mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Buat persiapan sambut Ramadan

Masa amat pantas berlalu. Kini kita berada dalam separuh yang kedua bulan Syaaban. Tinggal 12 atau 13 hari sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadan al-Mubarak. Suatu bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan nescaya diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (riwayat Bukhari)

Alhamdulillah, bagi kita di Malaysia, puasa Ramadan bukan masalah besar bagi majoriti umat Islam dari segi menahan lapar dan dahaga. Sebaliknya cabaran yang lebih hebat adalah menahan diri daripada berbelanja ‘besar’ di bazar-bazar Ramadan membeli juadah berbuka.

Namun, bagi umat Islam Denmark, mereka bakal berhadapan dengan cabaran menunaikan rukun Islam ketiga itu apabila terpaksa berlapar selama 21 jam sehari. Selain itu, penduduk Islam di Iceland, Sweden dan Norway pula perlu berpuasa selama 20 jam. Ini berpandukan peta terkini rakaman waktu puasa di seluruh dunia.

Menurut portal berita emirates247.com, waktu berpuasa sepanjang Ramadan tahun ini dijangka sebagai terpanjang dalam sejarah.

Bayangkan jika kita di Malaysia juga terpaksa berpuasa selama 21 jam. Mampukah kita menunaikannya atau makin ramai yang mencari jalan mendapat MC (sijil cuti sakit) agar ‘dikecualikan’ berpuasa? Apakah pula persediaan kita untuk menghadapi Ramadan?

Ulama kontemporari Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi dalam bukunya ‘al-Ibadah fi al-Islam menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya, puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu. Menyihatkan jasmani dan badan. Mendidik melakukan kebaikan. Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk dan dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.

Sebab itu, kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan tersebut adalah:

n Berdoa agar Allah SWT memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan Ramadan dalam keadaan sihat walafiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksimum dalam bulan ini, baik puasa, solat, membaca al-Quran mahupun zikir.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan. Ertinya: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

n Mengulang kaji ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.

n Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan saling bermaafan sesama manusia.

n Memperbanyak doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya agar kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dan dijauhi daripada segala penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.

n Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketakwaan kepada Allah SWT.

n Memperbanyak amalan soleh dan amalan-amalan kebajikan di dalam Ramadan.

Sebaliknya, jangan pula kita dilekakan dengan persiapan menyambut Hari Raya sebagai mana yang berlaku di sesete­ngah pusat beli-belah yang sudah pun menaikkan banner jualan Aidilfitri walaupun Ramadan belum bermula. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana Agama 5 Jun 2015

Tags: ramadhan
Subscribe

Posts from This Journal “ramadhan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments