mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Menghayati Peristiwa Israk Dan Mikraj

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 22.05.2015: JAIS

“Menghayati Peristiwa Israk Dan Mikraj”

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada 'al-Ashur al-Hurum' (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, Zulqa’dah dan Zulhijjah.

Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Bakrah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda:-“Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rajab iaitu antara bulan Jumada dan Sya'ban”. (Hadis Bukhari dan Muslim).

Israk dan Mikraj seperti yang kita ketahui berlaku dalam bulan Rajab adalah merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil ‘Aqsa seterusnya diangkat pula ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj ini merupakan penghibur hati kepada baginda Rasulullah SAW setelah kehilangan tunjang belakang dan kekuatan baginda dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid. Peristiwa Isra’ Mikraj juga merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan bukti kesetiaan para sahabat yang mampu berdiri teguh dibelakang nabi dan menguatkan keimanan dalam diri mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 1: “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

Antara peristiwa-peristiwa yang baginda saksikan sepanjang perjalanan Israk yang merupakan tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah:

i. Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang menginfakkan hartanya pada jalan Allah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

ii. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk mendirikan solat

iii. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orangorang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

iv. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging yang busuk sedangkan daging yang dimasak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

v. Lelaki yang lemas dalam sungai darah dan apabila meminta tolong dia dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.

vi. Lelaki yang memikul seberkas kayu sedang dia tak terdaya memikulnya, tapi masih menambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

vii. Seorang perempuan yang terlalu tua memanggil Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. Kisah berhubung peristiwa tersebut dinaqal dari kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar al-Asqalani di Juzuk 11 halaman 214.

Peristiwa Mikraj pula menyaksikan nabi Muhammad SAW berjumpa dengan nabi-nabi yang terdahulu di setiap lapisan langit sebagai mana disebutkan dalam hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kemuncak kepada peristiwa isra’ dan mikraj ialah apabila Allah memfardhukan solat fardu sebanyak 50 waktu sehari semalam dan akhirnya dikurangkan menjadi 5 waktu seperti yang kita laksanakan sekarang tanpa mengurangkan pahala 50 waktu tersebut.

Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk menuruti segala perintah-Nya sepertimana perintah menunaikan solat 5 waktu sehari semalam walaupun kita merasakan ianya juga berat, maka Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45: “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Sesungguhnya peristiwa israk dan Mikraj memberitahu kita tentang pelbagai bentuk pendidikan dan pengajaran yang berharga, antaranya adalah;

1. Sebagai Muslim kita wajib meyakini dan mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj benar-benar berlaku dan wajib beriman dengannya kerana ia telah disebut dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.

2. Peristiwa Israk dan Mikraj menggambarkan perjalanan seorang hamba menuju kepada Allah SWT yang akan menghadapi berbagai cabaran dan ujian yang memerlukan kekuatan iman dalam diri kita.

3. Permulaan perjalanan seorang muslim menuju keredaan Allah SWT bermula dengan membersihkan hatinya dan membetulkan niatnya.

4. Solat 5 waktu hendaklah dilakukan walau dalam keadaan apa sekalipun selagi manusia mempunyai akal yang sihat.

5. Umat Islam hendaklah memberi sokongan penuh kepada perjuangan mempertahankan Baitul Maqdis daripada serangan dan pencerobohan Yahudi Laknatullah.“Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya. Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu? Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi "SidratulMuntaha”. (Surah an-Najm : 11-14).

Wallahualam.
Tags: israk, khutbah, mikraj
Subscribe

Posts from This Journal “israk” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments