mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Malas berfikir lahir umat tercela

Menajamkan akal jihad kembang kerjaya, organisasi  

ADA riwayat mengatakan. ‘berfikir sejenak lebih baik daripada beribadat setahun’. Kata-kata ini menggambarkan keutamaan berfikir dalam Islam. Ini benar kerana berfikir secara betul boleh menghasilkan natijah tindakan betul termasuklah dalam ibadat.Berfikir dapat mengenal pasti yang baik dan buruk, memajukan atau memundurkan diri. Ia mampu melahirkan ijtihad yang memberi penyelesaian hukum yang tepat, benar dan mengelak daripada taklid serta amalan ikut-ikutan bertentangan syarak secara membuta tuli.Berfikir adalah latihan mengasah akal yang boleh menghasilkan pelbagai kekuatan pada daya fikir seperti kreativiti serta inovasi. Maka lahirlah tokoh ilmuwan pelbagai ciptaan sejak zaman kegemilangan Islam seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn Batutah, al Khaitami dan ramai lagi. 

Al-Farabi antara ilmuwan Islam yang menekankan daya berfikir dalam membentuk kesejahteraan masyarakat dan negara serta hubungan manusia dengan Allah SWT dalam al-Madinah al-Fadilah. 

Cara kita berfikir juga boleh mempengaruhi emosi dan persepsi. Cara berfikir yang betul boleh mempengaruhi jiwa, menghasilkan ketenangan seperti firman Allah SWT bermaksud: “Dengan mengingati Allah akan mententeramkan jiwa.” 

Berfikir juga melahirkan perasaan baik dan buruk seperti kata-kata adalah apa yang anda fikirkan. Mudahnya, jika baik yang difikirkan nescaya tindak tanduk dan gerak geri baik jugalah akan dipamerkan. Begitu juga sebaliknya. 
Allah SWT memberi pengiktirafan tinggi terhadap keupayaan akal manusia, lantaran menjadikan fungsinya lebih istimewa berbanding makhluk ciptaan-Nya yang lain. Firman Allah dengan uslub ‘Afala tatafakkarun’ dalam firmanNya bermaksud tidakkah kamu berfikir. 

Antaranya dalam Surah al-Mukminun, ayat 80 yang bermaksud: “Dan Dialah menghidup dan mematikan; dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?” 

Namun, perlu ditekankan kemahiran berfikir yang baik dalam Islam perlu menepati matlamat dan piawaian syarak, berpandukan ilmu pengetahuan, peraturan dan akhlak ke arah memenuhi kemaslahatan sejagat. 

Menurut Ibn al-Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi`in, berfikir itu mencari dan mengamati sesuatu yang mempunyai pelbagai bentuk khilaf atau pertentangan dengan kaedah betul. 

Justeru, penting memastikan apa yang difikirkan dan cara kita berfikir adalah betul seperti berfikir secara positif, berfikiran jauh, kritis, saintifik, strategis, praktikal, objektif, berfikir di luar kotak, berfikir sebagai juara dan dengan minda kelas pertama. 

Dalam pembangunan organisasi berteraskan pengetahuan, nilai, pencapaian serta kejayaan mencapai matlamat ini bergantung kepada daya kekuatan dan kemahiran berfikir. 

Bahkan, aspek menjadi teras perkhidmatan awam ialah bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara. 

Kekuatan daya fikir dalam berkhidmat perlu meliputi kemampuan memahami, mengolah maklumat dan pengetahuan supaya dapat bertindak balas dengan cepat terhadap perkembangan persekitaran. 

Kekuatan meramal perubahan yang bakal berlaku, merancang masa depan, mengatur tindakan dan menilai pencapaian. 

Daya berfikir dalam melaksanakan kerja seharian sering meliputi beberapa perkara asas seperti berfikir apa akan dilaksanakan hari itu, apa patut didahulukan, bagaimana sesuatu tugasan boleh dilaksanakan dengan cepat dan cekap. 

Kekuatan berfikir dilakukan secara bersama sama ada secara langsung dalam perbincangan, latihan atau mesyuarat mahupun secara tidak langsung dalam perbualan harian akan menyumbang kepada kelancaran proses perancangan, pengaturan strategi serta penyusunan gerak kerja efektif. Ia juga membina kakitangan lebih cekap dan berdisiplin. 

Sebaliknya, kelesuan dan kegagalan berfikir dalam organisasi menyebabkan pelbagai masalah disedari atau tidak termasuk kelewatan, kerja semata-mata menunggu arahan, kegagalan dan kesilapan memahami arahan, keputusan bersifat jangka pendek serta tindakan terburu-buru. 

Justeru, kemahiran berfikir dalam kalangan pekerja dapat mengelakkan kerja menjadi rutin yang statik dan menjemukan. Di samping mengelakkan kecuaian, pertindanan kerja, pembaziran wang dan tenaga. 

Dalam pelbagai krisis dan kelesuan pemikiran umat Islam hari ini, marilah kita menajamkan akal dengan pelbagai aktiviti berfikir kerana ia juga adalah suatu jihad untuk pengembangan kerjaya dan organisasi. 

Umat Islam bukan saja bakal mengalami kemunduran, bahkan akan tercela dan hina kerana malas berfikir. 

Sabda Rasulullah SAW apabila merujuk firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 190, “Binasa atau celakalah mereka yang memamah ayat itu (membacanya) dan tidak mahu memikirkan padanya.” (Hadis riwayat Ibn Mardawayh dan Abd bin Humayd dalam Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni) 



Oleh Sharifah Hayaati bhagama@bharian.com.my
Penulis ialah Pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya  (UM)

Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu, 26 Mei 2012
Tags: agama
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments