mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Miskin itu bahaya

SEORANG sahabat telah mencurahkan kepada saya perasaan sedih dan simpatinya mendengar cerita daripada pembantu rumahnya (babu). Dia menceritakan tentang kesusahan dan kemelaratan hidup keluarganya di kampung asalnya yang mendorong dia menjejak kaki di bumi Malaysia ini.

Pembantu rumah itu sering mengeluh: “Aneh! Bumi dan udara di Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand, Kemboja dan Vietnam adalah sama semuanya. Tetapi mengapa bumi Malaysia lebih maju dan aman daripada negara-negara lain?”

Walau bagaimanapun dia agak bernasib baik kerana dapat bekerja di rumah sahabat yang berkenaan. Tetapi katanya kawan sekampungnya bekerja dengan keluarga bukan Islam. Dia anak pak kiai. Belajar agama sejak kecil. Sudah khatam al-Quran beberapa kali.

Tetapi malangnya dia di sini terpaksa merempuh dan melanggar hukum hakam agama, seperti memandikan anjing, memasak makanan daripada najis mughallazah seperti khinzir dan menunaikan solat pun tidak berkelapangan. Dia memberitahu bahawa bulan Ramadan begini amat letih dan capek, tidak ada kegembiraan bersahur, beriftar dan berterawih.


Islam memusuhi dan tidak 
pernah mentakdirkan kemiskinan

Kemiskinan adalah penghalang untuk melaksanakan beberapa ibadah tertentu. - Gambar hiasan

Itulah takdir yang menimpa dirinya. Keimanan dan ketakwaan yang dibina dan dibangunkan dalam dirinya sebelum ini sudah runtuh dan cair. Bahkan sudah hancur sama sekali. Panggilan perut adalah paling kuat dan amat berpengaruh daripada segala-galanya.

Pembantu rumah yang malang itu tidak akan berada di Malaysia dan tidak mungkin bersedia mengorbankan dirinya sebegitu rupa sehingga terpaksa melanggar prinsip budaya dan ajaran agama, dan kemudiannya meruntuhkan iman dan takwa yang dibina sejak lama, sekiranya di negaranya sudah ada kehidupan yang aman dan mewah, damai dan meriah, tidak ada kelaparan dan kesengsaraan, tidak ada peperangan dan kekacauan. Malangnya tidak berlaku demikian.

Hanya di Malaysia ada keamanan dan kemewahan, ada kedamaian dan kemeriahan dan ada kebebasan. Katanya, “Bumi Malaysia ini gedung emas bagi kami.”

Bahaya kepada akidah

Sebenarnya kita di Malaysia sudah lama memahami dan menyedari bahawa Islam memusuhi dan tidak pernah mentakdirkan kemiskinan. Islam adalah satu-satunya agama yang memeranginya kerana kemiskinan itu bahaya kepada akidah, boleh merosakkan akhlak, menghuru-harakan keluarga, memporak-perandakan masyarakat dan akhirnya memusnahkan negara.

Bahkan kemiskinan adalah penghalang untuk melaksanakan beberapa ibadah tertentu. Orang miskin tidak mampu mengeluarkan zakat, tidak berupaya menunaikan haji, bahkan sembahyang lima waktu pun mungkin tidak sempurna, kerana sembahyang juga mempunyai hubungan dengan harta, iaitu kain bagi maksud menutup aurat.

Tetapi untuk menghapuskan kemiskinan bukanlah hanya dengan doa dan sembahyang hajat atau beretorik semata-mata, tetapi ia perlu kepada usaha dan amal.

Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan menuntut setiap Muslim supaya bekerja, kerana hanya dengan bekerja dapat memerangi kemiskinan, kerana bekerja itu menjadi faktor utama bagi mencapai kemewahan dan sebagai unsur penting bagi memakmurkan negara.

Firman Allah yang bermaksud: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya berserta orang mukmin akan menyaksikan apa yang kamu kerjakan. (at-Taubah: 105)

Hadis yang sering diperdengarkan, antaranya: Bekerjalah kamu untuk kepentingan dunia kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan bekerjalah kamu untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok. Sesetengah ulama menganggap hadis itu sebagai athar Umar bin al-Khattab.

Atas semangat inilah maka pelbagai program ekonomi telah dirancang dan dilaksanakan di negara ini bermula sejak awal merdeka lagi dengan berbagai-bagai rancangan dan program pembangunan, antaranya rancangan luar bandar sehinggalah kepada pembangunan industri dan elektronik.

Hari ini kira-kira dua juta rakyat asing menjadi pendatang ke negara ini. Kedatangan mereka ialah untuk menumpang kasih dengan rakyat Malaysia dan untuk mendapatkan sedikit rezeki bagi diri dan keluarganya. Ada di antara pendatang itu adalah wanita-wanita muda yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan suami di kampung negara asal mereka.

Menumpang kenikmatan

Kita tidak pernah membina benteng atau pagar yang menghalang kedatangan mereka secara sah. Sebaliknya kita dirikan jambatan dan laluan yang menyediakan peluang bagi mereka menumpang kenikmatan yang ada di negara ini. Kita mahu jiran-jiran kita juga ikut menjadi mewah dan selesa seperti kita.

Di atas faktor inilah Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sentiasa menyeru dan mengajak rakyat supaya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin negara kerana sebab-musabab kepimpinan yang bijaksanalah maka Allah SWT mengurniakan nikmat keamanan dan kemewahan yang tidak diberi kepada kebanyakan negara lain.

Khuatir nanti sekiranya sebilangan besar rakyat kufur dengan nikmat yang ada di hadapan mereka, maka tidak mustahil akan berlaku seperti apa yang difirmankan Allah dalam surah an-Nahl 112 yang membawa maksud: Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan dengan sebuah negeri yang dahulunya aman sentosa lagi tenteram. Rezekinya yang berlimpah ruah dari segenap tempat, tetapi penduduknya kufur akan nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan oleh sebab apa yang mereka telah usahakan.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa nikmat yang dikurniakan Allah kepada sesuatu negara itu, seperti nikmat keamanan, kesentosaan, kesuburan dan kemakmuran yang datang dari dalam dan luar negara itu semuanya mudah saja dicabut oleh-Nya dan kemudiannya bertukar kepada kelaparan dan ketakutan apabila rakyat tidak bersyukur dan mengingkari nikmat berkenaan.

Dalam ayat ini Allah membawa satu ungkapan yang indah, iaitu dengan menggunakan perkataan merasai pakaian kelaparan, sedangkan pakaian bukanlah dirasakan melainkan dipakai.

Tetapi kelaparan itu boleh dilihat sebagai pakaian bagi orang yang menderita, kerana mereka sudah tidak ketentuan lagi dan hilang pertimbangan. Orang lapar tidak segan memakai karung, guni, kulit kayu dan sebagainya sebagaimana yang pernah berlaku di zaman penjajahan dahulu.

Hilang rasa malu

Orang lapar akan hilang perasaan malu dan takut. Mereka sanggup menggadai nyawa dan mengorbankan jiwa, bertekad untuk menghadapi apa jua risiko buruk dan bahaya, bersedia untuk berpisah dengan keluarga yang dikasihi, berhijrah dan merantau ke mana saja cuma kerana menyahut panggilan perut. Bahkan iman dan takwa pun boleh tergadai disebabkan kelaparan dan kebuluran.

Keadaan seumpama ini tidak ada di Malaysia. Walaupun rakyatnya berbilang bangsa, berlainan budaya dan berbeza agama, tetapi mereka dapat hidup dengan penuh gembira, selesa, mewah dan tidak ada yang mati kebuluran dan kelaparan. Sebaliknya mereka yang mati kerana kekenyangan dan kecelakaan jalan raya adalah ramai.

Bahkan golongan ini menentang kerajaan dan siang malam mencipta fitnah dengan pelbagai andaian, tohmahan dan wasangka yang bukan kepalang. Apa yang kerajaan buat semuanya buruk dan jijik belaka. Golongan ini pun mewah dan senang hasil daripada perancangan dan pentadbiran yang bijaksana daripada pemimpin yang ada.

Pertolongan Allah

Bukan mudah dan senang untuk mentadbir sesuatu negara dan memastikan negara berkenaan dalam keadaan aman dan sentosa. Politiknya stabil dan ekonominya mantap. Rakyat pula selesa dan gembira. Kerana ia memerlukan perancangan yang teliti dengan pemerahan pemikiran dan curahan tenaga yang luar biasa.

Hanya perancangan yang teliti dan pentadbiran yang bijaksana akan mendapat pertolongan-Nya.

Kegagalan ramai pemimpin dalam mentadbir sesuatu negara bukanlah kerana negara yang berkenaan tidak mempunyai hasil mahsul yang lumayan atau rakyatnya bodoh-bodoh belaka, tetapi adalah disebabkan pemimpin-pemimpin yang berkenaan tidak bijaksana dalam membuat perancangan. Mereka lupa untuk mengambil kira tuntutan sekeliling dan kehendak semasa.

Pemimpin seumpama inilah yang dikatakan tidak membela agama Allah, zalim, buas, kejam, ganas, tidak berperikemanusiaan, tidak berperasaan belas kasihan dan sebagainya menyebabkan rakyat menjadi korban, negara musnah dan agama tergadai.

Mereka inilah dikatakan musuh Allah yang tidak akan mendapat pertolongan Allah selama-lamanya. Benarlah apa yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah Muhammad 7 yang bermaksud: Wahai orang beriman. Jika kamu menolong Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (mencapai kemenangan).

Tags: miskin
Subscribe

Posts from This Journal “miskin” Tag

  • Integriti membasmi kemiskinan

    MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa 17 Oktober (semalam) adalah International Day For Eradication of Poverty atau Hari Pembasmian Kemiskinan…

  • Kaya, miskin bukan pengukur iman

    NIKMAT kekayaan sebenarnya adalah ujian sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan atau kekayaan itu menjadikan kita lalai.…

  • Kaya, miskin bukan ukuran iman

    TERFIKIRKAH kita mengapa ALLAH SWT menjadikan golongan kaya dan miskin dalam dunia ini. Bukankah ALLAH Maha Kaya lagi Maha Adil? ALLAH berfi rman:…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments