mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Antara tohmahan, persoalan dan kebenaran

Sesungguhnya penulis menerima secara terbuka pelbagai kecaman, kritikan dan tohmahan yang dilemparkan pelbagai pihak berikutan laporan khas Utusan Malaysia mengenai ancaman tarekat baru di negara ini.

Laporan khas yang disiarkan sejak Jumaat lalu sehingga semalam mendapat reaksi luar biasa dan ada kalanya terlalu melampau termasuk tuduhan Utusan Malaysia ada agenda bagi memburuk-burukkan golongan ulama, para sufi dan mereka yang dikategorikan daripada keturunan Rasulullah SAW.

Bagaimanapun apabila dikaji satu persatu kritikan dan kecaman yang diterima adalah jelas, mereka yang melakukan serangan itu ‘sudah tersasar’ daripada maksud sebenar laporan khas tersebut iaitu mendedahkan kewujudan tarekat yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) pegangan umat Islam negara ini.

Tohmahan paling popular ialah menyatakan Utusan Malaysia me­nuduh pendakwah Indonesia, Habib Sheikh Abdul Qodir As-Segaf mengamalkan Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah yang difatwakan haram oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2000.

Perlu ditegaskan, dalam laporan khas itu sama sekali tidak pernah membuat tuduhan sedemikian. Sebaliknya hanya menimbulkan persoalan apakah hubungan antara Sheikh Muhammad Hisham Kabbani dengan Habib Sheikh As-Segaf kerana terdapat rakaman video Sheikh Muhammad Hisham yang merupakan anak murid pengasas Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah, Sheikh Nazim Al-Haqqani membaiah Habib Sheikh As-Segaf.

Selain tidak membuat sebarang andaian berhubung bentuk baiah tersebut, turut disiarkan penafian Habib Sheikh As-Segaf bahawa beliau tidak mengikuti ajaran Tarekat Naqsyabandiah Al-Aliyyah. Turut disiarkan kenyataan beliau menafikan amalan selawat dibawanya menyeleweng daripada ajaran Islam. Oleh itu adalah tidak wajar jika mana-mana pihak termasuk sesetengah ahli politik begitu mudah menuduh Utusan Malaysia memburuk-burukkan dan memfitnah Habib Sheikh As-Segaf.

Tetapi apa yang menimbulkan persoalan, dalam keghairahan melakukan ‘serangan’ tidak ada mana-mana pihak tampil menjawab kemusykilan mengenai perbuatan meragukan yang dilakukan oleh Sheikh Muhammad Hisham seperti sujud di atas kubur dan mendakwa sesiapa yang menziarah makam Wali Songo di Indonesia memperolehi 70,000 kali pahala ziarah. Malah tidak ada hujah diberikan bagi menafikan Sheikh Muhammad Hisham yang dikatakan kini memimpin Tarekat Nasyabandiah Haqqani adalah anak murid dan pewaris Tarekat Nasybandiah Al-Aliyyah.

Pokok pangkal dan matlamat pendedahan dilakukan ialah bagi mengelakkan kesucian fahaman ASWJ yang dipegang oleh umat Islam di negara ini dicemari atau dikelirukan oleh perbuatan-perbuatan meragukan oleh Sheikh Muhammad Hisham yang turut hadir dalam pelbagai program agama di Malaysia.

Kita tidak mahu mewujudkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam apabila individu yang diangkat ‘ulama besar’ dan berada dalam tarekat meragukan dilihat bebas melakukan aktiviti agama di negara ini tanpa sekatan. Sedangkan di negara kita ada ustaz-ustaz atau alim ulama tidak bebas untuk menjalankan program agama mereka hatta kuliah pagi sekalipun kerana didakwa membawa fahaman berbeza dengan ASWJ.

Tetapi bagaimana dengan Sheikh Muhammad Hisham? Apakah pendakwah-pendakwah luar mempunyai keistimewaan luar biasa sehingga mereka tidak ditapis dengan teliti? Adakah mereka ‘begitu suci’ sehingga hendak dipersoalkan perbuatan meragukan yang beliau lakukan pun tidak boleh?

Begitu juga dengan persoalan pengharaman Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah, kenapakah ada pihak masih mahu mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan itu? Bukankah sudah dijelaskan bahawa ia dilakukan melalui kajian terperinci dan dibentangkan kepada Panel Pakar Akidah (PPA) sebelum diputuskan, malah ketua kumpulan tarekat terlibat turut dipanggil untuk penjelasan lanjut. Kalaulah keputusan majlis fatwa pun tidak mahu diikuti, pihak mana umat Islam mahu merujuk jika berlaku sesuatu isu berkaitan agama?

Turut paling tidak wajar apabila tuduhan berfahaman Wahabi dilemparkan kepada mereka yang memberi pandangan berhubung isu tarekat baharu ini. Perbuatan melabelkan seseorang dengan mudah bukanlah ajaran Islam sebenar. Janganlah kerana orang itu berbeza pendapat atau pendirian, mudah sangat kita hendak menuduh orang itu atau orang ini Wahabi. Bukanlah dalam Islam, kita diperingatkan oleh Rasulullah SAW jangan melampau dalam beragama?

Perlu ditegaskan, pendedahan yang dibuat juga menyentuh soal perbuatan mencium kaki, berdoa di makam-makam dan beryaqazah. Kesemua perbuatan ini bertentangan dengan fahaman ASWJ.

Dalam soal mencium kaki, tidak apalah kalau mana-mana pihak mahu mempertahankan perbuatan itu mengikut hujah masing-masing tetapi bagi sebahagian umat Islam di negara ini, ia akan dikaitkan dengan ketaksuban kepada ketua atau pemimpin. Apatah lagi dalam hadis yang diriwayatkan At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda, “Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya”.

Begitulah juga dengan menziarahi makam, apatah lagi kalau di situ dilakukan upacara berdoa dan meminta sesuatu seperti mana dilakukan oleh Sheikh Muhammad Hisham, sudah pasti ia menimbulkan persoalan dalam umat Islam di negara ini. Dalam bab beryaqazah pula, fakta sudah jelas, salah satu punca Tarekat Nasyabandiah Al-Aliyyah diharamkan adalah kerana pegangan tersebut. Keputusan itu membuktikan ia jelas bertentangan dengan fahaman ASWJ.

Dalam berhadapan isu seumpama ini jangan biarkan nafsu dan perasaan menguasai diri sehingga kita terlupa bahawa tidak kira fahaman apapun kita pegang, mazhab manapun kita ikuti, tarekat apapun kita susuli, kita tetap hamba Allah yang berada dalam agama suci iaitu Islam.

Justeru jangan mudah membuat tuduhan dan melemparkan tohmahan. Setiap persoalan perlu diselesaikan secara berhemah bukan berdasarkan ketaksuban apatah lagi menutup mata dan hati untuk mencari sebuah kebenaran. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, ta­atilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (an-Nisa’: 59)


Keratan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berhubung isu tarekat.
Tags: tarikat
Subscribe

Posts from This Journal “tarikat” Tag

  • Bukan semua menyeleweng

    SERING dikaitkan dengan bermacam-macam gambaran, amalan tarekat atau jalan, terus menimbulkan pelbagai persepsi dan reaksi dalam kalangan…

  • Zikir, Tarekat dan Habaib

    FAKTOR ‘tidak biasa’ ma­sya­­rakat terhadap sesuatu amalan dijirus pula menjadi semakin marak dengan sikap mudah memandang…

  • Tasawuf dan Tarekat Sunni

    MUTAKHIR ini ma­sya­rakat dikejutkan de­ngan pendedahan me­­­­­ngenai tarekat yang bertentangan de­ngan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments