mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tasawuf dan Tarekat Sunni

MUTAKHIR ini ma­sya­rakat dikejutkan de­ngan pendedahan me­­­­­ngenai tarekat yang bertentangan de­ngan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mendepani situasi ini, pada prinsipnya tasawuf dan tarekat adalah jalan untuk memperlengkapkan diri dengan nilai-nilai kerohanian bagi menghadapi kehidupan kebendaan yang sangat mencabar. Walaupun kelahiran tasawuf ke dalam masyarakat Islam agak lewat iaitu pada abad ketiga hijrah, namun ia telah didahului oleh sifat-sifat zuhud yang dihayati oleh Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.

Zuhud adalah titik permulaan dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan tasawuf yang merupakan jalan untuk mendapat makrifah dan kebahagiaan adalah lanjutan daripada amalan Rasulullah dan para sahabat. Tasawuf dan tarekat menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai wasilah (jalan) dan bukannya ghayah (tujuan).

Sekadar menyebut beberapa contoh, tokoh yang sangat terkenal di abad ini iaitu Imam al-Ghazali juga dikenali dengan gelaran Hujjatu al-Islam kerana ketokohannya dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti ilmu fiqh, ilmu kalam, falsafah dan tasawuf. Kitab tasawuf Imam al-Ghazali paling disegani hingga ke hari ini iaitu Kitab Ihya’ Ulum al–Din yang dibahagikan kepada empat bahagian asasi iaitu Ibadat, Adat, Muhhikat dan Munjiyat.

Ibadat mengandungi perbincangan tentang ilmu, kaedah akidah dan ibadat, adab membaca al-Quran, zikir, doa dan susunan wirid-wirid. Bahagian adat pula mengandungi antara lain adab-adab berhubung dengan makan, berkahwin, mencari rezeki, halal dan haram, amar makruf serta nahi mungkar.

Bahagian muhlikat pula mengandungi antara lain tentang nafsu syahwat seperti marah, dendam, hasad, kedekut dan sombong. Bahagian terakhir iaitu munjiyat membicarakan tentang maqamat dan ahwal seperti taubat, sabar, syukur, zuhud, tauhid, tawakal, mahabbah dan reda.

Selain itu diterangkan juga tentang pengertian niat, kebenaran, keikhlasan, muraqabah, muhasabah, tafakur dan maut. Imam al-Ghazali telah memberikan garis panduan yang jelas tentang tasawuf. Beliau dianggap sebagai seorang sufi kerana menunjukkan ciri-ciri amalan ilmu tasawuf dan seorang sufi positif yang peka dengan keadaan masyarakat pada masa itu. Beliau menentang keras mazhab dan aliran pemikiran yang menyeleweng pada masa itu dengan memberi kritikan yang ilmiah.

Begitu juga dengan penulisan oleh tokoh-tokoh tasawuf sunni lain seperti al-Hawari, al-Qushayri dan sebagainya. Mereka menunjukkan jalan orang sufi dalam pengembaraan menuju Allah SWT dengan mengamalkan mujahadah dan menghapuskan sifat keji serta pengisian dengan sifat-sifat baik yang menumpukan semua urusan mereka kepada Allah SWT.

Perkataan ‘tarekat’ menurut para tasaawuf mutakhir dimaksudkan dengan perkumpulan atau perhimpunan dalam kalangan pengamal tasawuf yang menjadi pengikut kepada sheikh tertentu dan mematuhi suatu peraturan yang ditetapkan ke atas mereka dalam menjalani amalan-amalan kerohanian. Mereka hidup secara berkumpulan, selalu menyambut perayaan-perayaan tertentu dan juga mengadakan majlis-majlis ilmu serta zikir. Tarekat-tarekat tasawuf telah tumbuh dengan suburnya pada abad keenam dan ketujuh yang pada kebiasaannya mempunyai kaitan dengan sheikh atau pengasas bagi sesebuah tarekat dan mereka menggunakan pebagai nama.

Perbezaan yang didapati dalam tarekat-tarekat ini ialah dari sudut upacara amalan seperti pakaian dan wirid. Matlamat mereka pada umumnya untuk pembaikan akhlak dan merapatkan diri kepada Allah. Tasawuf dan tarekat ini berkembang dengan pesat dan sebahagian besar daripadanya masih aktif menjalankan aktiviti mereka hingga ke hari ini.

Walaupun begitu tarekat-tarekat tasawuf yang muncul dan berkembang di peringkat akhir-akhir ini, terutama sejak zaman kerajaan Uthmaniyyah mulai merosot dari segi kualitinya kerana penulisan ilmiah bernilai tinggi semakin kurang dihasilkan. Apa yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh pada peringkat ini pada umumnya hanya berkisar tentang huraian dan ringkasan terhadap kitab-kitab tokoh ulama terdahulu.

Selain itu, para pengikut tarekat-tarekat bermula dari masa tersebut mula menumpukan perhatian kepada bentuk-bentuk luaran dan upacara-upacara sahaja. Mereka kurang memberi penumpuan kepada tujuan dan matlamat sebenar ilmu tasawuf dan tarekat itu diwujudkan. Akibatnya sebahagian besar pengikut-pengikut mereka mula kabur dan samar terhadap konsep serta disiplin amalan dalam tasawuf.

Mereka melebihkan perkara yang kurang penting seperti menumpukan kepada unsur keramat tokoh-tokoh tertentu sedangkan pengasas tarekat di peringkat awal tidak pernah pun membicarakannya atau menganggap kekeramatan itu suatu tanda kesempurnaan ilmu dan amalan mereka.

Dalam perkara ini, kita berpendapat membaca al-Quran dan menghayati al-Sunnah adalah jauh lebih afdal dari membaca wirid-wirid tersebut. Ini adalah kerana tiada perkataan dan ungkapan yang lebih baik daripada Kalam Allah dan sunnah Rasul-Nya. Alangkah baiknya, sekiranya sheikh-sheikh tarekat ini memasukkan ke dalam wirid mereka ayat-ayat al-Quran atau pun hadis-hadis Rasulullah dan mewajibkan murid-murid mereka supaya menghafalnya. Dengan cara ini, mereka akan dapat memperkembangkan Islam dan menambahkan jumlah ulama yang faham dan hafal al-Quran serta hadis.

Dari huraian dan ulasan di atas, beberapa kesimpulan seperti berikut :

n para ahli sufi dan tarekat sunni tidak sewajarnya membebaskan diri mereka daripada tarekat al-Quran dan al-Sunnah. Pengalaman kerohanian yang diperoleh bukanlah sumber bebas untuk mendapat maklumat tentang hakikat, malah tidak mempunyai autoriti untuk memperbaiki atau menukar risalah Rasulullah.

n tarekat dalam Islam bukanlah satu percubaan atau usaha untuk membentuk kehidupan berlainan daripada kehidupan Rasulullah. Baginda adalah manusia agung yang sempurna dalam segenap aspek kehidupan umat Islam.

n tarekat seseorang sheikh sufi hendaklah mengikut tarekat Rasulullah SAW. Mereka hendaklah mengikut ibadat-ibadat asasi yang dijalankan oleh Rasulullah SAW seperti solat, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir.

Alangkah baiknya pengamal-pengamal tarekat hari ini mengambil contoh teladan daripada tokoh-tokoh tarekat sunni silam yang memahami Islam secara syumul. Mereka sangat kuat berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam sewajarnya berpendirian sedemikian, inilah wasatiyyahnya kehidupan ahli sufi dalam tarekat Islam. - Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 5 Jun 2015

Tags: sunni, tarikat
Subscribe

Posts from This Journal “sunni” Tag

  • Perbalahan mazhab cetus kebimbangan dunia Islam

    SEBELUM ini banyak diperkatakan bahawa politik Asia Barat banyak dicorakkan melalui pertembungan dua kuasa serantau, iaitu Arab Saudi yang…

  • ASWJ Iraq diancam Syiah, ISIS

    SABAN hari, umat Islam yang berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di Iraq hidup menderita di bawah cengkaman kerajaan yang…

  • Isu dialog Sunnah-Syiah

    Sukacita saya merujuk kepada rencana bertajuk Ulama Sunni Syok Sendiri? Utusan Malaysia, Selasa 20 Ogos 2013, yang berdasarkan pandangan Datuk…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments