mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wasatiyyah dalam perbezaan pendapat

Adalah suatu yang biasa dalam urus tadbir negara, terdapat pelbagai pendapat dalam mengurus sesuatu isu. Ramai dalam kalangan tokoh ilmuwan berpendapat usaha untuk mengumpulkan para aktivis dalam satu wadah perjuangan di bawah kepimpinan yang sama adalah perkara yang hampir mustahil kerana terlalu banyak halangan dan rintangan.

Oleh itu, mereka berpendapat tidaklah menjadi masalah besar wujudnya beberapa kumpulan yang berjuang untuk perkara tersebut, sekiranya mereka saling lengkap melengkapi dan bantu membantu serta bukan membawa perbezaan bersifat pertentangan dan permusuhan.

Kita berasa sedih dan dukacita kerana ada dalam kalangan pemimpin kita yang tidak menjaga dan menghargai perbezaan pendapat serta pandangan, malah menyebarkan benih-benih perpecahan dalam masyarakat.

Mereka sentiasa meniupkan api permusuhan. Perhatian mereka sentiasa memfokuskan kepada titik-titik perbezaan dan perselisihan, bukan kepada titik-titik persamaan bagi menyempurnakan perpaduan dalam masyarakat.

Sebenarnya perbezaan pendapat itu sendiri tidaklah berbahaya terutama dalam masalah-masalah furu’ (cabang) dan sebahagian usul yang bukan merupakan satu rukun yang penting. Apa yang berbahaya adalah fanatik, melampau, perpecahan dan permusuhan.

Mengendalikan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam tentang isu-isu semasa hendaklah dilakukan dengan cara terbaik. Namun begitu, perkara ini mungkin boleh bertahan di peringkat permulaan sahaja. Setelah itu bertukar menjadi perdebatan keras, tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan menggunakan ungkapan-ungkapan kasar serta liar yang membawa kepada perbalahan dan permusuhan.

Jika masing-masing menjaga adab-adab perbezaan pendapat dan menggunakan bahasa berdialog yang baik, nescaya perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan. Cuba kita perhatikan firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 125: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik serta berbahasalah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Perbezaan pendapat contohnya dalam perkara ijtihad adalah perkara biasa dalam Islam tetapi janganlah sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat Islam. Perbezaan pendapat tetap akan wujud dan berterusan.

Jika tidak berlaku perbezaan pendapat, maka bererti pintu ijtihad dan berfikir telah tertutup. Ini bercanggah dengan nas-nas al-Quran yang mengajak umat Islam supaya berfikir, menyelidik, mengambil pengajaran dan melakukan ijtihad.

Sirah mencatatkan perbezaan pandangan adalah satu lumrah, bahkan perbezaan pandangan bukan sahaja berlaku hari ini, juga berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan para Nabi AS seperti yang berlaku antara Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS.

Ini turut berlaku semasa Rasulullah SAW memimpin para sahabat baginda. Generasi para sahabat RA menjadi ikutan kita tentang bagaimana mereka berbeza pendapat, berdebat dan kadang-kadang suara mereka juga tinggi seperti yang berlaku kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan Saidina Umar al-Khattab RA, tetapi semuanya tidak lebih daripada perdebatan lisan semata-mata, yang mana ini tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Abu Bakar sentiasa menampakkan kelembutan dan kasih sayang, sementara Umar pula sentiasa mencerminkan kekuatan dan ketegasan. Hal ini mempengaruhi sikap masing-masing dalam menentukan penyelesaian masalah seperti ketika mereka berdua diminta pendapat tentang tawanan Perang Badar, perbezaan menentukan kedudukan tentera Islam di medan perang itu yang akhirnya diputuskan oleh wahyu sehinggalah kepada perbezaan sikap para sahabat RA di dalam menerima Perjanjian Hudaibiyyah.

Namun tentulah ini dapat dikendalikan dengan sebaiknya, memandangkan pemimpin pada waktu itu merupakan Rasulullah SAW yang mendapat petunjuk wahyu.

Lihat juga muzakarah Abu Bakar dengan Umar mengenai usaha pengumpulan al-Quran selepas Perang Yamamah. Abu Bakar pada mulanya enggan menerima cadangan pengumpulan tersebut tetapi apabila berlaku muzakarah dengan Umar, maka Abu Bakar mengakui kebenaran Umar dalam mengumpul dan menulis al-Quran.

Wujud juga perbezaan pandangan dan masih dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Lihatlah bagaimana Abu Bakar ketika dibantah keputusannya memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat. Orang yang membantah bukanlah individu sembarangan, tidak lain tidak bukan ialah Umar. Namun perbezaan pandangan ini bukan alasan untuk berpecah. Umar tetap patuh kepada keputusan Abu Bakar yang telah diangkat sebagai Khalifah al-Rasyidin.

Setiap individu berhak untuk memberi pandangan dan komentar kepada pemerintah. Walau bagaimanapun segala keputusan adalah tertakluk kepada kemaslahatan kerajaan yang memegang amanah rakyat.

Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Negara kita adalah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Apa yang tidak diingini ialah eksploitasi persoalan agama, isu hak keistimewaan kaum yang menghasut rakyat yang mana akhirnya boleh menimbulkan kemarahan rakyat. Timbulnya perbalahan dan kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya.

Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang mesti dielakkan. Kritikan yang dibuat mestilah dilakukan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab.

Pemerintah berkewajipan untuk menimbang kewajaran setiap kritikan tersebut. Walau bagaimanapun, perlu tegaskan pada kesudahannya, keputusan yang dibuat merupakan demi kemaslahatan masyarakat dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Kita mengharapkan agar setiap orang Islam memiliki asas ketahanan yang kukuh untuk menghadapi cabaran kini. Perselisihan dalam masalah-masalah furu’iyyah dan ijtihadiyyah hendaklah dianggap bukan penghalang untuk bersatu bagi menghadapi musuh bersama.

Sesungguhnya perselisihan dalam masalah-masalah berkenaan tidak akan membahayakan jika telah disepakati atas masalah-masalah prinsip.

Kita juga hendaklah menyedari bahawa perbezaan dalam perkara berkenaan tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Oleh itu, semua pihak perlu bertenang dan sewajarnya bersikap rasional bersedia mendengar penjelasan berkenaan sesuatu perbezaan. Umat Islam juga perlu mempunyai semangat dan nilai kesederhanaan dalam menghadapi isu-isu perbezaan pendapat seperti ini.

- Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 01 Mei 2015
Tags: wasatiyyah
Subscribe

Posts from This Journal “wasatiyyah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments