mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keunggulan Majlis Tilawah Al-Quran

PADA 2014, satu kajian yang dilaksanakan oleh kum­pulan perunding pe­­lancong Islam yang ber­pang­kalan di Singapura te­lah meletakkan Malaysia sebagai des­tinasi mesra pelancongan Is­lam terbaik di dunia. Kajian me­nyak­sikan Malaysia menduduki tempat teratas mengatasi Mesir, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Arab Saudi dan Indonesia. Penyenaraian dibuat berdasarkan bagaimana Malaysia dapat memenuhi keperluan pe­lan­cong beragama Islam yang se­makin meningkat khasnya dalam per­khid­matan dan makanan halal.

Menyumbang kepada momentum kejayaan ini, Malaysia telah menjadi tuan rumah tertua bagi penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa selama lebih satu setengah abad, dan tahun ini mengulangi acaranya yang ke-57 mengumpulkan para qari dan qariah terbaik seluruh dunia di Kuala Lumpur.

Acara yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 9 hingga 14 Jun 2015 menganggarkan seramai 120 orang peserta termasuk qari, qariah, hafiz, hafizah, hakim dan pegawai pengiring dari lebih 70 buah negara yang dijemput berkumpul dan mengambil bahagian sepanjang enam hari berlangsungnya acara tersebut.

Acara yang penuh berprestij dan membanggakan ini saban tahun telah memperdengarkan bacaan peserta dalam pelbagai versi taranum sekali gus mendapat perhatian dan liputan media dari dalam dan luar negara yang semakin meningkat saban tahun. Dalam konteks pembacaan al-Quran, Majlis Tilawah Al-Quran telah berjaya melahirkan qari dan qariah yang berwibawa dan memiliki bacaan bermutu tinggi selain membantu meningkatkan kadar celik al-Quran di negara ini.

Majlis ini juga telah menjadi acara tahunan terpenting dalam kalendar pelancongan Islam Malaysia yang ditadbir urus di bawah Pusat Pelancongan Islam Malaysia (ITC) khasnya para pelancong Asia Barat dan dalam kalangan negara serantau yang sering menjadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan mereka sebelum menyambut bulan Ramadan yang bakal menjelang. Ketika inilah, para penonton dan pengunjung dapat melihat keunikan Islam dalam kepelbagaian bangsa, negara dan bahasa tapi bersatu dalam akidah, rujukan (al-Quran) termasuklah bacaannya.

Sejarah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Menyingkap sejarah Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Antarabangsa yang menjadi satu acara rasmi negara untuk tempoh yang matang, pastinya telah banyak memberi kesan kepada beberapa aspek sejarah, kebudayaan, kesenian dan ketamadunan Islam yang bakal kita wariskan untuk generasi akan datang.

Penganjurannya yang bermula pada sekitar tahun 1960-an dikenali pelbagai Musabaqah al-Quran dengan penglibatan hanya tujuh buah negara. Perlu dimaklumi Malaysia juga negara pertama yang julung kalinya menganjurkan majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di dunia sebelum diikuti oleh negara Mesir. Pada peringkat awalnya penyertaan hanya dibuka kepada negara-negara di Asia Tenggara sehinggalah negara-negara di luar kawasan Asia Tenggara menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian.

Dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama itu, Tun Abdul Razak telah menyebut bahawa Kerajaan Malaya terus menggalakkan rakyatnya membaca al-Quran sementara Masjid Negara yang sedang dalam pembinaan ketika itu akan dijadikan pusat untuk kursus-kursus mempelajari dan menghafaz al-Quran. Bermula dari situlah, Masjid Negara telah mengembangkan institusi tahfiz terulung yang kininya dikenali sebagai Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Bharu.

Betapa besarnya jasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa kepada pembangunan institusi huffaz selain telah meninggalkan kesan yang maksimum kepada masyarakat Islam di negara ini dan seluruh dunia.

Ini membuktikan komitmen Malaysia dalam menyemarakkan minat dan pembelajaran al-Quran dalam kalangan orang Islam, meningkatkan hubungan baik negara Malaysia dengan negara-negara Islam lain yang sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan syiar Islam di Malaysia.

Mutu Penganjuran Malaysia dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Dengan mutu penganjuran yang sentiasa ditambah baik pada setiap tahun juga telah menjadikan Malaysia sebagai model dan tempat rujukan kepada negara Islam lain khasnya di Asia Barat dan kawasan Asia Tenggara dalam penganjuran majlis seumpama ini. Malah ada yang mendakwa johan bagi penyertaan majlis tilawah di Malaysia merupakan johan bagi dunia.

Hakikat yang perlu diketahui umum, Malaysia telah mempelopori sistem penghakiman yang begitu terperinci dan adil, apabila pengasingan antara para juri dan peserta tilawah ketika bacaan diadakan menolak kemungkinan berlakunya prejudis para hakim terhadap negara yang diwakili atau diminati. Begitu juga pengasingan penginapan dan aktiviti antara para peserta dan hakim. Maka agak mustahil jika timbul spekulasi atau fitnah ke atas pemenang walau dari negara mana pun.

Begitu jua dalam aspek undian ayat dan giliran bacaan peserta, ia ditentukan pada setiap pagi bagi memastikan peserta tidak begitu obses dengan hanya ayat dan kaedah bacaan tertentu. Begitu juga dengan kaedah tahsin bacaan dan saringan yang diadakan khusus kepada para peserta.

Bagi memastikan beberapa negara yang tidak mendapat pendedahan kaedah bacaan yang sebaiknya, Jakim telah mendatangkan tenaga pengajar bagi membantu para peserta memperelokkan bacaan sebelum kemudiannya mereka disaring bagi memastikan hanya yang terpilih dapat menyertai majlis tilawah yang diadakan.

Usaha ini juga adalah sumbangan kerajaan Malaysia kepada semua peserta dan negara-negara yang masih terkebelakang dari sudut bacaan, sekali gus membuktikan bukanlah kemenangan dan pertandingan yang menjadi keutamaan kepada penganjuran sebaliknya syiar Islam, nilai dan mutu bacaan yang baik untuk sama-sama dihayati oleh para peserta dan penonton.

Majlis Hafazan Peringkat Antarabangsa

Untuk tahun kedua penganjurannya, kita telah melaksanakan pembaharuan kepada penganjuran Majlis Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dengan gabungan bersama majlis hafazan peringkat antarabangsa. Tentunya Jakim menerima pelbagai maklum balas positif dari negara-negara luar yang sememangnya menantikan majlis hafazan peringkat antarabangsa diadakan di Malaysia sebagaimana beberapa negara telah mendahului penganjurannya. Setakat ini, sebanyak 27 buah negara dijemput dan 22 daripadanya telah mengesahkan kehadiran. Sambutan yang diberikan oleh negara luar terhadap Malaysia sekali gus membuktikan keyakinan mereka.

Majlis tahun memilih tema Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Menjadi harapan negara untuk meningkatkan perpaduan dalam masyarakat dan umat Islam melalui semangat toleransi beragama apabila orang Islam dan bukan Islam saling memahami, bekerjasama dan hidup secara harmoni. Tema ini juga sekali gus menggambarkan kebebasan beragama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti untuk mengamalkan pegangan dan budaya mereka.

Sehubungan itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk sama-sama memanfaatkan peluang mengimarahkan penganjuran Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan Peringkat Antarabangsa ini. Bagi yang berpeluang sangat dialu-alukan datang ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dari 9 hingga 14 Jun 2015 ini di mana pada siangnya bagi majlis hafazan manakala malamnya untuk majlis tilawah al-Quran. Bagi mereka yang tidak berkesempatan, agenda tontonan seisi keluarga boleh direncanakan melalui siaran langsung di TV1, TV Al-Hijrah, radio IkimFM mahupun melalui web TV Jakim dengan melayari laman sesawang www.jakim.tv. - Datuk Othman Mustapha Utusan Malaysia Rencana Agama 5 Jun 2015

Tags: al-quran, tilawah
Subscribe

Posts from This Journal “al-quran” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments