mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ragam masjid tumpuan dunia

DIBINA menerusi sumbangan masyarakat pelbagai kaum selain peruntukan kerajaan sejurus mencapai kemerdekaan, siapa sangka ia kini menjadi binaan warisan yang juga mercu tanda negara terkemuka di seluruh dunia.

Sehingga pernah dinobatkan sebagai bangunan seumpama yang termoden di Asia Tenggara satu ketika dahulu, tidak hairanlah nama Masjid Negara melonjak sebagai simbol kedaulatan yang mengangkat syiar Islam di mata dunia.



Masjid Negara dibina hasil sumbangan masyarakat berbilang kaum. -

Begitulah sejarah awal penubuhan Masjid Negara yang mula dibina pada 1963 menerusi hasil perpaduan dan kebersamaan penduduk Malaysia sehingga berjaya mengumpul dana menyiapkan rumah ibadat di atas tanah berkeluasan 13 ekar.

Terletak di tengah-tengah ibu negara yang juga berhampiran pusat kemudahan awam serta pusat pelancongan dan rekreasi lain, menjadikan Masjid Negara tidak pernah putus daripada tumpuan pelancong.

Bukan sahaja dari dalam negara, malah direkodkan hampir kesemua pelancong dari negara di seluruh dunia pernah menjejakkan kaki ke rumah ibadah umat Islam itu.

Justeru, genap 50 tahun penubuhannya tahun ini, Masjid Negara menyimpan pelbagai peristiwa penting yang berlaku.


Masjid Negara menyimpan pelbagai peristiwa menarik dalam negara -


Masjid Negara sewaktu awal pembinaan pada tahun 1963.

Pemimpin dunia

Berkongsi pengalaman sepanjang mentadbir Masjid Negara, Imam Besar Masjid Negara,Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, lawatan pemimpin tertinggi dunia, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Masjid Negara ketika mengadakan kunjungan ke Malaysia dianggap satu pengiktirafan terhadap Masjid Negara.

Pertemuan itu tambahnya, menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buatnya sepanjang dilantik sebagai Imam Besar sejak 2007 sehingga kini.

“Mewakili Masjid Negara, kita sangat berbesar hati menerima kunjungan daripada Presiden Barack Obama ke Masjid Negara yang ingin berjumpa dengan saya. Sedangkan Masjid Negara hanyalah sebuah institusi kecil ditadbir oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyelia agama Islam.

“Walaupun, tidak dinafikan terdapat pelbagai suara-suara negatif yang membantah dan menentang kunjungan itu, tetapi bagi saya ia merupakan satu pertemuan yang baik dan melihatnya daripada sudut positif.

“Ini kerana, menerusi pertemuan itu saya dapat berkomunikasi secara terus dengan pemimpin nombor satu dunia itu. Saya sempat menyatakan kepada beliau supaya mengambil tindakan terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam di seluruh dunia dan melakukan sesuatu kepada mereka yang ditindas,” katanya.

Pelbagai aktiviti telah diadakan dan dirancang bersempena sambutan Jubli Emas Masjid Negara termasuk Pelancaran Logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Masjid Negara oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pertandingan inovasi masjid dan persidangan imam-imam besar dari dalam negara dan negara Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims).

Manakala, sambutan kemuncak akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’ adzam Shah pada 27 Ogos dan majlis penutupan pada Oktober oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah Ismail berkata, menerusi kunjungan itu juga secara tidak langsung menjadi saluran untuk berdakwah secara tidak langsung kepada setiap yang turut serta dalam lawatan itu.

“Antaranya, kita minta supaya semua yang hadir untuk menutup aurat dan memakai tudung yang disediakan walaupun bukan beragama Islam. Alhamdulillah, mereka semua akur dan menghormati peraturan yang ditetapkan tersebut,” ujarnya.

Selain itu, pelbagai pemimpin tertinggi dari negara lain turut berkunjung ke Masjid Negara untuk menyaksikan dan memberi penghormatan kepada umat Islam di Malaysia.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 4,000 pelancong asing yang berkunjung di Masjid Negara pada setiap hari termasuk dari Jepun, China, dan negara Eropah. - Gambar Mohd. Azim Abd. Rahman

Hidayah di Masjid Negara

BUKAN hanya berperanan sebagai pusat ibadat, Masjid Negara turut memperluaskan fungsinya dengan memfokuskan pembangunan Islam di negara ini dengan menganjurkan kelas pengajian dan kursus serta aktiviti sosial bersama masyarakat.

Malah, Penolong Pengarah Kanan, Unit Sosial, Protokol dan Pengurusan Majlis, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim berkata, bukan sekadar itu, Masjid Negara turut menyumbang kepada pengislaman pengunjung, sama ada dari dalam atau luar negara yang tertarik kepada Islam.

Beliau yang telah berkhidmat selama 10 tahun bersama Masjid Negara sejak 2005 berkata, berbeza mengikut penerimaan masing-masing, namun dasar Masjid Negara yang mesra pelancong membuatkan pengislaman semakin bertambah dari setahun ke setahun.

“Bulan ini sahaja, difahamkan seramai 24 orang telah memeluk Islam setelah berkunjung ke Masjid Negara. Manakala, pada setiap tahun bilangan orang yang memeluk Islam di Masjid Negara ini semakin bertambah sejak yang pertama pada 1967 iaitu hanya 2 orang.

“Usaha ini dilakukan menerusi pendekatan dakwah secara tidak langsung yang disampaikan kepada pelancong menerusi contoh akhlak dan juga perbuatan yang baik kepada mereka selain daripada dakwah menerusi lisan yang dilihat lebih memberi impak yang positif,” katanya.

Berkongsi antara kisah pengislaman yang berlaku, Zuhairee berkata, hidayah yang diterima oleh dua pelancong lelaki dari Amerika Syarikat sangat terkesan buat dirinya.

“Dikhabarkan mereka hanya datang untuk melancong seperti pelancong yang lain. Namun kebetulan pada waktu itu sudah masuk waktu Zuhur dan azan dialunkan.

“Dengan tanpa disedari, mereka mengatakan hati terasa sangat tenang selepas mendengar azan, lalu mereka mengambil keputusan mengucap dua kalimah syahadah,” ujarnya.

Begitu juga, terdapat beberapa pelancong yang dipercayai menjadikan Masjid Negara sebagai lokasi wajib dikunjungi apabila melancong ke Malaysia sehingga mencecah 10 kali.

Ini menurut mereka, kerana ketenangan yang dirasai sebaik tiba di Masjid Negara dengan menikmati pemandangan dan binaan di Masjid Negara.

Masjid Negara turut terlibat aktif dalam mengadakan program kebajikan dan kemanusiaan seperti sumbangan mangsa banjir, sumbangan kepada anak yatim dan pesakit di hospital, serta ibadah korban di luar negara.

Tumpuan penunjuk perasaan

Tidak terlepas daripada kontroversi, Masjid Negara yang terletak di kawasan strategik berhampiran Dataran Merdeka sering menjadi lokasi tumpuan golongan penunjuk perasaan yang hadir dari seluruh negara untuk menyertai demonstrasi yang dianjurkan.

Ismail berkata, perbuatan itu serba sedikit mencemarkan imej Masjid Negara sebagai pusat ibadah bagi umat Islam apabila dijadikan lokasi untuk berhimpun dan menunjuk perasaan.

“Kebiasaannya mereka ini menjadikan Masjid Negara sebagai tempat berkumpul sebelum menyertai demonstrasi yang akan diadakan. Namun bagi pihak masjid kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kerana dikhuatiri menyebabkan perkara buruk berlaku.

“Oleh itu, kita mengambil keputusan sekiranya mereka dilihat datang untuk menunaikan solat, membaca al-Quran atau beribadat, kita tidak menghalang mereka, namun jika dilihat tidur atau berkumpul dan bersorak, kita terpaksa menyuraikan mereka.

“Ini kerana selain menakutkan pelancong yang datang, ia juga dikhuatiri boleh mengakibatkan berlaku kerosakan, kecurian atau perkara yang tidak diingini di dalam masjid,” luahnya.

Dengan dibantu oleh pengawal keselamatan yang bertugas 24 jam setiap hari, kejadian buruk yang berlaku di Masjid Negara dapat dikurangkan dan kini kurang berlaku.

“Di samping itu, Masjid Negara turut pernah dimasuki oleh gelandangan dan penagih dadah sehingga berlaku kehilangan harta benda di masjid ini. Dengan adanya pengawal yang bertugas memantau sekitar masjid pada setiap masa, kejadian itu kini boleh dikatakan tidak lagi berlaku.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan masjid untuk tujuan seumpama itu diharap tidak mengulangi perbuatan tersebut bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Melahirkan 
insan berjaya

Bagi Ismail, Masjid Negara juga merupakan institusi yang banyak menyumbang jasa buatnya dalam mencorakkan masa depan hidup sehingga berjaya mengecapi kejayaan seperti kini.

Beliau yang juga pelajar kumpulan pertama kelas tahfiz al-Quran yang diwujudkan di Masjid Negara pada 1966 berkata, sumbangan Masjid Negara bukan sahaja sebagai pusat ibadah umat Islam, tetapi melahirkan insan cemerlang yang berjaya.

“Ketika berusia 22 tahun, saya menyertai kelas tahfiz al-Quran yang diadakan di Masjid Negara yang kini dikenali sebagai Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Baru bersama lapan pelajar yang lain.

“Alhamdulillah, dalam tempoh setahun setengah saya berjaya menghabiskan hafalan al-Quran. Di sini jugalah saya menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman sebelum keluar meneruskan pelbagai pekerjaan lain dan akhirnya ditempatkan kembali di sini sebagai Imam Besar Masjid Negara.

“Manakala ramai lagi dalam kalangan pelajar dan orang ramai yang menyertai kursus dan kelas pengajian di sini yang kini telah berjaya dalam kehidupan mereka sendiri,” katanya.

Menyingkap pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Ismail berkongsi, beliau bersama rakannya sering mencuri-curi untuk mandi di kolam perhiasan yang terdapat di dalam Masjid Negara ketika belajar.

“Setelah mendapat tahu kolam itu ingin dibersihkan pada keesokan hari, kami terlebih dahulu telah terjun ke dalam kolam itu pada waktu malam sehingga dimarahi oleh guru pada masa itu iaitu Datuk Mohd. Noor Ibrahim yang juga bekas Mufti Kelantan,” katanya.


TIANG kegemaran Syaikh Ismail Muhammad untuk menghafal al-Quran ketika belajar di kelas Tahfiz al-QUran Masjid Negara.

MASJID Negara turut aktif mengadakan program kemasyarakatan di dalam dan luar negara.

Masjid Negara menerima pengiktiraf sebagai bangunan Warisan Kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara

Syaikh Ismail Muhammad

MASJID NEGARA turut menjadi lokasi kunjungan pemimpin tertinggi dunia seperti Barack Obama.

JUMLAH pengIslaman di Masjid Negara semakin bertambah saban tahun.

Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim

TERLETAK di tengah pusat bandar, Masjid Negara sering menjadi lokasi tumpuan penunjuk perasaan berhimpun. - GAMBAR HIASAN
Tags: masjid
Subscribe

Posts from This Journal “masjid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments