mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat ~ Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tunjang Kekuatan Umat Islam

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat  (5 Jun 2015 / 18 Syaban 1436H) JAWI

"Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Tunjang Kekuatan Umat Islam"

Sempena dengan hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari esok 6 Jun 2015

Dalam sejarah Alam Melayu apabila seorang Raja memeluk Islam, maka semua rakyat akan mengikutinya dan secara rasmi Islam akan menjadi agama rasmi sesebuah negara. Seorang Raja akan menjadi tunjang kekuatan perjuangan dan penyebaran Islam.

Perkara 3 (2) di dalam Perlembagaan dinyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Persekutuan dan negeri yang tiada Raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai ketua agama Islam adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita.

Di dalam lafaz sumpah Baginda iaitu Wallahi, Wabillahi, Watallahi yang dapat dirungkaikan dalam kata kunci iaitu undang-undang, Perlembagaan Negeri, Agama Islam, adil dan aman.

Dalam Islam, seorang pemimpin merupakan wakil pemegang amanah umat dan disebut sebagai khalifah yang menyebarkan dasar Islam sebagai agama pembawa rahmat kepada seluruh umat manusia.

Antara rahmat yang perlu disebar ialah berlaku adil kepada sesama manusia iaitu tidak membenci, tidak berlaku zalim, tidak melakukan penindasan, penipuan dan tidak mengabaikan manusia tanpa memandang darjat dan status seseorang.

Usaha mewujudkan keadilan kepada manusia sejagat adalah sebahagian daripada sifat ketaqwaan sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nahli ayat 90: Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu supaya kamu mengambil peringatan.”

Sabda Rasulullah SAW: Mafhumnya: Akan ada selepas aku pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana pemerintah laksana perisai yang melindungi kamu, Jika mereka memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan mendapat kebaikan, tetapi jika mereka memerintah dengan cara tidak baik, maka mereka akan menanggung akibatnya,manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan mereka.” (Riwayat: at-Tabarani).

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tunjang kekuatan Islam, dapat dilihat dengan pelaksanaan Islam di negara ini berteraskan prinsip wasatiyyah. Secara dasarnya wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain tetapi pada masa yang sama Islam terus dihargai atau dimartabatkan

Allah SWT menggesa kita supaya mencontohi gambaran kehidupan yang penuh toleransi dan mulia sepertimana dalam surah al-Hujurat ayat 13: Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya".

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ma’idah ayat 77: Maksudnya: Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan mereka (kini) telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul."


Marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi tinggi kasih kepada Baginda sepanjang bersemayam di takhta pemerintahan. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Putri-Putri dan Kerabat-Kerabat DiRaja sekalian sentiasa di bawah payung rahmat Ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berterusan. Agama Islam terus dimartabatkan dengan melaksanakan perintah Allah SWT Yang Maha Esa dan institusi Raja terus didaulatkan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59: Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya"

Wallahualam.
Tags: agong, khutbah, raja, sultan, wasatiyyah
Subscribe

Posts from This Journal “agong” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments