mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perjuangan memartabatkan Islam

SELAMA lebih lima dasawarsa negara memacu pembangunan berpaksi peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai dasar negara. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen undang-undang tertinggi negara.

Ia sebenarnya mengesahkan susun atur masyarakat sebelum kemerdekaan lagi. Ia bukan wujud secara kebetulan sahaja. Ia juga merupakan dokumen toleransi antara kaum di Malaysia.

Setiap rakyat Malaysia perlu menerima Perlembagaan Persekutuan ini mengikut kerangka dan skima yang ada berdasarkan kepada tafsiran-tafsiran yang telah diputuskan oleh mahkamah dari semasa ke semasa.

Pelbagai pandangan boleh diutarakan mengenai tafsiran Perlembagaan Persekutuan, namun akhirnya badan yang mempunyai autoriti mutlak mentafsir Perlembagaan Persekutuan adalah Mahkamah Persekutuan.

Sebelum perlembagaan itu sendiri wujud, sebenarnya telah ada peruntukan khusus mengenai undang-undang Islam. Undang-undang tubuh negeri-negeri terlebih dahulu wujud sebelum Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan.


Perjuangan memartabatkan Islam harus dilakukan melalui semua saluran termasuklah saluran undang-undang. - Gambar hiasan

Terdapat pelbagai undang-undang yang berkuatkuasa sebelum kemerdekaan negara, iaitu Undang-Undang 99 Perak dengan tegas menyatakan, “Jika didirikan hukum Quran dengan undang-undang di dalam negeri nescaya amanlah isi negeri. Malah barang siapa yang tidak mengikut hukum tersebut hendaklah di luar negeri atau di dalam hutan. Pemerintah pula hendaklah memakai al-Quran sebagai panduan dan kegagalan menggunakannya tidak boleh memerintah negeri.”

Saya tidak berhasrat mengulas kesemua ciri-ciri asas Perlembagaan Persekutuan kerana ruang yang terhad, cukuplah sekadar mengambil ciri asas yang berkaitan dengan Islam sahaja.

Jika diteliti sebenarnya terdapat begitu banyak peruntukan yang berkaitan dengan Islam disebut Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya, Islam sebagai agama bagi Persekutuan, hak kebebasan menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama Islam, menggunakan dana awam bagi tujuan Islam, kedudukan terpelihara mahkamah syariah, pengecualian penolakan undang-undang Islam ketika darurat serta penetapan hal ehwal Islam terletak dalam bidang kuasa negeri.

Islam bukan sekadar agama rasmi sahaja tetapi ia adalah agama bagi Persekutuan. Implikasi agama bagi Persekutuan ini adalah berbeza sekiranya Islam sekadar agama rasmi. Hal ini dijelaskan oleh Hakim Mohd. Noor di dalam penghakimannya di dalam kes Meor Atiqurrahman mlwn Fatimah Sihi yang berbunyi: “ Islam adalah agama bagi Persekutuan tapi agama-agama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. 
Tinggi teguh dan terang. Jika bukan sedemikian Islam bukanlah agama bagi Persekutuan…”

Di dalam kes Lina Joy mlwn MAIWP pula Tun Ahmad Fairuz memutuskan: “Islam itu bukan suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman…”

Jelaslah di dalam kedua-dua penghakiman di atas kedudukan Islam adalah jelas tersurat. Oleh itu, konsep negara sekular sebagaimana yang dicanangkan oleh sesetengah pihak adalah tidak berlandaskan kepada Perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi kalimah sekular itu sendiri tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tags: islam, martabat, perjuangan, perlembagaan
Subscribe

Posts from This Journal “perjuangan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments