mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Elakkan tertipu 
ke Tanah Suci

TERPILIH menjadi teta­mu umrah cukup me­nggembirakan buat umat Islam. Walaupun tidak bergelar haji atau hajah setelah pulang ke tanah air, para tetamu umrah pastinya berasa puas apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi yang penuh keberkatan itu. Namun terdapat segelintir pe­ngendali pakej umrah yang tamak dan rakus mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan pe­nipuan demi penipuan.

Terbaharu laporan akhbar Utusan Malaysia menyebut sejumlah 33 kes penipuan melibatkan 31 buah syarikat telah dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak Januari hingga Mac tahun ini. Pendedahan ini pastinya merupakan satu perangkaan yang cukup membimbangkan malah sukar diterima kerana wujudnya pihak yang sanggup menipu dalam urusan melakukan amal ibadah.

Bagi mengelak perkara ini daripada terus berlarutan masyarakat Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah dinasihatkan supaya merujuk kepada senarai pengendali umrah yang diiktiraf oleh Kedutaan Arab Saudi melalui portal i-umrah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, (Jawhar) Jabatan Perdana Menteri. Yang mana setakat Januari lalu terdapat lebih 50 buah syarikat pe­ngendali pakej umrah tempatan yang disenaraikan di laman sesawang tersebut.

Para tetamu Allah SWT juga di­ingatkan supaya tidak tertipu dengan tawaran pakej yang terlalu murah kerana dikhuatiri ada pihak yang sengaja menangguk di air yang keruh dengan menjanjikan perkhidmatan murah tetapi tidak mampu ditepati.


TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon (tengah) bersama Asisten Komisioner Izany Ab.Ghany (kiri) dan
Supritendan Yhazid Idris menunjukkan gambar tiga pengendali pakej Umrah yang menipu orang ramai dengan
menawarkan tiket murah semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu. GAMBAR HIASAN

Dalam hal ini Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang diketuai oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan ditubuhkan di bawah Akta Industri Pelancong­an 1992 (AIP) telah menetapkan kadar minimum RM4,900 untuk mengerjakan umrah di Malaysia.

Pihak Jawhar turut menyenaraikan beberapa garis panduan yang elok diteliti sebelum memi­lih mana-mana pakej umrah bagi mengelak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab. Antaranya; meneliti dan membuat perbandingan berkenaan harga pakej yang ditawarkan yang berbeza-beza meng­ikut musim dan perkhidmatan yang ditawarkan, menyelidik latar belakang syarikat dan pengalamannya dalam mengelolakan umrah termasuklah pengurusan visa, ja­dual penerbangan, kedudukan hotel penginapan dan pengalaman jemaah yang terdahulu. Eloklah segala bukti tempahan dan pembayaran yang telah dilakukan disimpan sebagai bukti untuk melaporkan sebarang bentuk penyelewengan.

Para pengendali pakej umrah juga hendaklah ikhlas dalam mempermudahkan urusan ibadat ke Tanah Suci. Usah terkesima dengan keghairahan jutaan umat Islam untuk menunaikan umrah sepanjang tahun sehingga sanggup menipu dan mengaut keuntungan lumayan atas perkhidmatan yang gagal disediakan. Tiada gunanya melakukan penipuan kerana lambat laun akan terbongkar jua. Perniagaan yang dijalankan juga tidak diberkati selain berhadapan dengan kutukan dan azab yang pedih di akhirat kelak.

Apatah lagi menjelang bulan Ramadan di mana ramai yang sudah berkira-kira untuk menunaikan umrah kerana ganjarannya yang tidak ternilai. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Umrah ketika Ramadan sama seperti mengerjakan haji bersamaku.” - Riwayat Bukhari dan Muslim. Ini kera­na pelbagai ganjaran tidak ternilai disedia­kan pada Ramadan selain mendapat pahala seperti mengerjakan haji bersama Nabi SAW.

Selain itu, para tetamu Allah dinasihatkan supaya sentiasa mengikhlaskan niat ke sana semata-mata kerana Allah, jauh daripada tujuan yang menyimpang dikhua­tiri rugi dan pulang dengan tangan kosong. Usah ke Mekah ke­rana nama, gelaran mahupun pujian manusia kerana bimbang termasuk perbuatan syirik dalam beribadah sehingga segala amalan yang dilakukan tertolak.

Selain itu panjatkan doa agar dijemput menjadi tetamu Allah kerana tanpa jemputan Ilahi, bagaimana seseorang itu boleh hadir ke Baitullah. Malah jika seseorang sudah terpilih menjadi tetamu-Nya segala rintangan dan cabaran akan dapat dilalui sehingga akhirnya dapat merasai kemanisan beribadah di kedua-dua Kota Suci Mekah dan Madinah.

Para tetamu Allah juga dinasihatkan supaya tidak berharap dengan layanan lima bintang dan pakej pelancongan ketika ke Tanah Suci kerana manusia hanya merancang tetapi Allah SWT sahaja yang menentukan segala-galanya. Boleh sahaja seseorang diuji bagi menilai sejauh mana keimanan dan ketakwaan mereka lalu dibalas dengan ganjaran berlipat kali ganda di dunia mahupun di hari akhirat. Malah­an peluang berada di tempat yang paling mustajab doa usahlah disia-siakan tanpa bermohon dan bermunajat semoga segala permintaan diperkenankan oleh-Nya.

Perlu juga diingatkan bahawasanya permohonan visa ke Tanah Suci tertakluk kepada pe­nerimaan oleh pihak Kedutaan Arab Saudi. Mereka berhak untuk menolak sesuatu permohonan visa, mengubah dan menambah baik segala peraturan yang ada demi menjaga keamanan dan kemaslahatan tetamu Allah di Tanah Suci. Untuk itu nilai kesabaran yang tinggi amat-amat diperlukan sebagai satu daripada bentuk tarbiah ilahiyyah yang perlu dilalui demi ganjaran berlipat kali ganda yang disediakan.

Sehubungan itu, pengendali pakej umrah diharap sentiasa menjaga maruah dan ketinggian Islam dengan berusaha sedaya upaya menyediakan kemudahan terbaik buat semua tetamu Allah. Umat Islam yang terpilih ke Tanah Suci juga di­sarankan sentiasa menjaga maruah diri dan negara dengan tidak me­lakukan kegiatan yang bercanggah dengan agama dan undang-undang setempat. Ini bagi mengelak imej Islam dan maruah umatnya tercalar dek kerana perbuatan segelintir yang haloba dan terpedaya meng­ikut tuntutan nafsu sendiri.

Tags: umrah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments