untuk membuka lembaran Al-Quran, membacanya dan memahami terjemahan serta tafsirannya. Pilihlah masa yang bersesuaian seperti selepas subuh, waktu rehat atau selepas maghrib mengikut keselesaan masing-masing.

Ketiga : Jiwa manusia sukakan alunan merdu. Justeru, perdengarkanlah bacaan para qari yang boleh menambat hati melalui media massa yang ada pada hari ini. Antaranya qari yang terkenal adalah seperti Syeikh Saad Said Al-Ghamidi, Syeikh Abdurrahman Sudais dan Syeikh Maher Al-Muaiqly. Mudah-mudahan, alunan bacaan para qari yang kita dengari dapat mengetuk pintu hati kita dalam menjiwai kehebatan dan kesucian Al-Quran.

Keempat : Lazimilah untuk bertadarus bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain mewujudkan suasana ukhuwwah, ia juga memberi peluang untuk bersama-sama memperbaiki bacaan.

Kelima : Sekiranya Al-Quran tidak dibaca disebabkan kelemahan dalam bacaan, hadirilah kelas-kelas pengajian Al-Quran yang diadakan di pusat-pusat pengajian, masjid dan surau atau secara guru persendirian. Mudah-mudahan, komitmen yang diberikan dalam mempelajari dan memahami Al-Quran akan diganjari oleh Allah SWT dengan ganjaran yang setimpal sekiranya mereka berusaha membacanya walaupun dalam keadaan sukar.

Janji Rasulullah SAW di dalam hadith riwayat Muslim menerusi Saidatina Aisyah RA berbunyi : Bermaksud : “Seseorang yang mahir, membaca Al-Quran akan bersama dengan para malaikat yang mulia dan orang yang berusaha membacanya, di mana dia terpaksa merangkak-rangkak membacanya dan dia menghadapi kesukaran, dia akan mendapat dua pahala.”

Keenam : Indeks Al-Quran telah mengklasifikasikan bab demi bab yang terkandung di dalam Al-Quran. Ini menarik minat dalam pembacaan dan memudahkan pencarian isu yang terkandung di dalam Al-Quran. Misalnya bab ibadah, jenayah, muamalah, sejarah, ilmu moden dan sebagainya. Lebih menarik lagi, ia juga terdapat di dalam bentuk perisian komputer. Dengan melihat kepada indeks ini akan meyakinkan kita bahawa Al-Quran itu serba lengkap.

Renungilah beberapa pesanan ini :

Pertama : Al-Quran merupakan cahaya petunjuk dan keselamatan bagi orang-orang yang beriman

Kedua : Orang yang mencintai dan mengamalkan kandungan Al-Quran tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT, para malaikat dan Rasulullah SAW.

Ketiga : Mulakan langkah untuk lebih rapat seterusnya bersahabat dengan AlQuran, iaitu wahyu dan kalam Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am, ayat 155 : Bermaksud : “Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.”

Wallahualam.
Tags: al-quran, khutbah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments