mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ramadan rai budaya tadabur, menghafal

ALLAH SWT menamakan al-Quran dengan beberapa nama. Antaranya dinamakan Al-Kitab, sebagai indikasi umat ini adalah umat yang membaca. Dinamakan juga Nur, dalam Surah An-Nisaa, dan Roh dalam Surah As-Syura.

Dengan nama Nur, al-Quran ini menerangi dan dengan nama Roh menunjukkan bahawa ia menggerakkan serta menghidupkan jiwa.

Sempena kedatangan Ramadan, seminar Nikmatnya Bertadabur dan Menghafal Quran akan dilaksanakan dengan tujuan mendidik orang ramai membaca, mengingat dan mengamalkan al-Quran, agar masyarakat bercahaya dengan akhlak, dan bersemi dalam jiwa nilai-nilai kebaikan.

Pelajarilah cara bacaan al-Quran yang sebetulnya kerana ia perlu dan wajib bagi kita umat Islam. - Gambar hiasan

Seminar anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) bersama Akademi Sinergi Ikhlas bakal menggandingkan dua tokoh agama dari dua negara serumpun iaitu Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Malaysia) dan Ustaz Bachtiar Abdul Nasir (Indonesia) sebagai penyampai utama.

Dr Abdul Basit atau dikenali ramai dengan Abu Anas Madani adalah tokoh agama yang banyak menulis buku dan menyampaikan kuliah. Beliau juga adalah penyelia Pondok Sungai Durian, Kelantan. Pondok Sungai Durian antara yang terjejas teruk semasa banjir besar Kelantan tahun lalu.

Manakala, Ustaz Bachtiar Nasir ialah  tokoh agama yang dikenali ramai di Indonesia. Beliau turut memimpin institusi pendidikan, Ar-Rahman Quranic Learning (AQL) Center dan Pesantren Ar-Rahman Quranic College (AQC) di Jakarta. Ustaz Bachtiar turut menulis buku bertajuk Tadabur Al-Quran serta membina modul menghafal al-Quran yang praktikal untuk semua golongan.

Tajuk yang akan disampaikan antaranya: Ahlan Ya Ramadan, Persediaan Ramadan- Tadabur Al-Quran, Al-Quran Dihatiku- Menghafaz al-Quran Menjelang Ramadan, Ramadan Penuh Barakah Dengan Al-Quran, Talk Show- Nikmatnya Menghafal & Tadabur Al-Quran.

Nikmat hayati al-Quran

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang membaca al-Quran datang pada hari kiamat, lalu al-Quran berkata: "Ya Tuhan, berilah dia pakaian," maka dia diberi mahkota kemuliaan.

Kemudian al-Quran berkata lagi: "Ya Tuhan, tambahilah lagi." maka dia diberi pakaian kemuliaan. Kemudian al-Quran berkata lagi: "Ya Tuhan, redailah dia," maka ALLAH reda kepadanya. Lalu dikatakan kepadanya: "Bacalah dan tingkatkanlah," dan dia ditambahi satu kebaikan dari setiap satu ayat.

Dr Yusuf Al-Qaradawi memberikan motivasi menghafal dengan berkata: "Lafaz dan kalimat al-Quran terkandung keharmonian, kenikmatan dan kemudahan, yang membuatnya mudah dihafal bagi orang yang ingin menghafalnya, ingin memasukkan ke dalam dada dan menjadikan hatinya sebagai wadah bagi al-Quran.

Membaca, mengingat dan mengamalkan adalah gabungan kukuh memasakkan al-Quran dalam kehidupan. Ketiga-tiga aktiviti tersebut dalam masa sama perlu digandingkan dengan bertadabur agar kita dapat meneguk hikmah melalui pesan yang disampaikan.

Seperti yang dikatakan Sheikh Soleh Fauzan: "Kita memikirkan makna ayat al-Quran, apa yang ditunjukkannya, rahsia dan berita yang terdapat daripada ayatnya, sehingga kita mendapatkan manfaat berupa hidayah, rasa takut kepada ALLAH dan ibadah kepada-Nya. Dan kita tahu apa yang harus kita tinggalkan dan apa yang kita tinggalkan daripada perbuatan, perkataan, interaksi sosial dan yang lainnya."

Abdul Basit dan Ustaz Bachtiar Nasir akan mengulas dengan lebih dalam secara praktikalnya menerusi seminar Nikmatnya Menghafal dan Bertadabbur Quran pada 14 Jun ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Orang ramai dijemput hadir ke seminar ini untuk mendapatkan manfaatnya, dan hasilnya terbentuk jiwa Qurani dalam masyarakat. Penganjur turut membuka peluang tajaan yang membolehkan seramai mungkin peserta dapat mengikuti perjalanan seminar.

Maklumat seminar dan urusan pendaftaran boleh dirujuk di laman Bit.ly/ramadhan1436 atau terus menghubungi urusetia 0122230782 (Khadijah) dan 0139916967 (Fadhil).
Tags: al-quran, ramadhan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments