mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Amalan politik negara mesti satukan Islam dan ummah

SEJAK kebelakangan ini, kita dapati sebahagian pemimpin Islam dan Melayu bercakaran dan membuat teguran sesama sendiri secara terbuka sehingga orang Melayu dan umat Islam dilihat berpecah. Suasana perbalahan dan perpecahan ummah yang berlaku dalam sejarah Islam yang menyumbang kepada kejatuhan Islam dan sukar untuk bangun semula, wajar dijadikan iktibar. Orang Melayu wajar mengingati sejarah ini dan tidak terus leka dengan mengeratkan silaturahim bagi mengekalkan perpaduan agar menjadi kaum yang kuat, di­segani, bermaruah dan diberkati Allah.

Islam sebagai agama tauhid meletakkan gagasan kesatuan ummah sebagai asas yang amat penting bagi mempertahankan lima maqasid syariah iaitu mempertahankan agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Jika di negara Timur Tengah punca perpecahan biasanya disebabkan perbezaan pegangan aliran kepercayaan misalnya Sunni dan Syiah. Tetapi di negara kita sejak merdeka, kerenggangan antara sesama Islam lebih disebabkan oleh perbezaan pegangan politik kepartian.

Perpaduan ummah amat ditekankan dalam Islam kerana dengan semangat ini, umat Islam akan lebih dihormati dan tidak mudah diperlekehkan kerana berselisih faham sesama sendiri. Allah SWT berfirman, ‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), maka Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.

Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya’ (Al-Imran: 103).

Parti politik yang didokongi orang Melayu wajar mencari titik persamaan dan mengurangkan perbezaan isu-isu politik yang merugikan Islam dan ummah. Asas perpaduan ummah bermula dari hati kita, sesama bangsa Islam. Kesatuan hati ini akan membuahkan kasih sayang dan amal bagi meningkatkan lagi kebaikan kepada ummah.

Soal perpaduan ummah adalah asas kepada ketahanan ummah berdepan berbagai cabaran dari dalam dan luar termasuk musuh umat Islam. Setiap orang Melayu dan Islam mulai sekarang wajar untuk berjihad dengan menyebut dalam hati kecil agar sesiapa atau kumpulan yang menjadi penghancur perpaduan ummah, kita doakan agar mereka bertaubat dan dilembutkan hati mereka.

Orang Melayu bermuzakarah atas beberapa asas. Sesiapa yang mengucapkan kalimah syahadat adalah saudara kita. Kita bertemu dan berkumpul atas dasar kasih sayang Allah dan melaksanakan perintah-Nya.

Semua pertemuan atau gabungan hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan melakukannya atas nama-Nya semata-mata. Apabila ini semua dapat dicapai, maka langkah seterusnya ialah satu tahap yang lebih tinggi iaitu kita setia dan bersedia bersama-sama untuk berjihad dengan berbagai cara, lebih daripada luahan hati demi memartabatkan Islam dan ummah di muka bumi ini.

Senario politik dalam negara ketika ini membuktikan bahawa orang Melayu tidak boleh lagi leka. atau memandang usaha penyatuan sesama mereka adalah sesuatu yang tidak relevan. Perpaduan Melayu secara langsung akan mengukuhkan Islam. Sejarah negara sudah membuktikan apabila orang Me­layu yang bersatu dan kuat juga akan memberi manfaat kepada kaum lain.

Golongan yang tidak mahu melihat bangsa Melayu berada dalam kedudukan tersebut sebenarnya sudah terhakis semangat kemelayuannya atau kelompok yang bimbang bahawa mereka tidak boleh mengambil kesempatan apabila orang Melayu kuat dan bersatu.

Kita wajar merenung dan berfikir sejenak mengapa keadaan ini berlaku. Keadaan ini berlaku bukan kerana orang lain. Jangan salahkan orang lain tetapi orang Melayu patut menyalahkan diri sendiri. Mereka yang membuka ruang dan peluang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan atau bak kata pepatah Melayu ‘Menangguk di air keruh’.

Apabila umat Melayu tidak bersatu dan semakin lemah dari segi kuasa politik sehingga mengharapkan orang lain untuk mengekalkan kuasa atau mahu berkuasa, maka sudah pasti ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

Negara kita kini sudah berjaya melahirkan ramai graduan dan golongan profesional, namun masih belum dapat untuk mengukuhkan perpaduan ummah. Kematangan dan kecemerlangan kita dalam bidang profesional belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mungkin melahirkan ramai cendekiawan, namun kita masih mengharapkan ramai yang bijaksana yang dapat membuat pertimbangan dengan teliti terutamanya dalam agenda memperkasakan perpaduan ummah.

Hancurnya perpaduan dalam kalangan ummah maka dengan sendirinya lemahlah Islam. Seterusnya runtuhlah pembangunan ikhtisas dan usahawan Melayu itu sendiri. Antara sebabnya ialah kerana kehilangan landasan utama untuk berjuang secara berterusan untuk pembangunan ummah itu sendiri. Jika kita bersatu, Islam dan Melayu kuat dan kukuh, jika berpecah, kita akan roboh.

Dengan adanya perpaduan Islam dan Melayu, rakyat negara ini akan bekerja sebagai satu pasukan untuk menjadikan negara ini maju dan progresif yang mementingkan keadilan dan kebajikan rakyat. Ini kerana Islam itu sendiri adalah agama yang mementingkan keadilan dan kebajikan masyarakat dilaksanakan sepanjang masa.

Wadah dan maslahat Islam serta Melayu perlu terus diperjuangkan sampai bila-bila. Justeru, semua pemimpin Islam dan Melayu yang diberi tanggungjawab menjaga agama Islam, semua pertubuhan politik, badan profesional dan badan bukan kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam dan Melayu perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi memperkasakan ummah. Gabungan kepimpinan Islam dan Melayu yang ikhlas berjuang bersama rakyat yang cintakan perpaduan akan menjadikan penyatuan ummah yang unggul.

Akhirnya kita mahu melihat Islam sebagai agama yang difahami dan dihormati. Amalan politik yang menyatukan ummah akan menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang disegani dan bermaruah di negara Malaysia tercinta ini. - Dr Muhammad Ariff Mohd Hashim Utusan Malaysia Rencana 19 Mei 2015

Tags: agama, politik, ummah
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments