mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kewajipan pemimpin mengutamakan kemaslahatan rakyat

KHALIFAH yang terkenal dengan kebijaksanaan dan ketegasan Umar ibn al-Khattab mengungkapkan - “Dalam mengurus harta Allah, aku meletakkan diriku sama seperti penjaga harta anak yatim. Jika aku memerlukannya, aku akan mengambilnya, jika tidak, aku akan memulangkannya. Sekiranya aku berkemampuan, maka aku menahan diri daripada mengambilnya. Sekiranya pula aku amat memerlukan, aku akan menggunakannya dengan baik dan wajar.”

Kata-kata Umar ini merujuk kepada peringatan yang diberikan Allah SWT dalam ayat 6, Surah al-Nisa’ berhubung tanggungjawab pengurus harta anak yatim.

Al-Imam al-Syafi’e menjadikan ungkapan Umar ini sebagai prinsip dan mengatakan: “Kedudukan pemerintah dalam mengurus urusan rakyat atau orang yang dipimpin sama seperti kedudukan penjaga atau pentadbir dalam urusan anak yatim.”

Ungkapan Khalifah Umar yang amat bermakna itu akhirnya dijadikan salah satu kaedah fiqh yang utama iaitu pengurusan hal ehwal rakyat oleh pemimpin berdasarkan maslahah.

Ulama menghuraikan kaedah tersebut dengan agak terperinci.

Menurut mereka, pemerintah bertanggungjawab untuk memelihara maslahah rakyat. Justeru mereka berkewajipan menjaga harta rakyat dan tidak membazirkannya.

Sebagaimana dinyatakan oleh Khalifah Umar kedudukan pemimpin tidak ubah seperti pengurus harta anak yatim.

Hal ini bermaksud tahap keprihatinan dan berhati-hati mereka dalam pengurusan harta tersebut mestilah tinggi. Mereka seharusnya berasa amat bimbang sekiranya cuai atau gagal sama sekali menguruskannya dengan baik.

Sebagaimana diberikan peringatan oleh al-Quran, kebinasaan akan menimpa mereka bukan sahaja di dunia bahkan lebih-lebih lagi di akhirat.

Ulama juga menyatakan bahawa kaedah ini menerangkan asas penting bagi pengurusan hal ehwal ummah dan pentadbiran maslahah mereka sama ada khusus atau umum.

Demikian juga dengan pelaksanaan keadilan, kebaikan dan kesaksamaan.

Bagi memastikan kemaslahatan terpelihara dalam skop yang lebih luas, maka pemimpin bukan sahaja dibataskan pada pemimpin negara bahkan turut meliputi individu yang mentadbir pelbagai bentuk urusan orang ramai.

Antaranya termasuklah hakim, menteri, pengarah dan pegawai atasan di sesebuah jabatan atau organisasi.

Mereka ini merupakan wakil bagi seluruh ummah untuk memelihara maslahah, melaksanakan keadilan, menghalang kezaliman, memelihara hak, mengekalkan keamanan, menyebar luas ilmu pengetahuan dan menghalang serta menyucikan atau menghapuskan segala bentuk kemudaratan yang menggugat kemaslahatan ummah.

Kepercayaan yang diberikan oleh ummah kepada individu yang mengendalikan urusan mereka adalah amanah besar.

Pada semua individu berkenaan disandarkan harapan agar urusan dan kepentingan mereka dikendalikan dengan penuh tanggungjawab.

Oleh itu, kepercayaan tersebut tidak wajar sama sekali dibalas dengan pengkhianatan.

Dalam sebuah hadis daripada Ma’qal ibn Yasar, Nabi SAW diriwayatkan bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang (pemimpin) yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat (orang bawahan)nya meninggal dunia, dan ketika meninggal dunia itu, ia menipu rakyat (orang bawahan)nya, melainkan Allah mengharamkannya untuk memasuki syurga.” (Al-Bukhari dan Muslim).

Menyentuh tentang kemaslahatan ummah, ini seharusnya diberikan keutamaan oleh pemerintah.

Pemerintah atau pemimpin mesti berusaha menunaikan hak rakyat atau golongan yang dipimpin bagi mengekalkan keamanan dan meraih keredaan Allah SWT.

Sebaliknya jika pemimpin mendahulukan kemusnahan berbanding dengan kemaslahatan, ini hanyalah mengundang kemurkaan dan dosa yang besar di sisi Allah.

Hal inilah yang dapat dilihat kini berlaku di beberapa negara Islam di dunia.

Kebinasaan iaitu pembunuhan rakyat yang menuntut hak mereka diutamakan berbanding dengan kemaslahatan iaitu pemeliharaan nyawa dan hak mereka. Demikian juga dalam soal pengurusan sumber dan perbendaharaan negara.

Kemaslahatan rakyat perlu sentiasa dijadikan keutamaan berbanding dengan kemudaratan atau kesulitan.

Justeru, kemaslahatan mereka tidak harus sama sekali digadaikan demi pelaksanaan sesuatu dasar yang kelihatannya hanya mendatangkan kebaikan yang sedikit tetapi menimbulkan keluhan yang besar.

Seandainya pemerintah negara atau pemimpin organisasi atau yang lainnya benar-benar menghayati ungkapan Khalifah Umar maka mereka pasti menyedari beratnya amanah mentadbir urusan rakyat atau kumpulan yang dipimpin.

Perbendaharaan negara atau wang syarikat atau organisasi hanya diambil sekadar yang diperlukan dan akan dipulangkan sekiranya tidak diperlukan.

Bahkan Umar juga mengatakan bahawa jika berkemampuan, beliau akan menahan diri daripada mengambil wang daripada perbendaharaan negara (Baitul Mal).

Jika pun perlu diambil, wang itu digunakan dengan cara yang amat wajar.

Dalam apa juga keadaan, hanya ketakwaan sahaja dapat membimbing seseorang pemimpin untuk melaksanakan amanah kepemimpinan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Ketakwaan jugalah yang akan sentiasa mengingatkan pemimpin perihal hakikat kepemimpinan dan harta sebagai ujian.

Dengan demikian, kedua-duanya akan ditadbir dengan amat berhati-hati dan penuh kebimbangan. Kesejahteraan rakyat atau kumpulan yang dipimpin sebagaimana diingatkan Khalifah Umar akan sentiasa dijadikan keutamaan. Sebaliknya kemudaratan rakyat atau kumpulan yang dipimpin segera sahaja dihapuskan.

Hal ini dilakukan kerana menyedari bahawa kemajuan negara, syarikat atau organisasi yang dipimpin hakikatnya bergantung pada kebahagiaan dan kesejahteraan kehidupan rakyat atau kumpulan yang dipimpin.

Lebih penting, segala hal berkaitan dengan mereka tidak akan terlepas tanpa dipersoal dengan terperinci di hadapan Allah SWT kelak.

Justeru, amanah kepemimpinan tidak dianggap sebagai kelebihan untuk dinikmati. Sebaliknya sebagai tanggungjawab yang mesti dilunaskan sebaik-baiknya agar di akhirat kelak tidak disesali. - Pandangan IKIM Utusan Malaysia Rencana Agama 27 April 2015

Tags: pemimpin
Subscribe

Posts from This Journal “pemimpin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments