mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Belia Al-Fateh

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  22 Mei 2015M/ 4 Sya’ban 1436H JAKIM

"Belia Al-Fateh"

Marilah kita merenung akan ketokohan Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka Kota Konstantinopel dalam usia yang begitu muda, baginda menjawat jawatan sebagai khalifah kerajaan Islam Uthmaniyyah yang ke-7.

Baginda adalah seorang tokoh cendekiawan, mempunyai kekuatan, berani, bijak, pintar, kuat menyimpan rahsia pemerintah di samping bersikap tenang dan pendiam.

Baginda menghormati ulama dan senantiasa berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara, senantiasa bersifat tawaduk dan rendah diri serta kuat beribadah.

Menurut riwayat, Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh lagi.

Antara kata-kata keramat Baginda ketika melancarkan percubaan akhir pada hari ke 53 kepungan untuk menawan Kota Konstantinopel ialah, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah, sesiapa yang mahu syahid, ikutilah aku”.

Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ semasa yang amat berpengaruh menyatakan, “apabila kita hendak melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini. Sekiranya golongan muda hari ini adalah daripada kalangan berakhlak, tentunya sesebuah negara itu akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.

Rasulullah SAW memberi pesanan dengan penekanan khusus membimbing belia dengan cara menggesa mereka sentiasa taat beribadah kepada Allah, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, kebersihan jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan peribadi. Sabdanya: Mafhumnya: Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak ada padanya kelakuan pelik dan menyeleweng”.(Riwayat Ahmad)

Kita hendaklah meletakkan Islam sebagai cara hidup (Way of Life) dengan meletakkan aqidah sebagai tiang kehidupan, syariat sebagai peraturan, akhlak sebagai cerminan, halal dan haram sebagai neraca perjalanan.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 85: Bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi”.

Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya: Maksudnya:Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka ia akan mendapatkan pahala yang sama seperti orang yang melakukannya.”(Riwayat Muslim)

Sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dan generasi belia kita dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi dari neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6: Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.      

Bersempena Dengan Sambutan Hari Belia Negara 2015, yang diadakan pada tahun ini, yang bermatlamat menggilap potensi bakat sedia ada melalui kaedah baru iaitu persembahan bakat (Showcase of Talent), dengan objektif memperkasakan generasi anak muda melalui pendekatan 7K iaitu, kesukanan dan kecergasan, kesenian, kesukarelaan, kerohanian, kreativiti, komuniti, kemahiran dan kepimpinan,

Percayalah bahawa apabila belia masa kini meletakkan Islam sebagai cara hidup, mereka insyaAllah masa depan negara akan dipimpin oleh mereka yang cintakan agama, bangsa dan negara. Sebagaimana gambaran firman Allah:

Maksudnya:(ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". (surah Al-Kahfi ayat; 10)

Wallahualam.
Tags: belia, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “belia” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments