mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fiqah perlu dikemas kini ikut masa

Seorang pelajar bertanya kepada ustaz bolehkah mengambil wuduk menggunakan air paip. Soalan itu nampak bodoh tetapi ustaz menjawab boleh. Pelajar itu berhujah, air paip tidak disenaraikan dalam tujuh air boleh digunakan untuk berwuduk.

Dalam kitab fiqah yang dipelajari juga dicatatkan hukum makan ulat buah. Jika dimakan berasingan daripada buah, hukumnya haram kerana ulat haram dimakan tetapi jika dimakan bersama buah, hukumnya harus kerana ia sebahagian daripada buah berkenaan, ia terjadi daripada buah.

Tujuh air yang boleh digunakan untuk berwuduk ditentukan berasaskan suasana di Kota Baghdad atau Basrah pada waktu kitab itu ditulis. Kini, terdapat perbezaan antara Kota Baghdad dan Basrah pada masa itu dengan Kuala Lumpur.

Begitu juga hukum makan ulat dalam buah kerana fatwa berkenaan dikeluarkan ketika sains hayat masa itu belum menemui hakikat ulat tidak terjadi daripada buah sebaliknya ia adalah anak serangga yang bertelur di kulit buah itu seperti jawapan oleh kajian ilmu hayat sekarang.

Perkasa pengurusan fatwa Itulah gambaran dibawakan Profesor Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, yang memperkatakan mengenai pengurusan fatwa dalam menghasilkan fiqah semasa. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Memperkasakan Fatwa di Malaysia: Keperluan Kepada Fiqh Semasa Berorientasikan Tempatan berkata, tidak salah untuk meniru metod dan cara berfikir ulama dahulu tetapi hendaklah menggunakan data sekarang. "Kitab fiqah masih dibaca tanpa dikemas kini.

Metod dan analisis dalam kitab fiqah itu betul tetapi datanya terkebelakang. Ibarat dulu Hang Tuah menang bertikam kerana keris Taming Sari, adakah sekarang kita ingin berperang menggunakan Taming Sari juga. "Pada zaman moden ini, kita ada macam-macam tetapi malangnya masih selesaikan masalah menggunakan data lama," katanya pada Persidangan Meja Bulat Pemerkasaan Institusi Kefatwaan: Mendepani Cabaran Sebagai Sumber Rujukan Syariah di Malaysia anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Katanya, fiqah klasik perlu dikembangkan mengikut isu semasa dan menjadi tugas pihak pengurusan fatwa untuk menghidupkan semula fiqah dengan data baharu, warna baharu yang menjadi asas kepada masyarakat yang berbeza.

Fatwa rujuk kitab muktabar


Pada pembentangan kertas kerjanya itu, Mahmood Zuhdi berkata, berdasarkan pemerhatian dan data sekunder boleh dikatakan keseluruhan fatwa yang dikeluarkan jawatankuasa fatwa negeri serta Pusat berasaskan rujukan kitab muktabar. Selain itu, ia daripada kitab karya fuqaha semasa yang sangat dihormati.

Jarang kajian baharu bersifat semasa dilakukan dan jika ada, ia setakat ulang kaji persuratan sahaja yang asasnya daripada kitab klasik juga. Ada juga sumbangan daripada pakar bidang tertentu seperti perubatan dan sains kewangan.

Golongan menggunakan pendekatan formal mungkin tidak berasa kelainan menggunakan format statik tetapi bagi yang berorientasikan maqasid atau mencapai objektif, berasa matlamat hukum hanya boleh dicapai melihat kepada asas dalam masyarakat yang berbeza.

"Tidak semestinya apa yang difatwa al-Qaradhawi di Qatar sesuai dengan Malaysia. Apa yang dikatakan al-Qaradhawi mungkin sesuai untuk negara yang majoritinya orang Islam di Arab sedangkan Malaysia masyarakat berbilang bangsa.

"Kita perlu kepada fiqah yang berorientasikan tempatan. Berasaskan kepada fiqah ini barulah fatwa dikeluarkan hari ini kelihatan berwibawa dan mesra masyarakat. "Jika tidak, ia akan ditolak dan dipertikaikan oleh masyarakat manakala kredibiliti fatwa serta mufti tidak bertahan lama," katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan pengajian syariah didefinisikan semula supaya memenuhi syarat memahami kehendak semasa dan masyarakat tempatan selain perlu kepada kajian bagi melahirkan ilmu baru berasaskan pendekatan tempatan.

Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM, Asham Ahmad, berkata apabila makna fiqah disempitkan kepada fatwa semata-mata, maka manfaatnya menjadi terhad serta tidak boleh dikekalkan maksud asal fiqah sebagai kelebihan dan manfaat.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak disedari ramai dan akibatnya ilmu fatwa dipelajari dengan sangkaan yang dituntut oleh agama sedangkan ilmu yang sepatutnya diutamakan diabaikan. "Maka al-Ghazali berusaha menarik perhatian kita supaya kembali menginsafi hakikat yang penting iaitu manfaat ilmu berkait dengan sumbangannya terhadap pencapaian matlamat akhir perjalanan hidup manusia.

Oleh itu, al-Ghazali kata kembalikan fiqah kepada landasan agama yang sebenar. "Ilmu fiqah dalam erti kata ilmu fatwa dikategorikan al-Ghazali sebagai ilmu dunia kerana persoalan dibahaskan berkaitan dunia sedangkan fiqah difahami salaf as-salih adalah ilmu jalan akhirat.

Apa yang dikehendaki al-Ghazali adalah gabungan semua kedua-duanya," katanya. Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk Beberapa Pemerhatian al-Imam al-Ghazali Terhadap Fatwa dan Mufti berkata, hajat manusia kepada fatwa timbul kerana keperluan untuk hidup mengikut panduan hukum.

Elak bertaklid secara jahil

Katanya, pihak yang memerlukan kepada fatwa itu sewajarnya mempunyai sedikit sebanyak ilmu mengenai ajaran agama serta hukum perkara yang ditanyakan supaya mereka tidak bertaklid secara jahil atau membabi buta.

Menurut Asham, hanya dengan ilmu, manusia boleh menerima apa yang disampaikan secara sedar dan sukarela, maka penyelesaian kepada penerimaan sesuatu hukum adalah melalui pendidikan supaya masyarakat terdidik dengan betul mengenai agama.

"Penyelesaian tidak boleh mengambil pendekatan fatwa sahaja tetapi masyarakat tidak dididik mengenai agama dengan betul.

"Jika begitu, institusi fatwa tidak akan mendapat pengiktirafan sebaliknya mereka hanya diiktiraf oleh orang yang tahu sahaja.

"Barangkali dapatlah kita rumuskan bahawa serangan melulu dilakukan sesetengah pihak terhadap mufti dan fatwa berpunca daripada kejahilan mereka terhadap hukum hakam agama serta asasnya," katanya.

Katanya, itu tidak bermakna mufti dan institusi fatwa tidak mempunyai kelemahan serta tidak boleh dikritik kerana al-Ghazali sendiri mengkritik fuqaha dengan mufti pada zamannya, yang menyangka mereka mempunyai keistimewaan disebabkan ilmu dimiliki.
Berita Harian Rencana 30 APril 2015
Tags: fatwa, fiqah
Subscribe

Posts from This Journal “fiqah” Tag

  • Landskap berbeza pandangan

    ALIRAN fikiran fikah atau mazhab fikah yang berlainan muncul kerana perbezaan memahami ajaran-ajaran yang terkandung di dalam sumber hukum utama…

  • Hadis sasaran orientalis timbulkan keraguan

    Pendakwah, ulama perlu berpegang kepada sumber sahih, mahir ilmu fiqah Hadis iaitu segala percakapan, perbuatan dan pengakuan Nabi SAW adalah…

  • Aliran tasawuf terpesong tanpa ilmu fiqah

    Usaha dekatkan diri kepada Illahi perlu mengikut neraca syariat Ilmu yang benar akan membawa kita lebih mengenali seterusnya ke tahap lebih dekat…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments