mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Terlebih barat?

BERSKIRT pendek paras paha, berbaju ketat menampakkan bahagian dada, digayakan pula dengan sepasang but tumit tinggi. Si lelaki pula memakai topi berseluar jeans londeh, memakai subang berselirat rantai di leher, ada tebal ada nipis. Indahkah keadaan sebegitu?

Inikah yang dikatakan pengaruh Barat masih berakar umbi dalam diri kita? Ia umpama duri dalam daging yang membarah dalam masyarakat Melayu Islam sejak lama dahulu. Cuba singkap sejarah penjajahan silam, sejak empayar  kesultanan Melayu Melaka hingga ke hari ini pengaruh tersebut terusan berakar.

Berparti dengan gegaran muzik menggila, bermabuk-mabukan, tarian hangat, berpeluk-pelukan lelaki dan wanita yang bukan muhrim, dan jika bukan arak yang menjadi sajian tetapi dilebihkan gayanya dengan melaga-lagakan gelas minuman; kita seolah-olah sengaja menggambarkan itulah kita  dalam dunia ciptaan Barat.

Lagu diperdengarkan tanpa makna yang elok menjajah minda anak muda hari ini.


Bangsa bukan ukuran

Memang tidak dinafikan ada yang baik, malah selagi tidak bertentangan dengan hukum dan syariat Islam, ia menjadi alat yang mempedoman manusia ke arah kebaikan. Namun, jika ia akhirnya membawa kepada kebejatan sosial yang parah dan tidak terkawal lagi, apalah yang mahu dibanggakan dengan Barat?

Bagaimanapun menurut Pendakwah, Prof Madya Mohd Nor Mamat, tidak kira bangsa, sama ada Barat atau Timur, semuanya mempunyai kebaikan dan keburukannya.

Namun, hanya Islam yang sesuai dipraktiskan kerana Islam itu bersifat rabbaniyyah (tawhidik), ‘alamiyyah (universal), insaniyyah (sesuai dengan
fitrah), waqi’iyyah (realistik), wasatiyyah (sederhana), tawazun (seimbang dan sepadu), syumul (menyeluruh) serta thabat dan murunah (tetap asasnya dan fleksibel aplikasinya).

"Barat juga boleh menjadi budaya Islam. Banyak juga budaya masa kini yang menjadi praktis masyarakat di sebelah Barat selari dengan tuntutan Islam, seperti hormat-menghormati, berkasih sayang, mesra, budaya mementingkan ilmu dan sebagainya.

"Malah ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukanlah bersifat menentang mana-mana budaya, tetapi lebih kepada menghargai dan memperlengkapkan kekurangan untuk menambah baik sesuatu budaya," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, keadaan yang berlaku itu jelas menunjukkan terdapat juga budaya positif dan budaya Islamik di sebelah Barat.

Walau bagaimanapun, dalam persekitaran globalisasi hari ini, setiap praktis budaya seluruh pelosok dunia boleh diakses dan dikongsi secara mudah. Ini menjadikan masyarakat Islam keliru dengan budaya negatif dari Barat yang turut tersebar.

Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita sememangnya boleh berfikir semasaknya, jika diri kelihatan sedikit terleka dengan omongan Barat yang jelas berbentuk keduniaan, cepat-cepatlah terjaga kerana andai diri terus terbuai buruklah natijahnya.   


ADA saudara mara atau ahli keluarga kita yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memilih negara Barat sebagai medan menimba ilmu. Pasti ada mulut berbicara: "Tengoklah nanti setahun belajar kat sana balik mesti berambut perang dan bawa pasangan orang putih."


Cambah pengalaman meluas

Menurut Ustaz Mohd Nor, kita jangan terlampau jauh berfikir sehingga mengeluarkan kata sedemikian rupa, walau tak menjejak kaki ke Barat sekalipun jika iman di dada lemah tetap akan membawa anasir Barat ke dalam rumah. Kita sudah lama dijajah Barat, sama ada dari sudut gaya hidup, perhubungan sosial, budaya, malah sistem pendidikan sekali pun.

Beliau berkata, perihal belajar di luar negara, pasti ada yang terpengaruh. Ia memang tidak dapat disangkal, namun perlu dilihat pengaruh yang menular dalam diri itu membawa cas positif atau negatif. Bukan semua apa yang ada di Barat itu salah dan tidak semua buruk. Pokoknya, individu Muslim itu yang perlu kuat.

"Maksud saya, jika ada budaya luar yang tidak sesuai untuk diserap masuk ke dalam budaya kita elakkan dan jangan dekati. Ini tidak, yang tidak elok makin didekati yang elok dan molek ditinggalkan. Saya sendiri pernah ke negara Barat dan masyarakat di sana melayan saya seperti saudara sendiri kerana mereka sangat memuliakan tetamu.

"Pandang daripada sudut positif, pengalaman di luar negara memungkinkan anak-anak generasi masa depan akan lebih kaya budaya dan matang dengan interaksi budaya pelbagai. Bak kata orang tua, jauh perjalanan luas pengalaman, dan ini menjadikan mereka lebih dewasa dan terbuka.

"Dalam pada itu, terapkan dan implementasi kebaikan yang ada di Barat dengan Islam bagi mewujudkan kesinambungan yang menarik. Ia adalah peranan kita untuk terus mendidik dan memantapkan pendirian dan pegangan nilai Islam yang utuh, agar perkongsian budaya apa sekalipun menjadikan kita mudah memilih, menapis ataupun mengadunnya dengan nilai yang selari dengan Islam," jelasnya panjang.

Islam itu diutuskan untuk menjadi rahmat sekalian alam, maka ia boleh menyesuaikan dengan mana-mana budaya seluruh alam.


Pandang sudut positif

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam berkata, sebut sahaja Barat terus terlintas di benak ini situasi yang negatif.

Ada sahaja gambaran anak muda Melayu yang menjejak kaki ke pusat hiburan, clubbing, minum arak, percampuran lelaki dan wanita bukan muhrim, menari dengan rentak muzik yang tidak bertepatan dengan ciri-ciri Islam sehingga ada yang mengambil dadah atas alasan menghilangkan stres dan banyak lagi perkara sumbang lain.

"Situasi ini boleh mewujudkan berlakunya gejala sosial seperti berzina, pembuangan bayi, pembunuhan sesama sendiri dan banyak lagi.

"Tetapi, seandainya kefahaman Islam kita kukuh, saya percaya percambahan budaya dalam era globalisasi hari ini adalah sesuatu yang positif bagi memperkayakan budaya dan menaik taraf kehidupan yang lebih baik. Tirulah corak kehidupan masyarakat Barat. Mereka mampu mencipta pelbagai teknologi moden  sedangkan semua itu adalah idea ilmuwan Islam terulung," katanya.

Sebagai contoh, gaya hidup Barat yang tidak menggunakan air dalam tandas untuk tujuan lebih kering dan bersih, atau budaya bersalaman dan berciuman sebagai tanda kemesraan, berhibur sebagai kaedah menghilangkan resah dan sebagainya.

Budaya ini secara dasarnya, menunjukkan masyarakat Barat sangat mengambil berat mengenai akhlak dan adab, cuma mereka kehilangan garis panduan dan sempadan agama.

Daripada situ kita melihat oh indahnya kehidupan sosial Islam, apabila budaya yang begitu baik dipraktikkan, ditambah pula sisi panduan Islam yang menjaga dan beradab agar tidak tersasar nilai kemanusiaan pada mata Pencipta Yang Maha Mengetahui.

Ingatlah tanpa panduan agama, pemikiran manusia akan mudah tersasar, seperti diungkapkan oleh Albert Eisntein: "Sains tanpa agama akan buta dan agama tanpa sains akan sia-sia."


Dualisme, sekularisme

Anak jati Terengganu ini mengulas lanjut, masyarakat Barat dilihat mengamalkan sikap meterialistik (bermewah-mewah) dengan perkara yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan, tetapi bukan semua orang Barat begitu.

"Perkara yang tidak bagus itulah menyebabkan kita mudah terpengaruh. Buka televisyen tonton majlis perkahwinan selebriti Barat yang meriah  (wedding of the year) kita ikut, tengok mereka memakai pakaian mahal dan seksi, kita ikut. Kalau semua kita ikut Barat, siapa yang nak ikut apa yang ALLAH SWT dan Nabi SAW suruh?

"Fahaman materialisme iaitu memandang sisi kehidupan hanya pada sudut kemewahan semata-mata menular ke dalam masyarakat. Begitu juga pemikiran dualisme dan sekularisme yang tidak mengadun kehidupan dunia dan akhirat secara sepadu, malah memisahkan kehidupan duniawi daripada tuntutan ukhrawi," tegasnya.

Menurutnya, pegangan kapitalisme juga timbul dalam masyarakat kita, selari dengan tuntutan materialistik. Dalam kehidupan moden hari ini, masyarakat mudah terdedah kepada segala macam pengaruh global, baik yang positif mahupun negatif.

Segelintir yang berilmu mengambil peluang daripada globalisasi ini dengan mengutip aura positif daripada budaya pelbagai masyarakat maju di seluruh dunia.

Dalam era globalisasi, jangan kita nafikan juga perkembangan dan akses ilmu yang semakin terbuka. Beliau yakin, pembudayaan dalam konteks ilmu begini juga disambut baik oleh masyarakat kita.

Tiada masalah dengan status ilmu daripada Barat ataupun Timur, malah kalau diperhalusi, kepesatan perkembangan ilmu di Barat adalah kesan tinggalan oleh era Islam. Andainya banyak ilmu Barat yang berguna, kita harus terbuka untuk menghargai dan menyambutnya sebagai pemantapan aspek keilmuan untuk masyarakat Islam.

Ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang mengambil elemen positif Barat untuk diadun dengan nilai keislaman, dan ini memberi banyak manfaat untuk kehidupan kita.

Terdapat juga yang mudah terpengaruh dengan nilai-nilai hedonistik yang tidak selari dengan tuntutan Islam, menyebabkan kelihatan budaya Barat merosakkan nilai kehidupan kita.
Tags: hendonisme
Subscribe

Posts from This Journal “hendonisme” Tag

  • Bila orang Islam hedonistik

    Kunta Kinte nak mula dengan minta banyak-banyak maaf kalau apa yang Kunta Kinte tulis kali ini menyinggung perasaan mana-mana pihak. Maklumlah,…

  • Salahkah berhibur?

    EMOSI manusia dipengaruhi oleh apa yang berada di dalam hatinya. Emosi manusia terkadang ceria, sedih, marah, bosan dan sebagainya. Apa yang…

  • Memahami budaya negara sekular

    NEGARA-NEGARA barat pada masa ini boleh dianggap sebagai negara sekular walaupun Kristian adalah agama yang mendominasi negara tersebut beratus…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments