mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mercu tanda negara

DIMULAKAN dengan peletakan batu asas yang disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-III, Almarhum Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 27 Februari 1963, pembinaan Masjid Negara siap sepenuhnya pada 27 Ogos 1965.

Menampilkan keunikan dalam seni binanya, pembinaan bangunan warisan bernilai 10 juta dolar itu membawakan seni bina yang bersifat alternatif, yang kaya dengan unsur abstrak dan simplistik, dengan sentuhan oleh arkitek tempatan.

Bukan sekadar rekaan biasa, setiap reka bentuk Masjid Negara hasil paduan idea tiga orang arkitek dari Pejabat Pengarah Kerja Raya ibu kota iaitu Datuk Baharuddin Abu Kassim, Hisham AlBakri dan Howard Ashley (United Kingdom) itu mempunyai makna tersendiri.

Pernah digelar masjid tercanggih dunia

Bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (tiga dari kanan) bersama jurutera Masjid Negara Datuk Baharudin (empat dari kanan) meninjau tapak pembinaan Masjid Negara ketika proses pembinaan.

Umpamanya, stail kubah berbentuk payung yang kembang dan menara berbentuk payung yang kuncup tersergam merupakan lambang Kesultanan Tanah Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Jelas berbeza berbanding kebanyakan masjid di negara ini dibina dengan stail seni bina Moor yang beridentitikan kubah bulat, berpintu gerbang melengkung dan berbatu-bata merah pada waktu itu.

Tidak hairanlah pembinaan Masjid Negara yang berkeluasan lima ekar pada tanah 13 ekar di pusat bandar, ibu negara, Malaysia itu dinobatkan salah sebuah masjid yang paling moden di Asia Tenggara.

Baharuddin ketika berucap pada seminar Masjid Negara yang diadakan baru-baru ini berkata, menekankan konsep hijau dan juga elemen air dalam pembinaan Masjid Negara.

Ia tambahnya, sebagai usaha untuk menjadikan sesebuah bangunan itu mesra cuaca yang dialami oleh Malaysia sepanjang tahun.

“Elemen air dipilih kerana simbol dan fungsinya yang menenangkan fikiran ketika beribadat dan bersiar sekitar masjid.

“Selain elemen air, kawasan sekitarnya dipenuhi oleh pokok-pokok dan itu, telah mematuhi ciri-ciri bangunan hijau. Tetapi, Masjid Negara dibina pada 1968 dan ketika itu, tidak ada sesiapa yang bercakap tentang bangunan hijau,” katanya.

Menggunakan material dan bahan binaan yang terpilih seperti batu marmar dari Itali yang dilekapkan pada tembok dewan sembahyang, menjadikan masjid Negara sebuah masjid yang sangat indah dan harus dikagumi.

Lebih menarik, sekitar dalam masjid yang dihiasi dengan potongan ayat suci al-Quran dan diadun dengan mozek keemasan dan kebiruan yang berkilat lebih memukau setiap mata yang memandang.

Begitu juga kombinasi seni khat Maghribi yang bertatahkan ayat-ayat al-Quran pada mihrab serta muka tembok yang mengelilingi mihrab turut diubah suai mengikut seni bina negara yang pernah mengembangkan Islam di Eropah tersebut.

Uniknya, pembinaan Masjid Negara ini melambangkan semangat perpaduan dan toleransi berikutan mendapat sentuhan dari pelbagai kaum, apabila direka oleh bangsa Melayu, dibina oleh orang Cina dan India serta dibiayai oleh sumbangan daripada masyarakat Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.


KUBAH Masjid Negara yang melambangkan Kedaulatan dan kesultanan Raja-Raja Melayu.

MASJID NEGARA yang mempunyai seni binanya yang tersendiri lagi indah, dikagumi pengunjung tempatan dan antarabangsa.

MAKAM Pahlawan tempat persemadian tokoh-tokoh negara.
Tags: masjid
Subscribe

Posts from This Journal “masjid” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments