mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fahami syariah secara menyeluruh

KITA amat kesal dan kecewa tentang tindakan setengah pihak yang sengaja memesong dan menyelewengkan kefahaman rakyat berhubung dengan soal-soal agama. Banyak perkara yang telah dipesongkan oleh pihak tersebut. Antaranya ialah dakwaan kononnya untuk menjadi Muslim yang baik hanya cukup dengan memberi tumpuan kepada soal-soal akidah.

Dakwaan seumpama ini adalah salah dan tidak benar sama sekali. Islam itu bukan semata-mata akidah, tetapi akidah dan syariah. Dalam erti kata lain, Islam itu din dan daulah. Ajarannya pula adalah menyeluruh dan mencakupi segala bidang hidup yang sering disebut menurut istilah fikah sebagai syumul.

Kekuatan akidah tidak memberi apa-apa erti jika syariahnya lemah

AJARAN akidah dan panduan beribadah terdapat dalam al-Quran secara terperinci dan jelas. - GAMBAR HIASAN

Memang betul kita pentingkan akidah, tetapi kita juga mesti mempunyai kefahaman agama secara menyeluruh bagi tujuan mendapatkan nikmat kurniaan-Nya.

Hakikat masih lagi wujud golongan yang memahami Islam secara sempit dan serpihan, berfikiran jumud dan tidak mengambil sikap sebagaimana yang dituntut oleh ajaran Islam yang sebenar.

Mujurlah Allah masih menyayangi umat ini. Masih ada rahman dan rahim-Nya. Pendirian golongan yang berkenaan tidak dapat menguasai orang ramai. Mereka luput daripada hidayah Allah dan kerana itulah negara Malaysia ini terus maju dan berkembang dalam semua bidang dan dapat menjamin kelangsungan umat-Nya di bumi ini.

Namun rahman dan rahim Allah ini tidak akan berkekalan andainya golongan kecil tadi terus-menerus mengambil sikap bermusuhan dengan arus perdana, tidak mengambil kira tentang perkembangan semasa dan perubahan setempat.

Kemudian berjaya pula menaburkan benih kekeliruan dan kesesatan kepada orang ramai. Ketika itu akan hilanglah daripada tangan orang Islam segala nikmat yang ada di dunia ini yang memang dikurniakan Allah kepada umat manusia.

Islam adalah cara hidup yang menyeluruh yang mempunyai panduan bagi maksud tersebut. Keseluruhan itu bukanlah semata-mata perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah, ibadah, hal-hal kekeluargaan dan hukum hudud, tetapi meliputi bidang akhlak dan muamalat, iaitu hal-hal berkenaan dengan perhubungan manusia sesama manusia dan manusia dengan makhluk yang lain.

Inilah yang dikatakan syariah dan inilah keistimewaan agama Islam yang membolehkan ajarannya terus segar dan umatnya dapat menguasai dunia sejagat andainya ia dapat difahami dan diamalkan oleh umat Islam semasa.

Syariah Islam mempunyai jangkauan yang luas seluas alam ini dan ia sesuai pada semua tempat dan zaman. Segala kerja buat dan pergerakan manusia tidak dapat dipisahkan daripada syariah, sama ada baik (hasanah) atau buruk (sayyi-ah). Semua yang baik itu adalah Islam sifatnya dan mendapat pahala bagi orang Islam yang menyempurnakannya.

Manusia sebagai khalifah adalah ditugaskan mentadbir alam ini. Cara pelaksanaannya berbeza menurut perubahan masa dan tempat. Tidak ada kaedah yang tetap dan muktamad tentang pelaksanaan tersebut.

Perkara penting yang perlu dipastikan ialah keadilan dapat ditegakkan dengan sempurna dan kezaliman dapat dihapuskan. Matlamat akhirnya majoriti rakyat dapat hidup aman makmur dan selesa, tidak ada kegelisahan dan ketakutan dalam kalangan mereka.

Seorang nelayan yang turun ke laut dengan niat untuk mendapatkan ikan. Kemudian dilakukan kerja-kerja penangkapan itu dengan penuh kesungguhan dan ketekunan bagi maksud untuk mendapatkan rezeki daripada khazanah laut itu sebanyak mungkin, maka kerjanya itu adalah syarie sifatnya dan itulah yang dikatakan syariah.

Begitu juga petani yang turun ke sawah dan ladang, peneroka yang meredah dan merandai hutan membuka kawasan baru, seorang pegawai ke pejabat tempat kerjanya, golongan profesional ke firma masing-masing, termasuk ahli perniagaan, ahli ekonomi, ahli politik dan sebagainya, segala kerja buat dan amalan mereka adalah termasuk dalam lingkungan syariah selama kerja-kerja itu dapat mencurahkan faedah dan mampu menabur manfaat kepada orang ramai.

Niat yang betul

Setiap sesuatu yang bersyariah sifatnya tidak semestinya disimbolkan dengan perkataan Islam, tetapi yang pentingnya ialah setiap amal dan pekerjaan yang dilakukan itu hendaklah disempurnakan dengan niat yang betul, dengan penuh dedikasi dan sedar dengan penuh yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan segala apa yang dikerjakannya itu.

Sebuah hadis menceritakan tentang seorang lelaki yang membuang duri di jalan bagi keselesaan pengguna, dia mendapat pahala sedekah. Maka apa lagi dengan wujudnya pelbagai kemudahan, seperti jalan raya dan lebuh raya, maka sudah tentu perancang, kontraktor, jurutera dan lain-lain yang terlibat, terus-menerus memperoleh pahala daripada Allah selama jalan raya itu dapat digunakan dengan sempurna oleh orang ramai. Maka itulah dikatakan syariat.

Ertinya apa yang dikatakan syariah bukan hanya mencuri kerat tangan dan berzina rejam, tetapi pengutamaan yang lebih penting ialah memastikan negara ini aman dan rakyatnya bahagia. Segala kemudahan asas semuanya lengkap dan sempurna.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud dunia ini penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir, ia bukanlah bertujuan menghalang umat Islam mencari kemajuan dan tidak menggalakkan mereka berusaha mencari kenikmatan Allah di dunia ini.

Tetapi hadis tersebut bermaksud bahawa nikmat di dunia ini, sebesar dan sebanyak mana yang dimilikinya adalah terlalu kecil dan sedikit jika dibandingkan dengan nikmat di syurga yang akan diperoleh oleh seorang Muslim yang mukmin. Sebaliknya bagi orang kafir dan penderhaka, mereka akan menerima azab yang pedih dan seksa yang paling sengsara yang kekal abadi di dalam neraka.

Tags: akidah, syariah
Subscribe

Posts from This Journal “syariah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments