mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Etika Kerja Bukti Keimanan

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat (Khas Sempena Hari Pekerja) 01 Mei 2015M / 12 Rejab 1436H JAWI

"Etika Kerja Bukti Keimanan"

Kerja yang kita lakukan saban hari merupakan satu amanah dari Allah SWT tanpa melihat kepada kedudukan dan pangkat yang dimiliki mahupun jumlah gaji yang diberi.

Majikan mempunyai amanah yang perlu ditunaikan terhadap Allah dan pekerjanya, begitu jugalah pekerja perlu amanah terhadap Allah dan majikannya.

Anggaplah apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan adalah ibadah, bukannya satu bebanan yang membawa masalah.

Peringatan Nabi SAW melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA : Bermaksud : “Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah”.

Amanah adalah satu kewajipan yang mesti ditunaikan.  Amanah adalah cabang keimanan. Seseorang yang beriman pasti mempunyai sifat amanah, sebaliknya orang tidak amanah itu mencerminkan kelemahan imannya.

Firman Allah SWT dalam Surah Az Zumar ayat 11: Bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah kepadaNya”.

Kerja itu adalah satu ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT dengan syarat kerja tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan imbuhan keduniaan. Kejarlah redha Allah, nescaya dunia akan mengejar kita.

Allah SWT melalui firmanNya dalam Surah At-Taubah ayat 105: Bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Seorang muslim yang sejati pasti akan menjadi pekerja yang beretika dan cemerlang, tetapi seorang pekerja yang terbilang belum tentu mampu untuk menjadi muslim yang cemerlang.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Qasas ayat 26: Bermaksud : “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama : Pekerjaan biasa yang dilakukan dengan niat kerana Allah SWT dan disulami sifat amanah ketika bekerja akan menjadikan kerja tersebut luar biasa di samping meningkatkan taqwa dan keimanan.

Kedua : Ikhlaskanlah hati. Keikhlasan dalam bekerja dapat mengubah permasalahan kepada penyelesaian, tekanan kepada ketenangan dan kekusutan kepada keredhaan dan keimanan.

Ketiga : Semai dan suburkanlah semangat itqan dalam kerja yang diamanahkan pada kita. Bekerjalah untuk dunia seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat ibarat kematian akan menjemput kita pada hari esok.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mu’minun ayat 1-5: Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu.Dan mereka yang menjaga kehormatannya”

Wallahualam.

Tags: amanah, etika, iman, kerja, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “etika” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments